BULAN September lalu, pada pertunjukan fesyen musim luruh jenama Gucci, hadirin bukan sekadar menyaksikan himpunan busana menawan malah mereka turut dipamerkan dengan teknik solekan bibir yang mempesonakan.
Kemunculan barisan model profesional yang mengatur langkah di atas pentas peraga tampak menyerlah dengan calitan lipstik warna terang dan gelap.
Teknik solekan bibir tersebut bagai mengembalikan zaman kegemilangan trend solekan bibir tebal yang sebelum ini ditenggelami olesan gincu bibir nuansa lembut dan warna tanah. Segelintir pemerhati fesyen antarabangsa menyifatkan teknik solekan bibir tebal mampu menyuntik penampilan segar dan memukau.
Namun begitu, sehingga kini mereka mendapati segelintir wanita masih gusar mengaplikasi teknik solekan bibir sedemikian kerana bimbang dengan persepsi masyarakat sekeliling. Padahal, jauh di sudut hati, mereka sesekali teringin juga menata rias bibir bak bibir mongel selebriti antarabangsa, Angelina Jolie.
Siapa yang tidak mengenali pembawa watak Lara Croft dalam filem Tomb Raider tersebut? Memiliki bentuk bibir yang seksi dan tebal sudah cukup untuk mengangkat kekasih hati kepada aktor Brad Pitt itu sebagai ikon kecantikan dunia.
Pendek kata, sehingga kini istilah bibir seksi masih kekal di tangan Jolie, yang berusia 36 tahun. Biarpun hari ini industri Hollywood menyaksikan kehadiran pendatang baharu yang jelita dan seksi, ibu kepada tiga orang anak kandung dan tiga orang anak angkat itu tetap berada di tangga teratas.
“Kecantikan bibir Jolie adalah kecantikan semula jadi. Saya pasti dia tidak pernah melakukan sebarang suntikan botox mahupun pembedahan bibir. Lagipun saya pernah melihat gambar Jolie sewaktu dia berusia empat tahun. Bentuk bibirnya dulu dan kini kekal sama.
“Malah isteri saya, Melanie Griffith, pernah memasang impian untuk memiliki bibir seksi seperti Jolie yang mempunyai daya tarikan tersendiri,” jelas aktor, Antonio Banderas, yang pernah berlakon bersama Jolie dalam filem Original Sin pada tahun 2001.
Cantik semula jadi
Sementara itu, dalam satu temu bual bersama The Daily Mail, Jolie, yang sebelum ini pernah bergelar model di London, Los Angeles dan New York menyifatkan dia berbangga dengan bentuk fizikal kurniaan tuhan itu.
Belum pernah terdetik di hatinya untuk menjalani suntikan botox yang bukan saja membazirkan wang malah boleh memudaratkan diri.
Ini terbukti apabila pakar dermatologi Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, pernah mendedahkan kekerapan menjalani suntikan botox boleh menyebabkan kerapuhan otot muka, masalah gigi, bibir kering dan ruam kronik.
“Saranan saya kepada semua wanita, cintailah diri sendiri sepenuh hati. Jangan sesekali menyesal dengan apa yang dimiliki kerana setiap individu mempunyai keistimewaan dan kekurangan.
“Paling penting, usah rasa rendah diri kerana penampilan seseorang itu bermula dari dalam hati dan keyakinan diri yang tinggi. Bagi saya, wanita berbibir tebal atau nipis, bertubuh gempal atau langsing, masing-masing mempunyai sisi kecantikan peribadi,” tutur Jolie yang selesa mencalit gincu bibir rona natural berbanding nuansa merah terang.
Didakwa suntik bibir
Berbicara bersama model iklan Roshayati Rokbi, 30, atau nama komersialnya Sara, dia pernah berasa malu dan rendah diri dengan bentuk bibirnya itu.
Masih segar dalam memorinya seawal menceburkan diri dalam bidang modeling, dia sanggup memaksa jurusolek mempraktikkan pelbagai teknik solekan agar bentuk bibir yang tebal itu dapat dikecilkan.
“Sedekad lalu, kebanyakan agensi model lebih cenderung memilih model berbibir nipis sehingga saya berasa malu berada di sekeliling mereka. Maka, jalan pintas saya adalah dengan menyapu bedak asas di sekeliling bibir dan melukis semula menggunakan pensel bibir bagi menghasilkan bentuk nipis.
“Kadangkala saya mengeluh kenapa dilahirkan bentuk bibir yang tebal. Tapi, bentuk bibir sebegini sebenarnya diwarisi oleh keluarga ibu, Hatitah Jalil yang berketurunan, Punjabi,” jelas Sara yang pernah membintangi iklan Sendayu Tinggi, Electrolux, Anmum, Pos Malaysia dan TM Net.
Tidak dinafikan semua wanita mempunyai keinginan untuk cantik, tetapi Sara tidak sanggup menyeksa diri semata-mata untuk cantik biarpun dia kerap disindir melakukan suntikan.
Menyentuh mengenai rejim penjagaan bibirnya, anak kedua daripada lima orang adik-beradik itu menambah: “Setiap hari saya menyapu pelembap bibir dan minum banyak air putih bagi mengelakkan bibir kering dan mengelupas. Sebelum keluar rumah, saya pastikan bibir sentiasa dilapisi pengilat bibir supaya wajah tampak segar.”
Teknik solekan bibir
Memiliki bentuk bibir yang seksi dan tebal pasti menjadi idaman si wanita berbibir nipis. Mereka menyifatkan bibir nipis kurang menyerlah dan perlu berhati-hati tatkala mencalit gincu bibir kerana bimbang olesan menjadi comot.
Secara tidak langsung situasi berkenaan telah mendorong segelintir wanita berbibir nipis mengambil tindakan menjalani suntikan bibir.
Perkara ini diakui sendiri oleh Pengurus Klinikal Jualan Konsultan Clinique, Susan Kaur, yang melihat wanita kini semakin obses menyuntik bibir.
“Hakikatnya, tanpa suntikan, kita boleh memiliki bentuk bibir seksi dan tebal dengan hanya mempraktikkan teknik solekan bibir yang ideal,” tutur Susan Kaur ketika ditemui Stailo sambil menunjukkan set bibir jenama Clinique.
Ia terdiri daripada penyamar noda, pelembap bibir, skrab, penanggal solekan bibir dan krim merawat bibir kering dan mengelupas.
Sehubungan itu, bagi membantu wanita berbibir nipis tampil dengan bentuk bibir menawan, Stailo mendapatkan Eksekutif Promosi dan Acara, David Ooi, untuk menunjukkan lima langkah atau tip kecantikan bibir yang mudah diaplikasikan.