Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta Ana, Riz dapat restu


SEBAIK sahaja pasangan ini menghebahkan kepada umum mengenai perhubungan mereka, memang tidak dinafikan ramai yang terkejut.

Mana tidaknya, tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja cerita cinta antara Ana Dahlia dan Mohd. Nadzri Redzuawan atau Riz mendapat perhatian sedangkan sebelum ini tidak langsung kedengaran tentang kisah mereka.

Dalam diam, mereka bijak merahsiakan perhubungan yang sudah mencecah enam bulan itu sehinggalah kedua-duanya mencuri perhatian umum ketika hadir dengan pakaian sedondon sewaktu rakaman Melodi Raya, baru-baru ini.

Sedang enak kedua-duanya membuai rasa dalam dunia percintaan mereka, tiba-tiba ada berita yang mengatakan hubungan cinta mereka tidak direstui.

Individu yang dikatakan menjadi penghalang cinta mereka itu tidak lain adalah bapa Riz sendiri iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali seantero dunia sebagai Chef Wan.

Lebih-lebih lagi selepas tersebarnya berita kurang manis tentang Ana Dahlia yang dikatakan seorang janda dan sudah menjadi seorang anak yang lupa diri serta asal-usulnya.

Berpeluang bertemu dengan Ana Dahlia dan Riz pada majlis rumah terbuka yang diadakan di restoran On The Table milik chef muda itu di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Hits cuba merungkai kesahihan di sebalik khabar angin tersebut.

Baik Ana mahupun Chef Riz, masing-masing kelihatan terkejut dengan dakwaan tersebut sambil menafikan ia bukanlah seperti mana yang disangka.

"Jujurnya, Chef Wan tidak mempunyai masalah dengan perhubungan kami. Malah, hubungan saya dengan beliau juga dalam keadaan baik.

"Barangkali ada yang salah faham apabila Chef Wan mengatakan bahawa kami berdua perlu menyelami hati budi masing-masing sebelum mahu membawa hubungan ini melangkah ke satu fasa lain.

"Saya sendiri mengakui bahawa Chef Wan sendiri ada mengatakan sedemikian apabila kami memberitahunya bahawa kami benar-benar serius dalam hubungan kami.

"Maklumlah, kami baru berpacaran hanya dalam tempoh enam bulan. Jadi, kalau kami membuat keputusan untuk bertunang dan berkahwin, sudah pasti ia memerlukan tempoh yang lama untuk kenal antara satu sama lain," jelas Ana Dahlia dalam nada penuh diplomasi.

Dalam majlis itu, Chef Wan tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di New Zealand bagi memenuhi jemputan sempena sebuah festival masakan dan makanan di sana.

Buat masa ini, kata bekas peserta program realiti Pilih Kasih musim pertama itu, hubungannya dengan Riz berjalan dengan baik dan penuh bahagia sekali.

Malah, Ana sendiri telah menjemput Riz untuk beraya di rumah keluarganya di Taiping, Perak pada Syawal kedua lalu dan ternyata kesudian Riz telah membuktikan keikhlasan pemuda itu dalam mencintainya.

Kata Ana, dia hanya menjadi dirinya sendiri dan ternyata Riz menerima dia dan keluarganya seadanya.

"Ingin juga saya katakan di sini, baik Riz mahupun Chef Wan, mereka tahu segala-galanya tentang saya. Dalam hubungan kami tiada rahsia dan disebabkan itu, apabila ada yang menyebarkan cerita yang tidak betul tentang saya, ia bukanlah sesuatu yang perlu saya ambil serius.

"Apa yang penting, kami boleh menerima diri masing-masing dan sudah pasti saya ingin membawa hubungan kami ini ke peringkat seterusnya.

"Namun disebabkan kesibukan Chef Wan yang dengan kerjayanya, perbincangan tentang perkahwinan kami itu terpaksa ditunda seketika sehinggalah beliau benar-benar mempunyai masa lapang," ujar Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar ini bersungguh.

Bekas pramugari Air Asia ini juga menafikan dakwaan yang mengatakan dia menjalin hubungan dengan Riz kerana status dan latar belakang pemuda itu.

Tegasnya, soal itu langsung tidak timbul dan hubungannya dengan Riz adalah berlandaskan kejujuran serta keikhlasan.

"Kalau saya mahu hidup senang dengan cara mudah, saya boleh melakukannya sewaktu bertugas sebagai pramugari lagi di mana saya mengenali ramai orang dari pelbagai latar belakang dan kedudukan.

"Tetapi, saya sanggup bekerja keras untuk mencari rezeki bagi menanggung adik-beradik yang lain. Sebagai anak perempuan, saya perlu menjaga hati dan maruah kedua orang tua saya. Tidak sanggup untuk saya melukakan hati mereka yang telah banyak berkorban," ujar heroin filem Mantra ini dalam nada perlahan.

Dalam tempoh enam bulan mengenali Riz dan keluarganya, barulah Ana Dahlia mengerti sikap dan personaliti sebenar Chef Wan itu yang selama ini sering disalah anggap oleh segelintir pihak.

Bagi mereka yang mengenali chef tersohor itu, pasti mengakui ketegasan dan kesempurnaan yang amat dititik beratkan dalam setiap perkara yang dilakukannya termasuklah berhubung soal anak-anak.

Tetapi kata Ana, ketegasan Chef Wan itu bersebab terutama apabila membabitkan soal hubungannya dengan Riz.

"Sudah pasti, mana ada ibu bapa yang tidak mahu melihat anaknya bahagia. Dalam konteks hubungan saya, Chef Wan mahu memastikan Riz benar-benar bersedia memikul tanggungjawabnya apabila kami berkahwin nanti.

"Kerana itu seperti kata bapanya, Riz perlu bekerja keras dari sekarang kerana perkahwinan bukan untuk sehari dua. Chef Wan mahu anak-anaknya berdikari tanpa perlu mengharapkan bantuannya.

"Malah, Chef Wan ada memberitahu bahawa segala yang dimilikinya hari ini adalah hasil kerja kerasnya selama ini dan dia mahu anak-anaknya mengikut jejak langkah seperti itu," cerita Ana panjang lebar sambil sesekali memerhatikan gelagat Riz yang tidak menang tangan melayan tetamu yang hadir pada malam itu.

Dalam masa yang sama, pelakon berusia 28 tahun itu turut memberitahu dia kini merupakan pengurus peribadi kepada Riz dan menjaga segala jadual teman lelakinya itu.

Jelas Ana Dahlia, dia hanya sekadar mahu membantu Riz yang kini mula berjinak-jinak dalam dunia penerbitan televisyen.

"Saya sedar saya juga masih baru dalam bidang seni tetapi saya memberitahu Riz saya boleh membantunya serba sedikit dalam selok-belok bidang televisyen terutama bab kontrak," jelasnya yang masih sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Metro Skuad terbitan Skop Productions.

Diusik tentang tarikh perkahwinannya, sambil tersipu-sipu malu, Ana Dahlia tidak menolak kemungkinan, hari bersejarah mereka berkemungkinan diadakan awal tahun depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails