
KEBELAKANGAN ini nama pelakon, pengacara dan penyampai radio terkenal, Raja Azura terus dipalit dengan kontroversi apabila dikatakan menimbulkan kemarahan banyak pihak gara-gara sikap 'over' dan kelancangan mulutnya ketika berbicara.
Bermula apabila Raja Azura mengacarakan program realiti, Pilih Kasih, pelbagai cerita kurang enak didengar pihak media massa dan kemuncaknya apabila penerbit rancangan berkenaan, Rosyam Nor dikatakan naik berang sehingga menendang kerusi di belakang pentas apabila Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku dilaporkan tersasul ketika menyebut nama VIP pada siri akhir program berkenaan.
Terbaru, sebuah akhbar tabloid mingguan (bukan terbitan kumpulan Berita Harian Sdn Bhd) menyiarkan artikel berjudul 'Pengacara mana fitnah Misha & Mimie?' pada Ahad lalu dan difahamkan pengacara yang dimaksudkan memfitnah penyanyi popular dan kakaknya itu ialah Raja Azura! Dia dikatakan melempar kata-kata yang tidak enak didengar terhadap Misha Omar dan Mimie ketika mengendalikan sebuah rakaman rancangan TV.
Raja Azura juga dituduh mendakwa adik beradik berkenaan sebagai tidak berdisiplin. Khabarnya gara-gara fitnah berkenaan, Mimie menegur sikap Raja Azura itu menerusi sebuah laman sembang Facebook supaya jangan membuat fitnah terhadap dia dan Misha. Ketika menghubungi Raja Azura pada malam Rabu lalu, ternyata dia kesal dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. Ikuti penjelasan daripadanya berhubung isu ini.

“Mengenai kontroversi Pilih Kasih sehingga ada dakwaan Rosyam Nor menendang kerusi di belakang pentas apabila dia dikatakan tidak berpuas hati dengan mutu pengacaraan saya dan Reza apabila tersasul menyebut nama VIP, sekali gus menghancurkan rancangan berkenaan, saya sudah dinasihatkan oleh peguam supaya tidak memberi sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan dikhuatiri jika saya tersilap cakap, ia akan lebih merumitkan keadaan. Justeru, adalah lebih baik saya mendiamkan diri.
Saya akui, apabila tersiarnya artikel 'Pengacara mana fitnah Misha & Mimie?', pengacara yang dimaksudkan itu ialah diri saya. Artikel itu menyebut Mimie menegur saya di laman sembang Facebook supaya jangan buat fitnah. Artikel itu melaporkan, sebaik saja Mimie dan Misha beredar, saya terus mengomel macam-macam mengenai mereka, sebaliknya ketika mereka berada bersama saya, saya tak berani buka mulut!
Ingin saya jelaskan di sini, insiden itu berlaku ketika rakaman rancangan Ewah-Ewah di TV3 sedikit masa lalu yang membabitkan penyertaan Misha. Saya sudah menghubungi penerbit Ewah-Ewah dan menjelaskan segala-galanya kepada dia. Untuk pengetahuan semua, menerusi Ewah-Ewah, saya tak ada kuasa menentukan siapa artis jemputan mereka, justeru apabila Misha dijemput, itu di luar bidang kuasa saya.
Saya juga tidak ada kuasa memarahi mana-mana artis sekiranya ada di antara mereka yang perlu pulang lebih awal. Mengenai Misha dan Mimie, apabila mereka nak balik awal, saya tak ada hak memarahi mereka, tambahan pula pihak produksi sudah memberi kebenaran. Saya hanya tahu mereka pulang awal sebaik saja saya menamatkan rakaman episod Ewah-Ewah pada hari berkenaan.
'Tak guna saya cemburu'
Untuk makluman semua, hubungan saya dengan Mimie dan Misha adalah baik, kami tak pernah ada masalah sebelum ini. Kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Justeru, saya tak ada masa nak membebel dengan mereka! Saya nak tahu, kenapa Mimie atau Misha tidak bertanya sendiri dengan saya, betul ke saya ada cakap benda bukan-bukan mengenai mereka di depan orang ramai? Mereka tahu nombor telefon saya.
