Norman Abdul Halim atau Norman KRU bukan saja artis yang berjaya, malah dikenali sebagai usahawan yang mencipta nama dalam industri hiburan dan media tanah air. Memulakan kerjaya sebagai artis berkumpulan sejak usia belasan tahun, bersama dua lagi saudaranya, Yusry dan Edry Abdul Halim, mereka kini memiliki empayar perniagaan hiburan dan media sejak 1992 dikenali sebagai KRU Studio. Norman yang juga Presiden Eksekutif KRU Studio pernah dinobatkan Tokoh Usahawan Cemerlang Anugerah Keusahawanan Asia Pasifik 2007 anjuran Enterprise Asia. Ikuti temu bual wartawan ROHANIZA IDRIS bersama beliau mengenai isu belia di negara ini.
APA pandangan anda mengenai belia Malaysia sekarang
Sebelum saya menjelaskan lebih lanjut, kita perlu lihat lokasi dan tempat tinggal serta latar belakang mereka. Antara satu belia dengan belia yang lain berbeza. Belia di bandar sudah tentu berbeza dengan belia di luar bandar, begitu juga perbezaan ketara dilihat melalui perbezaan kaum dan budaya serta cara hidup mereka.
Saya tidak boleh menyatakan semua belia di negara ini golongan yang bermasalah atau tidak maju. Namun, pada saya pengetahuan belia mengenai dunia semasa, semakin jelas.
Contohnya di bandar, saya dapat lihat, belia tahu perkembangan dunia terutama mereka yang selalu menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Belia di bandar juga sekarang lebih berpengetahuan dan ada pendirian tersendiri, golongan ini bukan lagi kelompok yang mudah untuk dipengaruhi dan kita juga tidak boleh memaksa mereka lagi. Mereka kini mempunyai buah fikiran dan pendapat masing-masing serta berani bersuara. Jadi kelompok belia di kawasan bandar adalah golongan sebegitu.
Untuk di luar bandar, saya berpendapat ada belia yang masih tidak tahu hala tuju mereka sehingga terbabit dalam gejala sosial seperti kegiatan mat rempit. Mungkin mereka kurang pendedahan dan dorongan cara bagaimana menghadapi dunia serba canggih. Saya lebih risau dengan golongan belia yang ketinggalan ini. Kalau belia yang tahu mengenai perkembangan semasa melalui internet dan akhbar, mereka sedikit sebanyak lebih berjaya. Saya percaya mereka yang tidak tahu perkembangan semasa ini adalah kelompok yang mendatangkan masalah kepada masyarakat pada masa akan datang.
Bagaimana perbezaan belia pada zaman anda dengan zaman sekarang
Saya berpeluang menjadi Pengetua Akademi Fantasi musim kelapan dan ia sedikit sebanyak memberi kesempatan untuk saya bersama golongan belia berumur 18 hingga 21 tahun. Jadi saya dapat lihat generasi belia kini lebih berani, lebih banyak bertanya, lebih yakin dengan diri sendiri dan boleh memberikan pendapat dan menyatakan pendirian diri sendiri tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak atau pengawasan orang yang lebih berumur daripada mereka.
Ketika zaman saya dalam usia 18 hingga 21 tahun, pendedahan itu amat kurang, pengetahuan terhad malah keyakinan diri pun kurang. Berbeza dengan belia kini, saya dapat lihat mereka lebih berkeyakinan, lebih terdedah kepada banyak maklumat, malah mereka tahu banyak mengenai perkembangan semasa. Mereka juga tidak takut bertanya dan memperbaiki kesilapan yang telah mereka lakukan dan bertanggungjawab dengan apa yang sudah dilakukan.
Bagaimana belia dapat menentukan hala tuju mereka dan apa yang perlu menjadi keutamaan mereka sekarang
Belia sekarang perlu melihat sekeliling mereka untuk menentukan hala tuju dan apa yang mereka boleh buat dalam hidup masing-masing. Mereka juga perlu mengenal pasti kemahiran masing-masing bukan setakat minat saja. Belia perlu buat pengkhususan kemahiran dalam bidang tertentu bukan semata-mata terikut-ikut ‘trend’ semasa.
Namun, seperti yang saya katakan tadi, belia kini ada dalam pelbagai kelompok iaitu yang maju dan ketinggalan. Ada juga kelompok yang terpelajar dan bijak menentukan hala tuju masing-masing, pada masa sama ada kumpulan tercicir dan ketinggalan dalam pembangunan modal insan.
Saya rasa dengan banyak pendedahan kejayaan belia tertentu yang boleh dijadikan ‘role model’ sama ada di dalam dan luar negara atau ikon tempatan dan antarabangsa, maka ia akan membuka mata dan menyedarkan belia untuk menentukan hala tuju dan susun strategi untuk berjaya. Dengan adanya ‘role model’ ini, belia dapat menjadikan ia penanda aras dan inspirasi untuk mereka berjaya serta menentukan hala tuju masing-masing.
Bermakna anda setuju yang belia perlukan ‘ikon’ untuk berjaya dan siapa yang sepatutnya menjadi ikon belia
Ikon tidak bermakna dalam kelompok belia itu sendiri. Seperti saya, ketika umur 18 hingga 21 tahun, saya melihat artis , penyanyi dan pelakon sebagai ‘role model’ tetapi apabila dewasa, saya menjadikan usahawan seperti kenalan saya Datuk Tony Fernandes sebagai ikon, selain tokoh politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai ikon.
Jadi belia boleh pilih sesiapa saja untuk menjadi ikon mereka sama ada artis, usahawan, tokoh politik atau tokoh pendidikan dan tokoh dalam bidang lain juga.
Saya berpendapat, golongan belia yang berpengetahuan semakin banyak. Nak katakan Malaysia ada masalah sosial membabitkan belia tidaklah banyak dan tidak perlulah digembar-gemburkan sangat kerana sejak dulu lagi pun masalah berkenaan sudah wujud. Lain generasi lain masalah sosialnya. Cuma dulu pendedahan media mengenai masalah sosial kurang.
Apa yang penting, kita lihat sekarang generasi belia lebih ‘vokal’, banyak bersuara, lebih berpendirian dan tidak mudah dimanipulasi pemikiran mereka. Cuma kita kena memberikan maklumat dan mendampingi golongan belia.
Mungkin agak sukar mendekati belia sekarang kerana mereka ‘up to date’, terkehadapan dan terkini walaupun bukan semua maklumat yang mereka terima terutama daripada internet adalah betul.
Belia perlu diberikan pendekatan yang menyeluruh selain mereka perlu didekati dengan lebih rapat atau ‘personal’, kita harus mendampingi dan mendekati belia kerana ia lebih efektif. Contohnya, kita mendekati golongan mat rempit, berkenalan dan berdampingan bukan hanya menegur saja.
Adakah program untuk belia Malaysia sekarang sudah memadai seperti Rakan Muda dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan apakah program yang sesuai untuk golongan ini
Sebenarnya, masalah ini sangat kompleks kerana aliran pendidikan sekolah yang banyak di negara ini menyebabkan sukar untuk menentukan program yang sesuai bagi beliau terutama dalam soal perpaduan. Bagi saya kalau kita buat PLKN dan Rakan Muda untuk beberapa bulan saja, tidak mencukupi untuk menjadikan belia kita bersatu padu, berdaya saing, berintegriti dan mempunyai jati diri.
Saya rasa program untuk mendekati belia harus lebih menyeluruh. Kita perlu mengenali belia ini menggunakan teknologi untuk berhubung dan mendekati mereka. Penggunaan ICT lebih mudah untuk kita berhubung. Jika mahu berjumpa dan bersemuka mungkin lebih sukar terutama untuk mengumpulkan mereka.
Dengan ICT semuanya mudah, kita tahu alamat mereka, laman web, alamat e-mel, nombor telefon dan sebagainya, jadi ada banyak cara baru berhubung dengan belia tidak perlu lagi menggunakan cara konvensional. Saya percaya perhubungan baru lebih memudahkan kita berhubung dengan belia.