
RANCANGAN realiti, Tangkap Muat siaran Astro Ria yang menemui penonton setiap Selasa (9 malam) sebuah program baru yang boleh dianggap menarik. Dalam program itu penonton bertuah akan ditukar imej dan penampilan untuk tampil lebih menarik berbanding diri mereka yang sebenar.
Malangnya sejak rancangan itu ke udara timbul pelbagai cerita kurang enak apabila dua pengacaranya dikatakan suka cakap lepas.
Malah mereka suka menggunakan bahasa yang kurang enak untuk menyakat peserta. Dua pengacara tersebut iaitu jurusolek Zulfazli Suhadi dan pereka fesyen Rizalman Ibrahim. Mereka dituduh gemar mempersendakan peserta yang sememangnya tidak mahir soal menjaga penampilan diri.
Bagi mereka, apa yang diperkatakan itu mungkin sekadar jenaka spontan tetapi ia dilihat seperti merendah-rendahkan orang lain. Siapa yang tidak mengenali Zulfazli, jurusolek berpengalaman selama 18 tahun dan Rizalman yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun ini?
Mereka yang terlibat didalam dunia hiburan sememangnya sudah sedia maklum dengan mulut laser dua personaliti ini. Tapi apakah orang ramai di luar sana boleh menerimanya?
Tak mahu hipokrit
Apa komen anda bila ada yang mengatakan anda berdua adalah hos yang diambil secara tangkap muat?
ZULFAZLI: Sorry ya! Ingat kami berdua ni digandingkan sebagai hos dengan cara tangkap muat saja? Ingat tak ada uji bakat? Ini bermakna pihak penerbit nak hos yang bermulut “laser” atau cakap lepas macam kita orang ni!
Dah baca semua komen panas dalam blog?
Biasalah, mana ada semua orang yang puas hati. Saya dah biasa dalam bidang ini. Itu semua biasa. Tak apa la, setidak-tidaknya rating rancangan ini naik dan mendapat perhatian. Kalau tak diperkatakan tak popular lak rancangan Tangkap Muat, betul tak?
Kenapa laser sangat? Tak tahu nak tapis sikitkah?
“Laser” ke kita orang ni? Bagi orang yang kenal dan tak biasa mungkin anggap macam tu. Tapi kawan-kawan dalam industri seni rasanya dah biasa dengan cara kita orang ini. Buat apa nak hipokrit, kalau di luar set kami pun, kami macam ni juga. Kalau nak suruh “laser”, boleh kami buat lebih daripada itu. Dah penerbit pun tak komen apa, jadi kami tak kisahlah. Yang jadi penerbit siapa? Orang yang komen tu ke?
Cuba tanya Rizalman, waktu kita buat bengkel kecantikan setakat ini tak ada pula orang nak komen? Rasanya cara kita bercakap sama je. Saya tengok ada peserta bengkel yang ketawa ada laa. Tak ada pula peserta yang angkat kaki tinggalkan bengkel tu ataupun kami dibaling gelas ataupun batu. Malah sambutan bengkel selepas itu lebih ramai. Alah! Jangan hirau sangat, orang yang mengata kat kita tu nanti akan tengok juga program kami.
Mula-mula dia orang mengata la. Biasalah... orang kita.
Kadang-kadang komen dia orang pun sama saja “laser” macam mulut saya ni.
Rancangan baru empat episod tapi dah dapat banyak komen negatif. Tak rasa bersalah ke?
Komen negatif biasalah, tapi yang komen memuji selalunya tak disampaikan kepada kita pula. Entah-entah lebih ramai yang memuji berbanding kejian. Kalau dilihat daripada komen negatif yang saya terima, ayat-ayat mereka tu lagi “laser”. Kami dikritik sebab kami keluar di televisyen, jadi orang bebas mengutuk kami. Tapi yang “laser” di luar sana, dok mengata, mengumpat tak ada siapa yang peduli sebab mereka tak masuk televisyen. (ketawa)
Ada orang kata Zulfazli ni bukanlah bagus sangat pun nak mengubah imej solekan orang.
Kau ni suka sangat pakai ayat orang kata. Entah-entah kau sendiri yang kata tak? (ketawa) Bagus sangat tu tidaklah, tapi bolehlah. Yang terbaik daripada Allah sahaja. Orang yang kata saya tak bagus tu pun, tak bagus juga dia. Tapi saya ada pengalaman yang lama. Kalau tak bagus, takkan saya masih bertahan sehingga kini dalam dunia solekan walaupun sekarang semakin ramai jurusolek baru. Setakat ini tak ada kejadian saya solek orang, wajah dia berubah macam wajah hantu. Betul tak?
