Siapa kanak-kanak lelaki di sisi Johan, Ozlyn?


Ozlyn dan Johan bersama budak lelaki yang terus menjadi tanda tanya.


ZUBIR mewakili warga kerja B*Pop ingin merakamkan ucapan Selamat Pengantin Baru kepada aktres Rozlinawaty Ismail atau Ozlyn Wati, 28 yang selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Muhammad Yazid Lim atau lebih popular sebagai Johan Raja Lawak, 25, apabila melangsungkan pernikahan secara tertutup pada 25 Julai lalu di Masjid Lembah Jaya, Ampang, Selangor selepas solat Asar.

Zubir tabik spring dengan Ozlyn mahupun Johan kerana mengotakan janji mereka untuk melangsungkan perkahwinan secepat mungkin. Umum sedia maklum, Ozlyn dan Johan menerima kritikan hebat daripada media massa dan peminat apabila aksi mereka berpelukan, duduk di atas riba dan hampir-hampir bercium tersebar secara meluas di laman blog dan internet. Perkahwinan sebagai bukti anda serius berkasih bukan cinta ‘touch & go’!

Pun begitu, sebelum ini pernah tersebar kisah kontroversi Ozlyn dikatakan pernah bernikah dengan aktor dan pengarah kacak, Farid Kamil, namun dalam laporan media massa sebelum ini kedua-duanya menafikan gosip berkenaan. Namun, umum juga sedia maklum mengenai kehadiran seorang budak lelaki yang kini berusia lima tahun dalam hidup Ozlyn, justeru anak siapakah itu? Anak angkat Ozlynn atau anak saudaranya?

Belum pernah terbit sebarang kenyataan mengenai status budak lelaki itu, siapa sebenarnya ibu bapanya?

Menerusi laporan Rap Harian Metro terbitan 28 Julai lalu, Ozlyn ingin membetulkan kenyataan yang sebelum ini disiarkan dalam media massa mengatakan dia pernah berkahwin sebelum ini. Katanya, perkara itu tidak benar dan ini adalah perkahwinan pertama baginya dan Johan.

Sekadar memetik soalan yang pernah ditanya kepada Ozlyn menerusi sebuah akhbar harian tabloid terbitan 30 Mac lalu yang bertanyakan kesahihan gosip sebelum ini tersebar kononnya Ozlynn sudah pun mempunyai seorang anak. Dia bagaimanapun enggan mengulas panjang perkara itu.

“Mengenai anak, saya tak mahu komen. Apa yang boleh saya bagi tahu, saya menjaga seorang anak lelaki yang berusia lima tahun,” kata Ozlynn kepada tabloid berpengaruh itu.

Jadi, bukan niat Zubir untuk membongkar kisah silam atau membuka sejarah lama, namun sekiranya Ozlyn mahupun Johan terus berteka-teki mengenai status kanak-kanak itu, ia akan tetap menjadi tanda tanya kerana kedua-duanya sedia bergambar mesra bersama budak lelaki comel itu secara terbuka seperti yang pernah dirakamkan jurugambar Harian Metro sebelum ini.

Saranan Zubir supaya berterus-teranglah sekalipun ada ketikanya kebenaran itu menyakitkan, tapi kejujuran dan keikhlasan kerana menegakkan kebenaran adalah lebih mulia daripada terus menyembunyikan perkara yang hak. Tengoklah apa yang berlaku dalam industri hiburan ketika ini, apabila kebenaran menjelma, yang batil itu akan berlalu...

Soalnya, apabila dewasa, pastinya budak lelaki itu ingin tahu siapa sebenar ibu dan bapanya. Harap Ozlyn dan Johan tidak berkecil hati dengan saranan yang cuba Zubir usulkan. Tapi, kalau ingin terus berahsia atau main teka-teka, suka hatilah, tak ada siapa yang memaksa kalian, tepuk dada tanya selera.

ZUBIR: Band baru, Upbeat kini di Pulse Club, Grand Millennium Kuala Lumpur. Pasti berita ini menggembirakan ramai artis kaki clubbing, oopss!