Dayang bersantai di Amsterdam


SEJAK memasuki industri hiburan pada 1999, kesempatan berlibur hanya diperoleh penyanyi bersuara lunak kelahiran Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah Awang Dowty setiap kali tiba musim Aidilfitri.

Sedikit berbeza kerana sering kesempatan itu dimanfaatkan Dayang untuk bersama keluarga, menebus kembali waktu yang disita sejak berhijrah ke Kuala Lumpur. Lantaran cinta dan dedikasi terhadap nyanyian juga membuat Dayang seperti tersihir hingga lupa mencari masa untuk dirinya sendiri.
Akur mindanya juga memerlukan rehat dan ruang damai, penyanyi yang popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu nekad melupakan seketika tuntutan dunia nyanyian yang tidak berkesudahan, baru-baru ini.
Dayang, 30, memilih untuk terlebih dulu bersantai di London, sebelum berlepas ke Amsterdam, Belanda kerana undangan mengadakan persembahan makan malam anjuran Kedutaan Malaysia di sana. Ditemani teman baiknya yang juga Pengurusan Jualan dan Pemasaran, Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Sharina Ahmad, Dayang berlepas ke London pada 16 September lalu dan berada di sana selama seminggu.

“Ini kali pertama Dayang dapat berehat sepenuhnya. Bukan tidak pernah mengembara ke luar negara, cuma tidak puas kerana selalunya Dayang terikat dengan jadual persembahan. Tetapi kali ini Dayang letakkan ke tepi semua urusan kerja, sebaliknya Dayang menikmati setiap ruang yang ada untuk menjamah keasyikan bercuti itu tanpa bebanan.

“Seronok sesekali dapat bersantai dan berjalan bebas tanpa memikirkan hal kerja. Kami juga tidak merancang aktiviti, sebaliknya menjelajah seluruh isi kota London mengikut gerak hati,” kata Dayang yang tidak keberatan berkongsi foto kenangan sepanjang di sana.

Usai meneroka kota kebanggaan masyarakat Inggeris, Dayang dan Sharina berlepas ke Amsterdam untuk menghibur rakyat Malaysia yang bekerja di situ.
“Niat asal cuma mahu bercuti kerana Dayang sangat memerlukan rehat. Tanpa disangka, datang pula tawaran untuk membuat persembahan di Amsterdam. Memikirkan jarak antara London dan Amsterdam tidak jauh, kebetulan pada tarikh itu Dayang masih bercuti di sana, Dayang penuhi juga permintaan itu.

“Persembahan anjuran Malaysian Association of the Netherlands itu berlangsung di Bel Air Hotel, The Hague dan Dayang menghiburkan mereka dengan lapan lagu. Layanan diberikan cukup baik dan Dayang berterima kasih kepada Duta Malaysia di Amsterdam, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib yang sentiasa memastikan keselesaan kami di sana,” katanya.

Percutian singkat itu akui Dayang, memberinya semangat baru apabila kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan semula agenda seninya yang tertangguh.’

Lebih tiga tahun tidak menghasilkan album studio, Dayang pada Mei lalu muncul dengan produksi kelapan, Sayang & Cahaya menyaksikan gadis hitam manis ini kembali dengan sentuhan R&B segar.

Ketika ini, Dayang mampu menarik nafas lega apabila single, Saat Itu mula dimainkan stesen radio. Mengakui penerbitan album itu mengambil masa yang panjang, Sayang & Cahaya katanya, adalah cermin kejujurannya sebagai seorang anak seni. Dari segi keseluruhan produksi, kata Dayang, dia berpuas hati kerana album itu menampilkan kematangan tidak hanya pada susunan muzik sebaliknya vokal dan cara penyampaiannya.

“Tidak dinafikan, sebagai penyanyi Dayang terikat antara kemahuan peminat dan keinginan Dayang untuk menampilkan kematangan dalam berkarya. Bagaimanapun, Sayang & Cahaya cuba mencari titik keseimbangan kerana Dayang tidak boleh terlalu mengikut kehendak hati. Mungkin album ini tidak terlalu bersandar kepada kekuatan lagu balada tetapi tidak bermakna Dayang mengenepikan kehendak permintaan.

“Bukan menolak genre itu cuma Dayang berdepan kesulitan untuk mendapat komposisi lagu balada yang hebat. Selagi belum bertemu, Dayang lakukan dulu apa yang termampu selagi perubahan dibuat tidak menjauhkan Dayang dengan peminat,” katanya.

Tak rasa rugi lambat berkahwin

BERSIH tanpa dipalit gosip, hingga saat ini Dayang masih belum dijentik sebarang cerita hangat yang mengaitkannya dengan lelaki.

Sering apa yang dikongsi Dayang bersama media dan peminat cuma hal berkaitan kerjaya, namun kisah peribadinya jarang disentuh.

Cuma akhir-akhir ini, apabila usianya menganjak 30 tahun pada 20 Julai lalu, perkara itu mula dibicarakan secara terbuka.

Seperti manusia lain, Dayang juga menyimpan keinginan untuk berpacaran namun akur, Tuhan masih belum menemukan dirinya dengan seorang lelaki yang mampu membuka pintu hatinya.

“Jodoh adalah rahsia Allah dan ia bukan sesuatu yang boleh dirancang. Jika Dayang berusaha keras mencari tetapi Tuhan belum menetapkan jodoh Dayang, ia tidak akan menjadi. Jodoh akan datang dengan sendiri, jadi Dayang tidak mahu terlalu memaksa diri. Bukan Dayang tidak fikirkan masa depan tetapi ketika ini, perkahwinan bukan perkara utama dalam hidup Dayang,” katanya.

Dayang berkata, dia tidak berasa rugi kerana lambat berkahwin kerana baginya, setiap manusia sudah tertulis qada dan qadarnya.

Dia juga tidak diusik sunyi selepas kedua ibunya tinggal bersama di Kuala Lumpur membuatkan Dayang tidak pernah terasa kekurangan tanpa ditemani kekasih.