Tergoda kerana mata


CUKUP sinonim dengan gelaran Maya Matahari, penyanyi yang kini sukses sebagai dramatis nyata tidak mengendurkan aktiviti seninya selepas berumah tangga pada Jun lalu.

Sebaliknya, isteri kepada Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz ini memberitahu rezekinya sentiasa melimpah ruah. Selain sibuk di lokasi, dia juga kini muncul dengan single terbaru berjudul Mata yang dimuatkan dalam drama lakonannya, Dari Mata Ke Hati.

"Cuma saya tidak ambil penggambaran yang memerlukan saya berada di luar Kuala Lumpur untuk tempoh yang lama. Tapi jika sekadar persembahan hujung minggu, saya pergi. Sekarang keutamaan saya ialah kepada rumah tangga," ujar Maya yang juga sibuk di lokasi drama tentang wanita, P 3.

Masih belum mengandung, kata Maya bukan kerana mereka merancang, sebaliknya belum diberi rezeki oleh Tuhan. Sementelah dia sendiri sibuk sehingga majlis persandingan yang dijadualkan berlangsung pada bulan ini ditunda ke bulan Disember.

Maya yang juga bakal merakamkan semula lagu Matahari dalam susunan muzik baru memberitahu, "Insya-Allah, jika tiada aral, kami akan bersanding pada 13 Disember depan di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor."