
Penyanyi, Atilia akui berpakaian seksi di Istana Budaya, mohon kemaafan daripada peminat
CARA berpakaian anak penyanyi terkenal Salamiah Hassan, Atilia, 35, yang dikatakan menjolok mata ketika dia bersama Noryn Aziz menjadi penghias muka depan sisipan Hip (Berita Harian) terbitan 22 Julai lalu, akhirnya mengundang kritikan pedas daripada masyarakat.
Artikel yang menggunakan judul, Masuk istana - Atilia, Noryn bersatu jayakan mini konsert jazz dua hari bermula 30 Julai, menampilkan Atilia mengenakan pakaian yang singkat dan ketat sehingga sakit mata memandangnya apabila dia beraksi berlatar belakangkan Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, sekali gus ada cakap-cakap yang mendakwa dia tidak menghormati istilah ‘istana’ itu sendiri!
Selepas dikritik menerusi laman Rakan@BH, Atilia juga tidak terlepas daripada terkena sasaran gosip apabila dia ditegur oleh penulis gosip, Normah Becok dalam Berita Harian pada 28 Julai lalu. Atilia sedia memberikan kerjasamanya apabila ditemubual berhubung isu berkenaan. Dia nyata tidak menyalahkan pihak lain berhubung perkara itu, sebaliknya berkali-kali meletakkan kesilapan di bahunya sendiri.
“Memang pada hari penggambaran cover untuk Hip itu saya tidak pernah berniat untuk nampak diri seksi, apatah lagi berdiri begitu rupa di hadapan Istana Budaya (IB). Saya tahu, seharusnya kita menghormati institusi seperti IB, lebih-lebih lagi saya berasal dari istana. Saya sedar, saya sudah melakukan satu kesilapan yang besar. Selepas cover Hip itu disiarkan, saya sudah dapat menjangkakan akan menerima cemuhan daripada orang ramai.
Memang betul telahan saya, akhirnya pada 28 Julai lalu, sebuah artikel dalam Berita Harian berjudul, Atilia oh Atilia! menerusi ruangan Dengarnya... Oleh Normah Becok, saya dikritik oleh pembaca akhbar berkenaan berhubung cara berpakaian yang dikatakan terlalu seksi. Saya minta maaf banyak-banyak, itu memang kesilapan saya.
Bukan berjanji, tapi selepas ini saya akan sedaya upaya mengurangkan penampilan mengenakan pakaian begitu. Sebagai seorang wanita Islam, berpakaian begitu tidak sesuai. Mungkin pada hari penggambaran itu saya hilang pertimbangan, saya nak pakai baju biru, sedondon dengan Noryn dan itulah satu-satunya baju biru yang saya ada pada hari itu. Saya pakai stokin hitam untuk membantu mengurangkan kependekan skrit berkenaan, tapi nampaknya tidak berjaya. Bersama sudut penggambaran, gambar diambil dari bawah, ditambah bangunan IB di belakang kami, menjadikan keadaan bertambah parah!
Baju berkenaan adalah rekaan Amir Lokman dan saya sering menggayakan baju rekaannya sebelum ini. Tapi, kesilapan saya pada hari itu, saya sewajarnya mengenakan tight, berbanding stokin hitam. Namun, segala-galanya berlaku dengan pantas, kita pun nak cepat habis fotografi dalam cuaca panas hari itu.
Justeru, apa yang saya terima hari ini, saya tidak menyalahkan sesiapa termasuklah pihak media massa, sebaliknya salah diri sendiri kerana saya yang pilih baju itu. Saya juga yang buat keputusan mengenakan pakaian berkenaan, jadi setiap daripada kita melakukan kesilapan. Saya mengaku kesilapan diri sendiri dan saya mohon kemaafan daripada semua.
Berpakaian seksi kerana selesa
Sebelum ini saya memang selesa berpakaian begitu (seksi). Bukannya sejak bergelar janda, baru nak seksi. Bagi saya, apabila berpakaian seksi, tidak menjadikan seseorang itu, looks bad. Saya berpakaian begitu kerana faktor keselesaan. Badan saya kecil, lainlah kalau seseorang yang mempunyai ‘aset’, dia pakai apa pun dah nampak seksi. Seperkara lagi, pada hari penggambaran itu, saya mungkin tak fikir panjang.
