
SARAT dengan masalah rumah tangga dan akhirnya terpaksa menerima hakikat hubungannya bersama Yoyok hancur di tengah jalan. Bertubuh kecil tapi mempunyai hati dan semangat yang kuat. Itulah Rossa.
Kegagalan dalam rumah tangga tidak dijadikan alasan untuk Rossa mengurungkan diri atau patah semangat. Rossa kini begitu semangat untuk bekerja dan melebarkan sayapnya dalam bidang nyanyian di arena antarabangsa.
Sudah popular di Malaysia, kini Rossa memilih Taiwan untuk membuktikan yang dia mempunyai bakat besar. Menerima tawaran untuk merakamkan album di sana dan berduet dengan artis tempatan merupakan batu loncatan bagi Rossa memasuki pasaran negara tersebut.
Rossa baru sahaja pulang dari negara tersebut untuk berbincang tentang kerjasama yang bakal dilakukan nanti. Rossa begitu berharap segala yang dirancang akan berjalan lancar.
Gembira dengan kehidupan barunya, Rossa menyatakan dia tidak mahu menyesia-siakan masa mudanya lebih-lebih lagi dia mempunyai tanggung jawab terhadap anaknya Rizki Langit Ramadhan. Buat masa sekarang Rossa mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti Yoyok, malah dia kini sedang berusaha mengumpul wang untuk membeli rumah baru.