Buang ego, sabar hadapi dugaan - Jimmy


“MEMANG saya akan ke Mahkamah Rendah Syariah pada 8 Mac ini (Selasa) tetapi bukan untuk memfailkan perceraian seperti yang dihebohkan.

“Sebaliknya saya ke sana untuk membuat permohonan nusyuz dan tuntutan taat kepada isteri, Nursuhaila Eliani Suhaimy. “Kami masih lagi suami isteri dan saya berharap usaha ini dapat memperbaiki hubungan dengan isteri yang sedang dingin,” kata pengacara, Jimmy Shanley menjelaskan status rumah tangganya yang dilaporkan bergolak sejak pertengahan November lalu. Jimmy, 31, diijabkabulkan dengan Nursuhaila pada 1 Oktober 2010 di kediaman isterinya di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh namun kemanisan yang dikecapi tidak bertahan lama.

Ketika inai masih merah di jari, rumah tangga mereka dikatakan bergolak pada pertengahan November lalu apabila Jimmy ke Mahkamah Rendah Syariah untuk sesi kaunseling.

Disentuh mengenai isu itu, Jimmy selesa mengambil pendekatan berdiam diri dan tidak melatah dengan apa yang berlaku.

Terpulang apa juga persepsi masyarakat terhadap mereka kerana bekas pengacara Trek Selebriti ini memilih untuk tidak berkongsi dengan khalayak masalah yang sedang dilaluinya.
Apa saja keputusan berkaitan rumah tangganya yang akan diambil nanti, Jimmy berkata, ia dibuat berlandaskan akal yang rasional dan bukan mengikut kata hati.
Sebagai suami, Jimmy masih mengharapkan rumah tangga mereka dapat diselamatkan apatah lagi ketika ini Suhaila sedang mengandung anak sulung.

Jimmy bertekad untuk berbuat apa saja bagi mempertahankan perkahwinan mereka kerana tidak mahu anak yang dilahirkan nanti membesar tanpa kasih sayang kedua ibu bapanya.

“Saya membuang segala ego dan bersabar menelan segala dugaan Tuhan kerana memikirkan masa depan anak yang bakal dilahirkan.

“Saya sendiri membesar tanpa puas merasai kasih sayang ayah yang pergi meninggalkan kami pada usia 4 tahun. Jadi, saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anak kami nanti.

“Saya berdiri kuat kerana bayi yang masih dalam kandungan isteri dan percaya kelahirannya nanti akan membawa perubahan kepada kami berdua,” katanya.

Jimmy menerima kenyataan, tidak mudah untuk melayari hidup ini sendirian apatah lagi dirinya cuma sempat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami selama 20 hari sebelum isterinya memilih untuk membawa diri.

Barangkali jika perkara ini berlaku kepada lelaki lain, pasti tindakan yang diambil isterinya itu memberikan kesan emosi mendalam.

Jimmy menerima segala yang berlaku itu sebagai tamparan hebat dalam perjalanan hidupnya apatah lagi tindakan itu diambil isterinya ketika inai di jari masih merah.

Bagaimanapun, Jimmy enggan melatah jauh sekali menuding jari dan menyalahkan orang lain atas takdir yang tertulis untuknya.

Melihat ke dalam dirinya, Jimmy akur barangkali dirinya sendiri pernah berbuat silap lalu Allah menurunkan ujian untuk dia memperbaiki kelemahan serta kekurangannya.

“Saya tidak perlu marah kepada Tuhan dan bertanya mengapa ini yang harus saya lalui semua ini. Apa yang datang ini adalah ujian kecil daripada Allah untuk menduga kekuatan dan kesabaran.

“Terpulang apa persepsi orang ramai, saya tidak peduli semua itu. Setiap yang berlaku mempunyai sebab musabab tersendiri yang tidak mampu untuk dikongsi. Cukup jika saya, isteri dan keluarga saja yang tahu.

“Allah tidak menurunkan sesuatu ujian jika hamba-Nya tidak mampu melalui dugaan itu. Tuhan memilih saya kerana Dia tahu saya mampu bersabar untuk menunggu dan mencari jalan penyelesaian terhadap semua masalah ini,” katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak pada 13 Julai 1980 itu akur tangan kecilnya tidak mampu untuk menutup mulut yang sesuka hati melempar kata nista terhadapnya.
Jimmy juga tidak takut untuk terus berdepan dengan persepsi masyarakat kerana perkahwinan itu didirikan atas dasar cinta dan keikhlasan.

Perkahwinan kata Jimmy, bukan sebuah pertaruhan untuk melihat siapa menang dan siapa kalah malah tidak sesekali ikrar itu dibuat kerana gelap mata dengan kekayaan keluarga isterinya.

“Hidup di atas muka bumi bukan hanya berlandaskan wang ringgit dan kekayaan. Memang wang dan kekayaan memungkinkan kita untuk memiliki apa saja tetapi bukan kebahagiaan.

“Hati yang tenang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia datang bersama keikhlasan dan jika ada yang berfikir saya memperjudikan perkahwinan hanya untuk mendapat kesenangan, mereka salah,” katanya tegas.

Mengenai kerjayanya sebagai pengacara, tujuh tahun mengendalikan program hiburan ringan, Trek Selebriti, lelaki berbintang Cancer ini menagih cabaran baru dengan memulakan sesuatu yang baru pada 2011. Idea peralihan itu dipersetujui hasil perbincangan bersama pengurusannya, Astro Entertainment kerana dia masih bernaung di bawah payung itu sehingga Jun 2012.

Memandang tinggi keupayaan Aznil Nawawi yang meletakkan kualiti pengacaraan setaraf dengan penyanyi dan pelakon, Jimmy bersyukur kerana bakatnya terus mendapat kepercayaan peminat untuk terus berada dalam Top 5, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Pada masa sama, anak bongsu lapan beradik ini ingin meneroka bidang lakonan kerana naluri sebagai anak seni sentiasa mendesaknya untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencabar kemampuan.

“Saya tidak mahu berlakon kosong, justeru saya ingin mendalami ilmu lakonan dengan menyertai teater. Saya serius apabila mengambil sesuatu keputusan dan akan memberikan tumpuan 100 peratus untuk memastikan kepercayaan diberikan tidak dihampakan,” kata peminat Que Haidar itu.