Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bienda kahwin November 2010


NAMA Bienda tiba-tiba jadi hangat. Daripada seorang penyanyi berhaluan nasyid yang tidak pernah mencetuskan propaganda dalam industri, kini Bienda penyumbang kepada satu lagi kontroversi dunia hiburan.

Nor Razlinda Razli, berusia 24 tahun ini didakwa sudah bernikah secara senyap pada 10 Oktober lalu. Kecoh jadinya.

Masakan tidak, ada yang mendakwa Bienda menyorokkan kisah pernikahannya dengan kekasih sama seperti ibunya, penyanyi dangdut, Shieda yang berkahwin tahun lalu tetapi merahsiakan perkahwinan mereka.

Kami hanya berbicara menerusi telefon. Bienda tidak bersedia untuk sebarang sesi fotografi. Antara sebabnya dia mahu mengelak daripada bercakap isu remeh yang tiba-tiba digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Tiada peristiwa penting yang berlaku pada tarikh tersebut. Jauh sekali bernikah. Begitu tegas anak penyanyi dangdut ini bersuara.

Dalam keluh kesahnya, kata Bienda, kalau boleh dia tidak lagi mahu mengulas isu ini. Ia hanya menambah luka di hati pihak keluarga sendiri dan keluarga kekasihnya.

"Saya tak tahu macam mana isu ini boleh timbul. Saya belum berkahwin. Benda baik, kenapa saya nak sorok?

"Tapi memang saya akan berkahwin. Insya-Allah tahun hadapan pada bulan 11 jika tiada halangan kami akan bernikah.

"Sejujurnya saya memang sangat tidak selesa bercerita tentang hal peribadi kepada umum. Walaupun saya seorang selebriti, saya juga sebenarnya macam manusia biasa yang agak tertutup bila berbicara hal peribadi.

"Apabila perkara seperti ini terjadi, saya sendiri bimbang untuk berkahwin kerana impak gosip ini terlalu besar untuk bakal suami saya."

Namun, kata gadis ini, dia tidak menolak untuk berkongsi cerita seandainya sudah bersedia. Kerana itu dia tidak pernah menafikan hatinya sudah dihuni seorang lelaki sejak dua tahun lalu.

Lelaki tersebut yang berusia dua tahun lebih tua daripadanya merupakan seorang pembantu penerbit di sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

Kekok bicara hal cinta

Jika tiada halangan, dengan lelaki tersebut yang dianggap sebagai seorang yang memahami dan tenang itulah dia akan bernikah kelak.

Dia juga kalau bercinta tidak gemar hanya sekadar bercinta tanpa hala tuju. Baginya jika serius, harus disudahi dengan ikatan yang sah.

Bienda mentafsir makna cinta: "Ini bukan cinta pertama saya, tapi Insya-Allah ini cinta terakhir saya. Perasaan kasih dan sayang yang Allah berikan pada saya untuk dia akan kami pupuk secara sah kelak."

Begitu berhati-hati diajak berbicara tentang cinta, apa yang dititikberatkan gadis ini adalah untuk menjaga hati keluarga dan khalayak.

Sementelah imejnya yang bertudung, dia berasa kekok dan kurang manis untuk berlebihan berbicara tentang cinta berbanding kisah kerjayanya.

Mengakui tidak pernah memasang kasta antara wanita bertudung dengan tidak, kata Bienda, apa yang penting segala kebaikan datang daripada hati.

Malah sewaktu ditanya bagaimana dia membataskan pergaulan dengan kekasihnya seperti kerap bertemu, Bienda memberi jawapan yang realistik.

Katanya, dalam dunia moden, bohonglah akuinya jika dia masih bercinta secara klasik. "Saya pun bukannya baik sangat, tetapi sebagai seorang Muslimah, kita kena tahu membataskan pelakuan kita," katanya jujur.

