Isu buka baju lagi! - Akon


NAMPAKNYA kes artis buka baju tak habis-habis. Setiap kali penyanyi atau band luar negara ke Malaysia, mesti ada yang buat perangai. Kali ini penyanyi Akon pula buat hal! Dia ‘buka baju’ ketika membuat persembahan Akon Freedom Beach 2009 yang berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon minggu lepas.

Iyalah, dah buat di tempat terbuka di ‘tepi pantai’, mestilah panas. Tapi dalam dok panas, dia hangatkan keadaan dengan ‘terjun’ ke lautan peminat tanpa berbaju.

Sebenarnya kalau ikutkan Wanda, apa sangatlah kes-kes buka baju ini. Tak hairan pun sebab memang bentuk badan mereka cantik berotot.

Malah kalau di negara mereka, memang begitulah sikap mereka di pentas. Mungkin lebih teruk. Cuma bak kata pepatah Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.

Seharusnya artis luar kenalah pandai bawa diri. Jangan ikut sedap hati. Itu baru namanya pandai menghormati. Lebih-lebih lagi bila datang ke rumah orang lain. Nak tak nak kenalah ikut.

Wanda pasti artis yang dijemput untuk mengadakan persembahan di dalam negara ini sudah diberikan garis panduan jika mahu menghibur.

Bukan sahaja soal buka baju, mengenakan pakaian yang terlalu seksi juga rasanya tidak dibenarkan. Jadi ikut sahajalah. Apa yang susah sangat pun Wanda tak tahu.

Di lokasi yang sama beberapa tahun lepas, Pussy Cat Dolls juga pernah menghangatkan suasana ‘tepi pantai’ itu dengan tarian dan baju yang seksi sambil ditonton oleh peminat mereka yang muda remaja.

Kalau perkara begini berterusan, Wanda rasa pihak penguatkuasa perlu lebih tegas melaksanakan garis panduan dan syarat kemasukan artis luar.

Kalau artis sudah tidak dapat dikawal kenalah promoter bertanggungjawab. Mungkin penguatkuasa boleh kenakan amaran kepada penganjur / promoter atau jika dua tiga kali perkara yang berlaku maka kenakan denda kepada mereka.

Mungkin idea ini kelihatan seperti tidak logik atau relevan tapi ia mungkin itu boleh ‘mengajar’ promoter yang mahu bawa masuk artis antarabangsa agar lebih berhati-hati dan tegas dengan pendirian untuk mengikuti syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan.

Sebab kes buka baju begini memang antara perkara yang tidak sepatutnya berlaku pada sebuah pementasan di dalam negara ini.

Jadi artis dan promoter mahu tak mahu kenalah tahu menghormati sensitiviti masyarakat tempatan. Jangan main ikut sedap kata mereka sahaja.

Kalau artis tempatan buat perangai sama (buka baju) pandai pula kita marah-marah. Sampaikan kena gam artis itu walaupun berbakat besar.

Tak boleh keluar siaran langsung di kaca televisyen dan kena pula buat kerja-kerja kemasyarakatan untuk beberapa bulan.

Semuanya atas alasan untuk memberi pengajaran. Macam mana pula kalau artis luar yang berbuat perkara yang sama?

Apakah kita mahu dia juga melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di negara dan lagu mereka tidak boleh keluar di radio mahupun di kaca televisyen?

Apa kata selepas ini kalau artis antarabangsa yang buka baju kita kenakan undang-undang yang sama? Baru orang kata adil dan saksama.