Suatu ketika dulu, saya dan Misha pernah bekerjasama. Hubungan kami rapat. Justeru, mana mungkin saya bercakap hal yang bukan-bukan mengenai dirinya dan Mimie? Sekarang ni saya tak tahu, siapa fitnah siapa. Sekiranya benar Mimie menulis di Facebook menegur saya supaya tidak memfitnah dirinya dan Misha, sedikitpun saya tidak marah atau berkecil hati dengan kedua beradik itu.
Dunia hiburan kita ini kecil saja. Saya pernah tolong kedua-dua beradik itu dan sudah saling mengenali antara satu sama lain. Jadi, kenapa mereka tidak menghubungi saya sendiri bertanyakan kesahihan perkara berkenaan? Janganlah terus mendengar hasutan daripada pihak ketiga, telefonlah saya sendiri dan bertanya apa sebenarnya yang berlaku.
Sekiranya Mimie bengang dengan saya, apa yang dia dapat? Saya bukan pesaing mereka. Artikel itu juga ada menyebut, mungkin saya cemburu dengan Misha yang sekarang ni dapat banyak projek sebagai pengacara bersama RTM. Saya sudah berumur, tak guna saya cemburu dengannya, Misha bukan pesaing saya.
Tak salahkan Mimie, Misha
Misha ibarat adik yang pernah saya didik suatu ketika dulu. Sekarang saya tunggu Mimie atau Misha bertanya terus dengan saya kesahihan cerita yang mereka dengar daripada pihak ketiga itu. Saya tak pernah mengomel atau cakap benda yang tak elok mengenai mereka seperti yang dilaporkan akhbar tabloid berkenaan. Seingat saya, kata-kata itu tak pernah saya lemparkan di depan orang ramai.
Lebih menarik, akhbar tabloid berkenaan turut menyertakan dialog yang kononnya menyebut kata-kata saya mengomel terhadap Mimie dan Misha. Saya tak pernah cakap begitu. Mimie dan Misha kenal siapa diri saya. Fikirlah sedikit, bagaimana saya sebenarnya. Sungguhpun saya berkata-kata perihal yang tak sedap didengar halwa telinga, sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas daripada sikap mengata hal orang, itu adat resam orang Melayu.
Pun begitu, sebagai adik (Mimie dan Misha) yang kenal siapa diri saya, kenapa tak tanya saya, betul ke saya cakap begitu, benar ke saya memfitnah mereka, ini tiba-tiba saja terus keluar cerita di Facebook seperti yang dilaporkan akhbar tabloid berkenaan. Namun, saya tidak menyalahkan Mimie dan Misha, mereka masih muda.
'Orang nak bunuh karier saya'
Seeloknya, dua beradik itu tidak mendengar hasutan pihak ketiga dan bertindak mengikut emosi. Pada masa akan datang, fikirlah masak-masak sebelum mengambil sebarang tindakan. Terus-terang, saya tidak marah terhadap Mimie dan Misha, buat apa saya nak bergaduh dengan budak-budak?”
Bukan itu saja yang dipaparkan artikel berkenaan, sebaliknya suara saya dikatakan bingit ketika mengacarakan Ewah-Ewah seperti gaya mak cik-mak cik, sekali gus tidak disenangi beberapa tetamu lain yang datang menyaksikan rakaman program berkenaan. Itu memang cara saya, selagi TV3 tak cakap apa-apa, saya akan meneruskan konsep pengacaraan begitu.
Lagipun konsep Ewah-Ewah, format rancangannya memang begitu, ia sebuah program yang bertenaga. Justeru, pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap saya, ia seolah-olah mahu membunuh karier Raja Azura. Saya tak ada publisiti, tapi rezeki saya semakin mencurah-curah, mungkin ada orang dengki!
Saya tahu ada orang yang nak bunuh karier saya dalam industri, nak menjatuhkan saya. Suatu hari nanti, apabila peminat tidak menerima saya lagi, saya juga akan berundur. Janganlah risau, suatu hari nanti, saya juga akan mati dan menemui Tuhan. Agaknya apabila saya sudah meninggal dunia, baru orang nak kenang jasa baik dan pengorbanan Raja Azura. Ketika hayat, orang asyik membenci saya. Tapi, apa yang saya peroleh hari ini, rezeki daripada Allah."