Minat sama satukan Sasha, Yani


Selain sama-sama berdarah kacukan Melayu-Australia dan anak sulung dalam keluarga, Sasha dan Yani, anak arkitek terkenal, Hijjas Kasturi juga berkongsi minat dan kecenderungan yang sama iaitu mencintai seni termasuk teater.

Justeru, selepas lima tahun menyulam cinta, Sasha dan Yani sepakat mengakhiri hubungan cinta itu dengan ikatan perkahwinan.

Tepat jam 11.30 pagi, Sasha yang anggun dengan busana rekaan pereka terkenal Jovian Mandagie dan pasangannya, Yani, selamat bergelar suami isteri hanya dengan sekali lafaz dalam majlis ringkas yang dihadiri kira-kira 50 anggota keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman keluarga Sasha di Kota Damansara di sini, tanggal 18 Oktober lalu.

Pada majlis pernikahan itu, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin 100 gram emas, senaskhah Al-Quran dan sebentuk cincin emas kepada pihak perempuan.

Bagaimanapun, atas permintaan ibu bapa Sasha, Pengarah Urusan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad dan Puan Sri Annette Bashir, hanya keluarga dan rakan-rakan terdekat diundang ke majlis akad nikah berkenaan.

Ketika dihubungi, Sasha yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia juga tidak bercadang mengadakan majlis resepsi persandingannya selepas ini.

"Keluarga saya memang inginkan majlis perkahwinan ringkas dan sederhana. Sebagai anak, saya perlu menghormati permintaan mereka itu. Ia juga dipersetujui Yani dan keluarganya. Apa yang penting, saya ingin melihat ibu bapa bahagia pada hari bersejarah itu.

"Saya juga sangat berharap pihak media dan peminat memahami situasi yang saya hadapi itu," katanya.

Sasha berkata, perbezaan usia 20 tahun bukan penghalang untuknya memilih Yani sebagai suami sekali gus membina kehidupan berumah tangga. Kata Sasha, Yani juga menguruskan perniagaan keluarganya dalam bidang pembangunan hartanah.

"Soal jodoh ini adalah ketentuan Tuhan dan saya anggap ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan dalam hidup saya. Lebih bermakna, hubungan kami direstui keluarga kedua belah pihak.

"Saya yakin Yani, calon yang tepat buat saya kerana kami mempunyai pemikiran dan minat yang sama sebab itulah kami juga bertemu di pameran seni sekali gus menyatukan hati kami berdua. Selain itu, kami sering menonton persembahan teater bersama-sama" katanya.

Sasha juga berkata, dia juga akan meneruskan kerjaya seni seperti biasa selepas bergelar isteri.

"Suami juga cukup memahami minat saya yang mendalam pada bidang seni dan sentiasa menyokong minat saya dari belakang. Sebenarnya, selepas majlis akad nikah, saya kembali bekerja pada keesokan harinya. Maklumlah, saya baru saja melancarkan biografi Dansa pada 1 Oktober lalu.

"Pada masa sama, saya perlu memenuhi tuntutan tugas sebagai pengacara program dokumentari Dansa yang menemui penonton di saluran ntv7," katanya.

Kesibukan tugas juga menyebabkan Sasha dan suami belum memutuskan destinasi berbulan madu. Katanya, jika tiada aral, dia bercadang bercuti bersama suami hujung tahun nanti.

"Begitu juga perancangan mendapat anak, kami hanya menyerahkan urusan itu pada tuhan yang menentukan segalanya dalam hidup kita," katanya. Bakat Sasha menyerlah dalam bidang pengacaraan menerusi program TV seperti Explorace-The Extreme Journey TV3 (musim ketiga) TV3 , Beauty Secrets From The East (musim 3) dan terbaru program dokumentari Dansa yang kini bersiaran di ntv7.

Sasha juga terbabit dalam pementasan teater seperti Lady Sweettenham, My Bollywood Summer, Titiwangsa dan Emas 10. Tidak ketinggalan, Sasha juga mencuba bakat lakonannya di layar perak menerusi filem The Red Kebaya.