Anuar Zain ada alasan
ADA riak kurang selesa pada lelaki ini tatkala diajukan soalan tentang perubahan wajahnya rawatan pembentukan wajah dilakukan penghujung tahun lalu.
Ini kerana ada dakwaan mengatakan ada segelintir peminatnya kebanyakan terdiri daripada wanita kurang gemar dengan tindakannya melakukan perubahan wajah. Mereka lebih suka wajahnya asal.
"Saya tak ada apa yang nak komen. Kalau orang tak suka, nak buat macam mana," ringkas saja jawabnya kepada Pancaindera.
Kata Anuar, perubahan itu berjaya mengendurkan wajah seriusnya pada waktu itu untuk kembali tersenyum.
"Saya selesa sebab saya kena jaga muka saya dan pastikan ia selalu nampak elok. Jadi saya kena buat sesuatu. Lagi pun tak salah buat sesuatu untuk penjagaan kulit.
"Saya cuma kurangkan lebihan kulit di bahagian bawah muka, itu saja," katanya yang ditemui selepas membuat persembahan Sepetang Bersama Anuar Zain anjuran Permaisuri Hotels & Resort di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Sabtu lalu.
Pada penghujung tahun lalu Anuar mendedahkan dia menjalani rawatan pembentukan wajah. Proses itu dibuat bagi mengurangkan lebihan kulit di bahagian bawah mukanya.
Bagaimanapun, kaedah rawatan yang digunakan itu sama sekali tidak menggunakan suntikan botox.
Bercerita tentang persembahan yang dibuat di negeri kelahirannya membuatkan Anuar teruja kerana berjaya menghiburkan hadirin dengan rangkaian lagu permintaan peminat seperti Someone Like You dendangan asal penyanyi Adele.
Sentuhan pengarah muzik Jenny Chin bersama Anuar malam itu mencoret kenangan manis apabila rata-rata hadirin terhibur tatkala lagu itu berkumandang.
Dalam pada itu, sebagai penyanyi yang memiliki nilai eksklusif yang sangat tinggi, Anuar mengakui punya cara tersendiri untuk menambat hati hadirin untuk sama-sama berhibur.
"Aura penyanyi dengan penonton harus bersatu. Itu cara untuk menjayakan persembahan. Saya pentingkan keseronokan penonton.
"Pemilihan lagu juga penting. Saya sukakan sesuatu kelainan dalam setiap kemunculan. Tak nak terlalu rigid pada satu cara. Saya juga suka campur aduk lagu lama dan lagu baru supaya lebih bermakna," katanya lagi.
Persembahan Sepetang Bersama Anuar Zain itu turut disaksikan sekumpulan 90 orang kanak-kanak dari Rumah Budak Laki-Laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun, Melaka.
Sepanjang persembahan selama sejam itu, Anuar menyampaikan himpunan lagu popularnya termasuk Kau Bunga Cintaku, Cinta Harus Memiliki, Terindah, Ketulusan Hati, Bila Resah, Keabadian Cinta dan Lelaki Ini.
Majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 1,00 tetamu itu turut menampilkan Nabil Raja Lawak dan Sharifah Shahirah selaku pengacara majlis.