MAJLIS resepsi pasangan suami isteri, Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, pada 28 September lalu merupakan satu ceritera gah bagi industri seni tanah air.
Ini kerana mereka merupakan pasangan selebriti pertama yang mendapat tajaan penuh daripada Rafflesia Pearl Centre yang bernilai RM12 juta.
Dari hujung rambut hingga hujung kaki, Norman dan Memey ditaja. Itulah tuah yang tidak diduga oleh sesiapa, waima oleh Memey yang berasal dari Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Memey tampak jelita dengan pakaian bertahta mutiara segar berharga RM500,000 sewaktu melangkah masuk ke ruang yang direka khas oleh perunding perkahwinan Nas the Great dengan tema persandingan ala New York.
Sewaktu melangkah masuk, Memey diiringi oleh pelakon Julia Ziegler, Miera Liyana, Nur Fathia dan Eina, sementara Norman yang mengenakan baju rekaan Lords Tailor diiringi oleh Fizz Fairuz, Afiq Muiz dan dua pelakon Indonesia, Didi Riyadi dan Samuel Rizal.
Suasana ruang yang menempatkan empat kanopi putih itu menjadi semakin meriah dengan persembahan koir RTeez.De.Chorale yang dianggotai oleh 20 orang.
Selain koir, para tetamu yang rata-rata adalah rakan artis sekitar 100 orang itu turut dihiburkan dengan dendangan lagu daripada Fauziah Latiff, Farhan, Amanda Amani dan Azhar Osman.
Majlis yang bertemakan kota metropolitan New York dengan warna hitam putih itu menyediakan makanan Melayu yang bertemakan santapan mutiara kasih.
Pada majlis tersebut juga, Memey mengenakan gaun warna kulit rekaan Vera Wang dan kasut yang direka khas oleh Profesor Datuk Dr. Jimmy Choo untuk acara memotong kek.