Jangan sensasikan perkahwinan kami –ADDA BUTTERFLY
TAHNIAH Mangga Online ucapkan kepada penyanyi dan pelakon Nur Syuhada Baharuddin (24) yang telah selamat diijabkabulkan dengan lelaki pilihannya Farizwan Mohd (40-an) pada 30 Mac lalu di rumah keluarga lelaki di Pulau Pinang.
Namun kebahagiaan Adda dan suami sedikit terganggu bila timbulnya gosip yang mengatakan Adda berkahwin denga suami orang dan rela bermadu. Sebab itulah perkahwinan ini dirahsiakan tanpa pengetahuan peminat dan media.
Betul ke? Mangga Online pun mendapatkan penjelasan daripada Adda sendiri tentang gosip ni. Sewaktu dihubungi suara Adda ceria sangat! Maklumlah bahagia dengan suami cayang kan. Adda juga mengirimkan foto pernikahannya untuk tatapan pembaca Mangga Online dan Mangga.
Jom kita baca apa komen Adda tentang gosip ni!
Cerita Adda: “Sejujurnya memang saya rasa sedih sangat dengan gosip yang timbul ini. Kadang-kadang saya terfikir apa salah saya. Saya cuma ingin hidup bahagia bersama suami seperti isteri-isteri di luar sana.
“Saya minta maaf kerana tak beritahu mahupun menjemput peminat dan media ke majlis pernikahan saya. Saya tak jemput kerana memenuhi permintaan keluarga sebelah suami yang tak mahukan publisiti.
“Sebagai bakal isteri, sudah tentu suami saya yang menjadi keutamaan sekarang. Saya juga perlu mengambil kira kehendak keluarga sebelah suami.
“Kalau ada yang cakap saya nikah senyap-senyap sebab berkahwin dengan suami orang, itu tak benar sama sekali. Memanglah Farizwan tu nampak agak berusia, tapi dia bukanlah suami orang atau pun duda.
“Saya pun tak tahu apa yang telah saya lakukan sehingga ada yang tak puas hati dengan perkahwinan kami. Berkahwin adalah perkara yang elok di sisi agama. Sepatutnya sebagai sesama Islam kita patut sama-sama mendoakan kesejahteraan antara satu sama lain.
“Saya kasihankan suami yang tak biasa dengan gosip-gosip seperti ini. Ye laa… dia bukan dari kalangan artis, jadi ini perkara baru yang harus dia hadapi. Saya merayu janganlah sensasikan lagi perkahwinan kami. Sudah ditakdirkan kami bertemu jodoh. Saya memang tak mampu nak tutup mulut orang. Saya selalu berdoa agar Allah tetapkan hati saya supaya banyakkan sabar.
“Saya rasa bertuah mempunyai suami yang memahami dan selalu menyokong saya dalam apa jua keadaan. Walaupun timbul cerita-cerita yang kurang sedap didengar tentang perkahwinan kami, dia tetap bersabar dan boleh dibawa berbincang. Dia tak mudah melenting dan bersikap cool je… Susah nak cari lelaki seperti dia. Bila fikir-fikir balik, semua ini ada hikmahnya. Ia menguatkan kasih sayang dan cinta antara kami.”
Itulah penjelasan Adda yang merancang untuk mengadakan majlis persandingan di rumah kediaman keluarganya di Cheras Selatan, Selangor. Insya Allah…
Mahu empat orang anak
SETIAP pasangan suami isteri pasti mengimpikan cahaya mata sebagai pelengkap alam rumah tangga. Begitulah juga dengan Adda yang tak sabar-sabar nak jadi ibu tau! Wah…
Jelas Adda: “Siapa tak nak anak kan? Kami tak pernah merancang. Tapi kalau boleh kami mahukan empat orang anak sahaja. Dua lelaki dan dua perempuan gitu…
“Namun itu terserahlah kepada soal rezeki. Jika kami dikurniakan anak yang ramai pun lagi bagus. Itu semua rezeki Allah. Buat masa ini kami nak menghabiskan banyak masa bersama sebelum fikirkan nak mengandung. Hehe… Doakanlah kebahagiaan kami ya!”
Demikian cerita Adda yang mula mengenali Farizwan melalui seorang kawan ketika sedang lepak di Starbucks lebih setahun yang lalu. Kalau nak tahu, pada mulanya bukan senang Farizwan nak pikat Adda tau! Masa tu kiranya Adda jual mahal la kan… Hehe…
Akhirnya mereka ke jenjang pelamin. Kalau dah jodoh tak ke mana kan… Mangga doakan Adda dan suami bahagia hingga ke syurga.