Saya berpakaian seperti itu (seksi) tak pernah berniat untuk menarik perhatian orang, tapi lebih kepada keselesaan diri sendiri. Kalau saya mengenakan pakaian tertutup, saya akan kelihatan terlalu kurus. Berat saya 42 kilogram saja. Apabila saya mengenakan baju besar, saya kelihatan hodoh, saya akan dilihat seperti isteri kartun Popeya!
Ayah saya juga seorang Haji, dia pun kata segala-galanya terpulang pada hati, hak individu. Tak kiralah apa yang kita pakai, selagi hati kita bersih, niat kita pun bersih. Namun, dalam situasi berkenaan, saya secara terang-terangan sudah mengguris perasaan banyak pihak apabila saya muncul begitu sebagai cover Hip berlatar belakangkan IB. Sekali lagi saya minta maaf...
Setiap orang tahap pemikiran mereka berbeza-beza, kita tak boleh mengharapkan setiap daripada mereka berfikiran terbuka sama seperti saya. Keluarga saya berfikiran terbuka apabila mereka boleh menerima saya berpakaian begitu. Tapi, dalam usia yang mencecah 35 tahun, ini satu wake-up call yang berguna pada diri saya.
Terima kasih kerana memberi kesedaran kepada saya. Selepas ini saya akan berusaha berpakaian sopan. Bukan maksud saya bertudung atau sebagainya, tapi menutup aurat.
Dalam blog orang cakap macam-macam
Ditambah dengan status saya ketika ini, seorang janda, memperkuatkan lagi kritikan orang apabila saya berpakaian begitu. Tak kisahlah apa orang nak cakap, saya tak mampu menghalang mereka. Saya berubah bukan sebab mereka, nak tutup mulut orang, sebaliknya saya sendiri yang nak berubah. Apabila saya menerima tamparan yang hebat daripada orang ramai dan media massa, barulah saya tersedar.
Namun, saya bukannya selalu berpakaian seksi. Tapi, disebabkan cover Hip itu, memberi peringatan kepada saya, orang tak suka saya berpakaian begitu. Saya cari makan dalam bidang ini, peminat di belakang saya. Justeru, saya harus turuti kemahuan mereka, demi kebaikan diri sendiri juga. Saya akan mengenakan pakaian mengikut kesesuaian, mungkin sebelum ini faktor persekitaran saya terlepas pandang.
Saya akui, sudah melihat di internet gambar saya dan ibu yang dikatakan berpakaian seksi. Kami sekadar ketawa. Tapi, apabila orang mempersoalkan mengenai pakaian ibu orang lain, ia tak elok. Komen-komen seperti kubur dah panggil, semua itu tak perlulah. Dalam blog orang bercakap macam-macam, tapi orang yang dikritik itu adalah ibu orang lain. Jangan mempersoalkan ibu orang lain sewenang-wenangnya.
Bagi saya, ibu saya berpakaian mengikut keselesaannya. Justeru, apabila orang bercakap perkara yang tak elok mengenai ibu sendiri, saya terasa. Tapi, komen-komen yang diterima itu kita jadikan sebagai pengajaran. Namun, kami tidak pernah menganggap pakaian kami seksi, tapi selesa. Kami tak suka berpura-pura jadi orang lain. Kami tak kacau orang, tapi apabila pakaian kami ‘mengacau’ mata orang, kita tukarlah, berubah...
Apa yang sudah berlaku ini, kesalahan saya, saya minta maaf. Namun, saya terkilan apabila cover Hip itu akhirnya jadi satu isu. Tapi, dalam masa sama, ia menyedarkan saya, terima kasih atas segala teguran dan kritikan yang diberi."
Info Atilia
NAMA PENUH: Raja Putri Atilia Raja Haron
TARIKH LAHIR: 15 September 1974
ASAL: Muar, Johor
KELUARGA: Sulung daripada dua beradik
ALBUM: Sangkar dan Indah (masih dalam pembikinan)
PENCAPAIAN: Muzik Video Terbaik, Anugerah Industri Muzik 2008 (AIM2008), album Sangkar
TEATER: P Ramlee The Musical
TELEMOVIE: Orang Minyak Naik Minyak
KONSERT PERTAMA DI ISTANA BUDAYA: Malam Nada Biru pada 30 dan 31 Julai lalu
SYARIKAT PRODUKSI SENDIRI: Mujik Productions
PERKAHWINAN: 1998
PERCERAIAN: 2008