Betulkah orang produksi pun meluat juga dengan kau orang berdua semasa di set penggambaran?
Setakat ni kami tak perasaan pun, semua okey je! Mereka semua dah macam kawan. Kita orang bergurau selalu di set. Tak ada pula yang tarik muka kat kita orang. Kalau nak ikutkan mereka senang bekerja dengan kami sebab kami sampai di lokasi tak pernah lambat. Kalau buat rakaman tak banyak kali ulang.
“Laser” ada isi
Dalam ramai-ramai pereka fesyen kenapa Rizalman dipilih dalam Tangkap Muat?
RIZALMAN: Untuk makluman orang di luar sana, waktu uji bakat ramai orang datang. Ada yang lebih berpengalaman dalam bidang ini tapi kami berdua yang terpilih. Apa maknanya tu? Siapa yang kata tu? Yang mengatakan pun bagus sangat ke? Kalau dia rasa bagus, cubalah ganti tempat saya. Saya bukan nak ubah orang yang dipilih tu seratus peratus. Tapi nak makeover secara berpatutan. Memang kami dulu pun mula daripada bawah. Pengalaman kami diiktiraf, jadi biarlah pengalaman kami diterima oleh orang yang pandai menilai saja.
Kalau realitinya Rizalman nampak cool tapi tak sangka mulut “laser” juga ya.
Kalau orang yang komen tu kata saya mulut “laser”, dia sebenarnya lagi “laser”. Kalau dia tak “laser”, kenapa dia mengata kami dalam blog. Ini rancangan ini realiti. Jadi inilah realitinya kami berdua. Cakap saya dalam Tangkap Muat berisi, berikan tips, dan pendidikan ubah imej dengan cara berbual santai. Tak perlu nak formal sangat, macam rancangan yang sedia ada. Inilah kelainan yang ada pada Tangkap Muat.
Cara anda bercakap lembut, tapi dalam diam suka cakap lepas kepada peserta.
Rancangan realiti yang sensasi ini tidak ada skrip. Semua idea spontan daripada kami berdua. Ingat senang? Kami sebenarnya bukan “laser”, tapi itu hanyalah senda yang spontan. Yang hairannya, para peserta Tangkap Muat pun tak mengata kami, malah mereka jadi rakan rapat dan sering menghubungi kami. Kalau dia orang sendiri yang tak puas hati, tak akan begitu jadinya? Apa yang penting kami tak sentuh hal-hal sensitif berkaitan agama dan bangsa sudah memadai. Zul pun sama juga. Tapi taklah sentiasa macam tu. Ada tempat-tempatnya la. Kalau dengan klien saya kenalah formal. Kalau sembang-sembang dengan kawan macam tu lah. Siapa yang tak kenal dengan mulut “laser” Zulfazli dalam industri ni? Mana artis, mana wartawan yang tak tahu dengan mulut dia. Selain Zul kita ada ramai kawan yang cakap lepas. Yang lebih “laser” pun ada. Tak hairan pun. Kalau orang tak suka dengan mulut kami ni, dah ramai yang angkat kaki tak nak berkawan dengan kita orang.
Rasa-rasanya ramai ke penonton yang kenal anda di luar sana?
Saya sedar yang saya ni baru lagi. Itu sebabnya rancangan ini masih menggunakan hos popular macam Sarimah Ibrahim yang turut membantu menghidupkan Tangkap Muat. Tapi bak kata Zulfazli, kalau tak popular takkan saya jadi hos rancangan tu? Macam Zulfazli pun popular juga, dua produk kecantikan nak ambil dia jadi juru cakap. Tak popular lagi?
Patutkah dilabelkan hos mulut jahat?
Walaupun saya “laser”, tapi kena ingat. “Laser” pun ada isi. Tapi kami tak maki orang. “Laser” dengan maki berbeza. Lainlah saya maki hamun peserta, itu kami terima kalau dikritik. Setakat “laser” usik mengusik ni… hal yang remehlah. Sebelum kami, dah ada personaliti yang dilabel sebagai mulut “laser”, jadi apalah sangat saya nikan?
Kau orang ni tak ikut skrip ke waktu kerja?
Skrip memang tak disediakan, cuma yang ada hanya garis panduan saja. Bila kami bertemu dengan peserta, barulah kami bincang apa yang hendak diperkatakan.