
PENYANYI Krisdayanti sebelum ini pernah mendedahkan kisah “dalam kelambu” kehidupannya melalui buku My Life My Secret. Dalam buku itu, Kris atau lebih sinonim dengan panggilan KD menjelaskan betapa dia berasa amat bertuah memiliki seorang lelaki dan suami bernama Anang Hermansyah, 40.
Dalam buku itu KD, 34, turut mendedahkan tindakan dia membuat suntikan botox berjaya menawan nafsu suaminya yang begitu teruja tatkala melakukan asmara.
Tapi sayang, pendedahan kisah bahagia mahligai hidup yang ditulis itu rupanya tidak bertahan lama apabila rumah tangga pasangan tersebut dilanda badai selepas 13 tahun dibina.
Ada yang membuat pelbagai spekulasi mengatakan perpisahan itu terjadi dek kerana kecurangan KD sendiri yang mempunyai hubungan sulit dengan orang lain.
Malah KD juga terpaksa menerima hakikat, cinta dan sayang terhadap lelaki yang selama ini banyak membimbingnya tidak dapat bertahan lama.
Pada 22 Oktober lalu, Pejabat Pengadilan Agama Jakarta menjatuhkan talak terhadap KD.
Selama perpisahan terjadi, Anang tidak banyak berbicara mengenai kisah pahit itu sebaliknya bertindak untuk mendiamkan diri.
Malah dia juga percaya sebagai seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab, biarlah dua orang anak mereka iaitu Titania Aurelie Nurhermansyah, 11, dan Azriel Akbar Hermansyah, 9, berada di bawah penjagaannya.
Mengakui hatinya luka, parah dan merana terhadap apa yang berlaku tetapi Anang sudah nekad dia tidak akan rujuk kembali.
Selama ini sudah banyak peluang diberikan kepada isterinya itu tetapi sayang, KD gagal menghargai pengorbanannya.
Ujar Anang, KD adalah pengkhianat rumah tangga mereka.
Kata-kata itu membayangkan betapa hati Anang benar-benar parah. Jiwanya amat terseksa dek kerana perbuatan insan yang disayanginya itu.
“Kau bilang tak pernah bahagia selama dengan aku, itu ucap bibirmu,” luah Anang dalam lagunya berjudul Separuh Jiwaku Pergi.
Menghayati bait lirik lagu itu memperlihatkan bahawa patah hati lelaki ini sukar untuk sembuh kembali.
“Kalau dilihat keseluruhan lirik itu, jelas menceritakan betapa cinta saya selama ini dikhianati oleh seorang wanita yang saya nikahi pada 22 Ogos 1996 itu,” kata Anang.
Album Anang Separuh Jiwaku Pergi telah berada di pasaran sejak 19 Oktober lalu edaran Suria Records.
Album yang memuatkan enam buah lagu itu menceritakan segalanya kehancuran rumah tangga Anang dengan KD.
Bagi Anang sendiri, dia lebih senang untuk menterjemahkan masalah dirinya dalam bentuk karya.
“Dalam album terbaru ini memuatkan ungkapan perasaan saya terhadap peristiwa yang saya alami selama ini,” katanya.
Walaupun pada ketika ini hatinya sedang porak peranda tetapi bagi Anang dia ada muzik yang dapat menenangkan jiwanya itu.
Malah dengan muzik juga Anang cuba memujuk hatinya yang masih parah.
Bagaimanapun dalam album ini juga Anang tidak boleh berbohong walaupun dia telah menutup perasaannya terhadap KD tetapi sukar untuk dikikis perasaan sayang itu.
Ini terbukti apabila lagu Belajarlah Untuk Cinta yang menjelaskan betapa Anang benar-benar sayangkan KD selama ini.
Sementara itu, klip video Separuh Jiwaku Pergi hanya mengambil masa kira-kira lima jam untuk dihasilkan.
Tempoh penggambaran yang singkat itu adalah kerana Anang mampu menjiwa watak yang diberikan dalam klip video berkenaan.
Ia menceritakan kisah sebenar bagaimana kecurangan KD berlaku apabila Anang terbaca kiriman SMS daripada seseorang yang dikirimkan kepada isterinya.
Saat itu jiwa Anang roboh, perasaannya lebur begitu saja kerana isteri yang dicintai rupa-rupanya mempunyai hubungan dengan orang lain.
Separuh Jiwaku Pergi menggambarkan jiwa seorang suami yang hilang segala-galanya dan memerlukan kekuatan untuk bangkit melawan perasaan itu.