Disogok persoalan kebanyakan artis gemar bermain tarik tali dan menghampiri kepada sikap hipokrit dengan suka memberi jawapan klise apabila topik peribadi disuakan, Bienda menjawab ringkas.

Bagi gadis ini, dia tidak mahu mentafsir segala jawapan teman artis yang lain kerana setiap daripada mereka barangkali mempunyai alasan tersendiri. Tetapi bagi dirinya: "Jika saya menipu, Tuhan akan memberi balasan kelak."

Tawaran berlakon

Bukan setahun jagung melawan gelombang industri, Bienda sudah menghuni dunia hiburan seawal usia 12 tahun. Waktu itu dia menjadi anggota nasyid Solehah sebelum bergerak solo.

Berkat kesabarannya, Bienda kini menjadi penyanyi nasyid solo wanita yang cukup terkenal dalam industri hiburan tanah air.

Album terbarunya yang dihasilkan dengan duit tabungan, Kenaliku menjadi manifesto kepada perjalanan seninya sepanjang 12 tahun menjadi penyanyi.

Mengaku bahawa situasi pasaran yang tidak baik turut memberi impak kepada undangan persembahan dan penjualan album, tapi kata Bienda di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Ruang tidak akan terbuka jika diri sendiri tidak mencarinya.

"Tidak dinafikan dalam keadaan sekarang, saya rasa penyanyi lain pun tak ada banyak undangan persembahan.

"Penjualan album juga jatuh teruk. Sebagai penyanyi yang pernah duduk pada zaman pasaran baik, saya tahu impaknya sekarang.

"Sebab itu, saya mencari ruang untuk saya berkembang. Saya tidak duduk diam, sebaliknya saya cabangkan bakat seni yang ada dalam dunia lakonan.

"Alhamdulillah tawaran berlakon tidak pernah putus dan melalui duit lakonan itulah saya mampu menghasilkan album sendiri," katanya yang terlibat 100 peratus di dalam penghasilan Kenaliku.

Walau telah melalui jatuh bangun pasaran seni dan terkadang dipandang sepi, ia sedikit pun tidak membunuh cita-citanya untuk terus mara berjuang.

Sekali pun tidak pernah timbul rasa ingin berundur kerana kata Bienda, jiwanya terhadap seni sudah terlalu dalam. Sudah tidak dapat dipisahkan lagi daripada jasadnya itu.

Bertudung sejak 10 tahun

Tudung yang disarung ke kepalanya bukan dilakukan kerana terpaksa atau cuba menyembunyikan rambut yang kurang menarik.

Sebaliknya gadis kelahiran Kelantan ini bertudung kerana ikhlas. Keinginan memakai tudung timbul di jiwanya pada usia 10 tahun kerana berasa bertanggungjawab untuk menjadi seorang Muslimah yang baik.

Pernah pada usia 13 tahun, sewaktu ingin bertapak secara solo dia mahu mencuba jalur pop moden dan bergambar tanpa tudung. Itu percubaan yang kata Bienda tidak disangka mendapat respons kurang baik daripada peminatnya.

Katanya:"Tapi saya dimarah teruk. Peminat marah saya buka tudung. Itu sahaja sekali saya mencuba menjadi paksi baru tapi kemudian saya selesa bertudung sehingga sekarang."

Kini walaupun modenisasi menghambat dan dia sendiri terlibat dengan industri yang penuh godaan, biar apa terjadi, jauh sekali dia akan menanggalkan tudung kepalanya. Sebaliknya jika mahu berevolusi dalam fesyen, dia gemar bermain dengan trend terkini wanita Muslimah.

Misalnya, untuk penampilan terbaru bagi albumnya, Bienda tampil dengan konsep Cleopatra tanpa tudung ditanggalkan dan dia masih kelihatan menawan tetapi sopan.

"Tetapi untuk penampilan biasa, saya senang dengan baju T dan jean, sama macam gadis bertudung yang lain," katanya yang kurang gemar bersolek jika tidak kerana bekerja.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails