Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Siti dan KD nasib dan takdir berbeza


Penyanyi popular Malaysia tunggu rezeki timang cahaya mata Krisdayanti tabah hadapi liku hidup

SEBAIK saja mengetahui diva tersohor Indonesia, Krisdayanti atau KD, 34, berada di tanah air untuk promosi album kompilasi terbarunya, KD - Aku Wanita Biasa, sekali gus menjayakan persembahan amal mengutip derma Tabung Gempa Bumi Padang, Indonesia pada 23 Oktober lalu, penulis terus mengatur sesi fotografi KD bersama teman baiknya, Datuk Siti Nurhaliza, 30, umpama menemukan dua diva yang cukup dikenali di rantau ini!

KD dan Siti sering bertemu serta bergambar pada majlis hiburan di negara masing-masing, malah acap kali berduet di pentas nyanyian mahupun muncul di kaca TV.

Namun, sebaik selesai fotografi yang sentiasa diiringi hilai dan gelak ketawa daripada kedua-dua sahabat baik ini, KD terus mengakui inilah fotografi pertama yang diatur secara eksklusif untuk dirinya bergandingan dengan Siti sejak sekian lama mereka menjalin persahabatan:

“Saya senang sekali foto sama Siti hari ini! Saya senang sekali bekerja dengan media Malaysia. Orangnya baik-baik. Namun, saya bersyukur kerana kunjungan ke Malaysia kali ini sudah memasuki tahun ke-11 penerimaan peminat saya di sini! Kali pertama saya berkunjung ke sini pada 1998 ketika mempromosi album Menghitung Hari. Sejak itu saya sering saja ke Malaysia untuk promosi, pertunjukan pentas mahupun menjayakan pelbagai acara hiburan.

“Kali ini juga saya dapat peluang berfoto sama Siti kerana kami tidak pernah dipertemukan secara begini, maksudnya yang diatur rapi. Nah! Kebetulan, mulai bulan November ini, saya sama Siti akan merakamkan album studio duet kami yang pertama. Jika sebelum ini saya sama Siti hanya berpeluang berduet di pentas, namun kali ini peminat kami di Malaysia dan Indonesia, berpeluang memiliki album duet yang penuh,” kata KD sambil jari jemarinya ligat membalas kiriman SMS.

Sebelum ini KD dan Siti disebut-sebut membintangi filem Tiga Dara terbitan aktres Christine Hakim yang turut menampilkan Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama. Bagaimanapun, disebabkan beberapa kesulitan ia senyap begitu saja.

Album duet yang belum mempunyai judul itu mempunyai lapan lagu ciptaan komposer Malaysia dan Indonesia seperti Audi Mok, Aubrey Suwito, Sharon Paul dan Charlie ST12 (Indonesia). Ia dijangka memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun ini.

Krisdayanti luah rasa hati dalam lagu

“SEJAK kebelakangan ini rakyat Indonesia sering berprasangka buruk terhadap orang Malaysia umpamanya isu lagu, tarian dan pelbagai kontroversi. Justeru, apabila munculnya album duet saya sama Siti, sekurang-kurangnya ia bisa (boleh) mencairkan segala pertikaian itu dan memecahkan hiruk pikuk yang ada di antara kedua-dua negara,” kata KD sambil menyerahkan buku, Catatan Hati Krisdayanti - My Life, My Secret yang bertanda tangannya kepada penulis.

Melihatkan kepada ‘mood’ KD yang semakin galak bercerita, topik perbualan seterusnya menjurus kepada persoalan peribadi iaitu kontroversi perceraiannya bersama Anang. Saat penulis bersama KD, hanya selang beberapa jam saja dia sah bergelar janda apabila tuntutan cerai terhadap Anang disahkan Pengadilan Agama Jakarta Selatan (Jaksel) pada 22 Oktober lalu kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan).

Rumah tangga KD bersama Anang hanya mampu bertahan kira-kira 13 tahun saja apabila KD bernikah pada usia muda, 21 tahun pada 22 Ogos 1996. Memang sukar menerima kenyataan KD dan Anang sebenarnya sudah berpisah lebih-lebih lagi apabila mendengar lagu duet terbaru mereka ciptaan Anang iaitu Jangan Biarkan Cinta, Menangis yang turut dimuatkan menerusi album Aku Wanita Biasa.

Hampir dua bulan sejak Anang melafazkan talak pada 19 Ogos lalu, KD terus menyepikan diri dari sebarang publisiti, dia lebih gemar menyendiri, lantaran apabila persoalan itu dilontarkan kepadanya, pantas dia memberitahu: “Dalam album duet saya sama Siti, ada sebuah lagu berjudul Diamku Bukan Bererti Tak Bicara. Ini bermaksud saya berdiam diri untuk meredakan ketegangan supaya tidak terus ribut, sekarang lebih aman.”

'Saya tidak pernah berselingkuh'

KERETAKAN rumah tangga KD dikatakan berpunca daripada orang ketiga apabila yang terbaru dia dikatakan mempunyai kekasih gelap, seorang jutawan dari Timor Leste, Raul Lemos. Namun, ramai yang mempercayai skandal KD-Lemos berdasarkan kenyataan daripada dua anaknya, Titania dan Azriel apabila KD dikatakan pernah memperkenalkan kekasih gelapnya itu kepada anak-anak.

Puncak kemarahan anak-anaknya apabila melihat KD membawa Lemos memasuki kamarnya ketika mereka bercuti di Bali. Ketika itu Titania dan Azriel berada di dalam kolam renang sempat memerhatikan gelagat ibu mereka.

“Saya tidak pernah selingkuh (curang). Peminat dan media silap membuat tafsiran apabila melihat kemesraan saya dengan orang yang saya kenal rapat. Kadang-kadang saya memanggil teman rapat dengan panggilan sayang, justeru mereka beranggapan kami ada hubungan istimewa, sebaliknya tidak pernah berlaku.

“Mengenai kejadian di Bali, apa yang diperkatakan anak-anak, saya tidak setuju. Pada masa itu juga anak perempuan saya demam panas, yang lelaki pula, sakit mata, jadi kedua-duanya mana bisa berenang dan melihat apa yang berlaku.

“Mungkin perceraian saya sama Anang disebabkan dia tidak punya banyak waktu untuk saya. Semua perkara saya buat sendiri. Sebagai isteri, saya tidak dapat hak sewajarnya. Namun, saya juga bukan wanita yang sempurna. Saya tidak berhasil membina rumah tangga yang bahagia.

'Anang mungkin ada dendam'

“NAMUN, untuk saya kembali kepada Anang, tidak mungkin kerana cinta dan sayang saya sama Anang sudah mati, namun rasa hormat pada Anang masih tinggi.

“Yang jelas ketika ini, saya harus maju, sekali gus membuktikan karier yang baik bisa meluluhkan sebuah dendam. Kemarahan tidak bisa dilawan dengan kemarahan. Mungkin Anang masih ada rasa dendam terhadap saya,” kata KD sambil memperlihatkan matanya yang ‘berkaca’ apabila memberitahu masih belum berpeluang menemui anak-anaknya atas larangan Anang.

Sementara itu, Siti memberitahu, rancangan menghasilkan album duet bersama KD sudah lama difikirkan iaitu sebelum tercetusnya kontroversi KD-Anang. Apabila KD tidak lagi terikat dengan Warner Music dan kini bernaung di bawah KD Records, hasrat merakamkan album duet menjadi lebih mudah apabila KD merancang melakukan proses rakaman album berkenaan hanya di Malaysia.

Selain album duet, Siti juga bakal muncul dengan lagu, Kini Kau Jauh ciptaan Aidil Alfian yang dirakamkan khusus untuk arwah bapanya. Siti bergabung dengan adik beradiknya - Ayie, Siti Norsaida, Siti Nur Sairah dan Mohd Ali untuk lagu berkenaan. Pada masa sama, diva kesayangan ramai itu juga akan mengadakan Konsert Seribu Warna pada 14 November ini di Stadium Melawati, Shah Alam, sempena sambutan ulang tahun ke-17 Hai-O Marketing Sdn Bhd.

Menyentuh mengenai teman baiknya, KD, Siti terus mengulangi pendiriannya, apa yang terjadi hanya KD dan Anang, hanya Tuhan saja yang tahu apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka.

Siti sering berdoa minta zuriat

“SEBAGAI teman baiknya, saya akan tetap bersamanya sekalipun selepas tragedi pahit itu. Saya harap dia banyak bersabar dan kuatkan semangatnya. KD ada memberitahu saya, sampai saat ini dia belum berpeluang bertemu dengan anak-anaknya. Namun, saya yakin, suatu hari nanti, KD pasti bertemu dengan mereka.

“Mungkin anak-anak masih tersinggung dengan pelbagai laporan media massa, tapi KD tetap ibu mereka. Saya harap KD terus berdoa, insya-Allah ikatan ibu dan anak itu akan terjalin semula,” kata Siti antara teman rapat yang kuat memberi sokongan kepada KD.

Satu persatu bintang terkenal Indonesia gagal mempertahankan gerbang perkahwinan mereka. Sebelum KD, bintang jelita Indonesia, Rossa juga bercerai dengan Yoyo Padi. Kini, sudah terdengar suara sumbang yang bertanya, bila lagi giliran Datuk Siti? Justeru, bagaimana Siti berdepan dengan situasi berkenaan, adakah dia rasa marah atau tercabar?

“Saya tak rasa apa-apa pun, tenang saja. Apa yang pernah berlaku ke atas rakan-rakan artis, kita jadikan sebagai pengajaran, bukannya pertaruhan. Berdosa besar sekiranya kita mempertaruhkan keharmonian rumah tangga orang lain. Jangan sesekali kita mempertaruhkan jangka masa rumah tangga seseorang itu, takut nanti pertaruhan itu terkena pada diri sendiri.

“Kita seharusnya berdoa perkara yang baik-baik, bukannya menanti saat perceraian orang lain. Jaga diri kita, jaga rumah tangga, selebihnya kita berserah pada Allah, insya-Allah Tuhan akan memberkati kehidupan kita,” kata Siti yang berdoa dikurniakan zuriat sendiri.

Ada yang beranggapan, apabila mempunyai anak, rumah tangga akan lebih harmoni, bagaimana pendapat Siti?

“Zaman sekarang tak boleh jangka, ada anak pun boleh bercerai. Bagi saya, yang penting diri kita, suami isteri itu. Ada ketikanya, sekalipun ada anak, kadang-kadang si suami atau isteri ‘makan luar’ juga. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang,” kata Siti yang makin langsing.

INFO: Siti Nurhaliza

•1. NAMA PENUH: Siti Nurhaliza Tarudin
•2. TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979
•3. ASAL: Kuala Lipis, Pahang
•4. KELUARGA: Anak kelima daripada lapan beradik
•5. ALBUM ISLAMI PERTAMA: Tahajjud Cinta
•6. ANUGERAH & KEJAYAAN: Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk dan lebih lima kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) serta lebih 10 kali bergelar Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH
•7. SUAMI: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa
•8. TARIKH NIKAH: 21 Ogos 2006


INFO: Krisdayanti
•1. PANGGILAN MESRA: Kris, Yanti atau KD
•2. TARIKH LAHIR: 24 Mac 1975
•3. ASAL: Malang, Jawa Timur, Indonesia
•4. ANTARA ALBUM: Menghitung Hari, Cahaya, Jatuh Cinta Lagi, Cobalah Untuk Setia, Aku Milikmu dan terbaru KD - Aku Wanita Biasa
•5. ANTARA DRAMA: Abad 21, Doaku Harapanku 1 dan Doaku Harapanku 2
•6. KEJAYAAN PERTAMA: Juara Asia Bagus 1992
•7. BEKAS SUAMI: Anang Hermansyah, 40
•8. ANAK: Titania Aurellie Nurhermansyah, 11, dan Azriel Akbar Hermansyah, 9
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails