Fasha Sandha ulas kenapa tidak berminat terima tawaran berlakon filem
SENGAJA perbualan pada pertemuan akhir Ramadan lalu dihalakan kepada sisi serius Fasha Sandha dengan menyelami setiap inci perjalanan dirinya yang bergelut mencari ruang udara selesa. Seakan mahu mengusir segala paparan klise yang pernah melekat pada setiap langkah artis yang sinonim dengan frasa kontroversi itu, Fasha kini bagaikan terus bersemangat untuk bangkit menerusi kerjaya seni lakon biarpun kini mula mendapat jolokan ‘Ratu Drama’.
Beralih dari satu lokasi ke lokasi drama berantai berlainan, seolah-olah membayangkan keselesaannya beraksi dalam produksi kecil berbanding ke layar perak.
Senario itu jauh berbeza berbanding ketika dia mula memasuki dunia lakonan di mana wajah Fasha lebih banyak menghiasi layar lebar, bukan kaca televisyen seperti dewasa ini.
“Bukan tidak sudi tetapi saya perlu lebih selektif dan teliti jika mahu ke layar perak. Ketika industri drama dan filem sedang berkembang, saya harus bijak merencana perjalanan karier.
“Untuk apa pergi ke filem jika karakter yang ditawarkan langsung tidak berbekas? Lebih baik saya berlakon drama. Saya tidak mahu membintangi filem jika sekadar menjadi pelengkap tanpa meninggalkan apa-apa kesan kepada penonton,” katanya.
Sebagai pelakon tidak kira apa juga medium pemilik nama lengkap, Nur Fasha Sandha Hassan itu berkata, dia tetap menuntut komitmen dan keseriusan yang sama. Bermain dalam pasaran industri yang kecil memaksanya supaya tidak mengehadkan penampilan pada satu medium semata-mata.
“Senario di sini tidak sama dengan di luar. Pasaran yang kecil membuatkan pelakon tidak boleh meletakkan diri untuk berkarya sama ada cuma di filem atau drama saja. Memang industri filem tempatan sedang berkembang pesat tetapi banyak faktor lain perlu saya pertimbangkan. Apakah semua filem mampu memberikan kualiti sama atau disempurnakan sekadar melepas batok di tangga?
“Kita memerlukan lebih banyak pemain yang berani membawa industri filem tempatan ke satu tahap baru. Itu yang saya nantikan, namun jika ditakdirkan rezeki belum menyebelahi saya salurkan dulu kecintaan itu kepada lakonan drama,” kata Fasha memberikan rasional tindakannya itu.
Membawa topik perbicaraan itu lebih mendalam, Fasha bagaimanapun menolak pandangan segelintir pihak yang melihat nilai komersial seseorang pelakon itu akan merudum jika terlalu kerap muncul di kaca televisyen.
Katanya, usah terlalu tinggi berkhayal hingga lupa bumi yang dipijak kerana perjuangan seseorang pelakon itu tidak akan bernoktah selagi bakat masih diperlukan.
“Mengapa perlu bataskan peluang kerana pelakon itu sendiri yang mencorakkan bagaimana perjalanan kariernya. Usah bermain dengan bayang-bayang sendiri jika itu hanya membawa kerugian,” jelasnya.
Melihat keselesaannya hari ini, Fasha memberitahu, dia sentiasa mensyukuri segala nikmat yang diberikan Tuhan kepadanya.
Malah Fasha juga enggan berangan terlalu tinggi kerana baginya, cukup sekadar memiliki karier yang lancar selain impian bergelar ahli perniagaan tercapai dengan pembukaan Chinta Salon.
“Dua karier ini saja sudah menuntut fokus yang terlalu besar daripada saya. Saya tidak mahu berfikir terlalu jauh, bimbang nanti apa yang diimpikan tidak tercapai,” katanya yang Syawal lalu muncul dalam drama, Ku Petik Dosa menerusi siaran TV3.
Selesa romantis bersama Botak
MENEBUALNYA mengenai lakonan dalam drama ketika ini, Fasha galak memancing perbualan mengenai kerjasamanya dengan pelakon muda, Johan As’ari. Dia akui kagum terhadap bakat besar yang dimiliki pelakon yang mendadak popular selepas muncul dalam drama bersiri terkenal, Juvana.
Fasha dipertemukan dengan pemain watak Botak dalam Juvana itu menerusi drama romantis terbaru yang menghiasi slot Lestary di TV3 iaitu Cinta Elysa bermula 13 September ini. Meskipun belum disiarkan, foto publisiti mereka berdua yang tersebar di laman maya membangkitkan pelbagai reaksi peminat yang melihat keserasian pada gandingan itu.
Cuba membidik soalan nakal, gadis berusia 27 tahun itu mengakui selesa mendampingi Johan. Cuma itu pengakuannya sebelum Fasha segera memintas dan membawa perbualan kembali ke trek asal. Keselesaan mereka cuma tercipta di lokasi penggambaran sementelah bakat baru itu juga mempamerkan kemampuan yang membanggakan.
“Selain skrip dan pembangunan watak, pelakon gandingan juga menyumbang faktor utama untuk saya menerima tawaran daripada sesebuah produksi.
“Bukan cuma Johan yang membuat saya selesa di lokasi, pengarahnya Along Kamaluddin juga teliti lantas membangkitkan kesungguhan kepada kami berdua untuk memberikan yang terbaik,” katanya yang masih berada di lokasi drama itu sehingga pertengahan bulan ini.
Teruja memperincikan setiap perjalanan sepanjang penggambaran drama bersiri terbitan Suhan Movies itu, Fasha mengakui, dirinya menemui kepuasan maksimum tatkala beraksi di lokasi Cinta Elysa. Apatah lagi, Along katanya, ialah seorang pengarah yang menitikberatkan pergerakan setiap pelakon lantas memberikannya cabaran untuk mendalami watak yang dijayakannya.
Sejurus usai penggambaran Cinta Elysa, Fasha mengambil sedikit masa memperhalusi tiga tawaran baru yang setiap satu menawarkannya watak mengujakan.