Johan akui nikahi Ozlyn lima tahun lalu


ADA wartawan beranggapan Johan Raja Lawak kurang mesra media, tetapi hakikatnya, Johan bukanlah seperti yang difikirkan. Bertemu dan berborak panjang dengan Johan ketika di lokasi penggambaran filem Bujang Terlajak arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen tidak lama dulu membuatkan Raja pecah perut dengan telatah dan mimik mukanya.

Entahlah, jauh di sudut hati, Raja tengok Johan ni baik dan merendah diri orangnya. Mungkin, dulu Johan terpaksa bersikap menjauhi wartawan kerana berkecil hati apabila sering dikaitkan dengan cerita kurang enak dan memalukan. Yalah, Johan pun ada hati dan perasaan, apabila kerap dihentam dan dikutuk, mungkin lebih baik dirinya mendiamkan diri.

Tapi apa yang membuatkan Raja terkejut apabila Johan mengakui pada Raja, dia dan isterinya, Ozlyn Waty sebenarnya dah berkahwin sejak lima tahun dulu. Memang melopong mulut Raja mendengarnya. Mereka bertemu dan berkahwin ketika Johan belum bergelar artis lagi. Tapi perkara itu dirahsiakan hinggalah Raja bertanyakan soal anak. Ramai mengetahui sebelum berkahwin, Ozlyn dikatakan sudah mempunyai seorang cahaya mata. Gambar Johan, Ozlyn dan kanak-kanak itu pernah disiarkan dalam sebuah akhbar sebelum ini. Bagaimanapun, ramai tertanya-tanya dengan siapa Ozlyn berkahwin sebelum ini? Ada yang khabar angin mengatakan Ozlyn berkahwin dengan seorang aktor popular berusia lewat 20-an. Entahlah, persoalan itu tidak terjawab hingga hari ini dan aktor popular itu pun selalu megnelak apabila ditanya hal ini.

"Itu anak saya," kata Johan ringkas.

"Saya dan Ozlyn sudah berkahwin sejak lima tahun lalu. Kami berkahwin sebelum saya menyertai program Raja Lawak lagi. Sebenarnya, majlis persandingan dulu awalnya saya dan Ozlyn sekadar mahu adakan majlis rumah terbuka, tetapi atas permintaan keluarga, kami buat majlis persandingan sekali. Tapi, saya sebenarnya tidak selesa bercerita soal peribadi.

"Bukan menjauhi media atau berlagak sombong, tetapi saya tidak mahu cerita peribadi menjadi tatapan umum. Saya perhatikan ada kala lebih banyak cerita buruk yang ditulis. Sehingga hari ini, saya belum bersedia mendedahkan anak-anak saya pada umum. Mereka masih kecil, rasanya belum sesuai.
“Cukuplah, saya dan Ozlyn saja yang terbabit dalam dunia seni,” kata Johan dengan jujur. Yalah, kalau itu pendirian Johan, Raja menghormatinya.

Johan beritahu Raja, kes dipukul oleh seorang pengarah tidak lama dulu memberi tamparan buatnya. Kesannya, dia dan isteri lebih berani dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang.

“Kesannya tetap ada, tapi saya lebih bersedia dan berani. Bagaimanapun, ada produser takut mengambil saya berlakon dalam sebuah filem aksi disebabkan kes itu. Saya reda, rezeki di tangan Tuhan. Rasanya tak perlulah nak ungkit lagi kes berkenaan kerana sudah menjadi kes mahkamah. Tak perlulah nak buat andaian siapa salah, siapa betul. Kita tunggulah perbicaraan nanti.

“Saya akui perjalanan hidup saya sebagai anak seni terlalu banyak rintangan, tetapi adatlah, artis mana yang tidak dilanda kontroversi? Memang sukar nak menepis, suka atau tidak, saya terima dengan hati terbuka. Apa yang baik dijadikan teladan, sebaliknya perkara buruk dijadikan sempadan,” katanya.

Eloklah Johan, tak perlulah memikirkan cakap-cakap orang, sakit kepala dan jiwa dibuatnya. Yang penting, Johan bagus...