Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Mahu bertahan dalam industri - Wawa Zainal
TERNYATA laluan gadis manis ini untuk terjun ke dalam dunia lakonan agak mudah berbanding pelakon muda lain. Empunya diri turut mengakui kenyataan tersebut dan menyifatkan permulaan langkahnya sebagai pelakon agak lancar berbanding rakan-rakan artis seusia.
Walaupun begitu, Wawa Zainal memberitahu, dia tidak pernah mengambil mudah akan tugas sebagai seorang pelakon malah menurut gadis kelahiran Lahad Datu, Sabah itu, dia percaya tanpa bakat serta kerja keras, seseorang pelakon itu tidak akan pergi jauh.
"Saya akui agak bernasib baik apabila dapat berada di tahap sekarang berbanding rakan-rakan yang lain.
"Ternyata membuat keputusan untuk berada di bawah Metrowealth Pictures (MIG) memudahkan laluan saya untuk berada dalam industri ini," katanya.
Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 20, minatnya dalam bidang lakonan sudah terbit sejak dari bangku sekolah lagi.
Bagaimanapun peluang untuk mengembangkan bakat di negeri kelahirannya yang terhad memaksanya untuk melupakan niatnya itu seketika sehingga dia menyelesaikan tanggungjawab sebagai pelajar.
Ternyata percaturan yang diambil gadis muda ini untuk melebarkan sayapnya di Kuala Lumpur berjaya mencipta sejarah untuk dirinya kini.
"Minat berlakon telah bermula sejak zaman sekolah lagi malah guru serta rakan banyak memberi dorongan untuk saya meneruskan impian ini.
"Kini saya sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan kepada saya. Dan peluang yang hadir di kala saya masih lagi terlalu hijau membuatkan saya terlalu bersyukur ," katanya.
Melihat kemunculan ramai bakat baru dewasa ini nyata ia bukan sesuatu yang perlu dirisaukan oleh Wawa malah dia menganggap perkembangan industri yang semakin baik kini telah membuka ruang yang lebih besar untuk bakat baru sepertinya mencuba nasib.
"Saya sendiri juga masih baru dalam industri tetapi melihat kepada perkembangan seni hari ini saya dapat rasakan dunia perfileman kini semakin terbuka untuk menerima lebih ramai bakat baru.
"Bagaimanapun sebagai seorang pendatang baru saya tahu disiplin serta bakat merupakan rahsia utama untuk bertahan dalam industri yang penuh cabaran ini," katanya yakin.
Dilamar
Pun begitu bukan mudah bagi gadis semudanya untuk membawa status pelakon muda yang memiliki kecantikan tersendiri.
Belum pun bakat lakonannya diuji ke tahap maksimum kerana hanya pernah berlakon dalam beberapa drama antaranya Ana Lulu, Bunga-Bunga Syurga dan Cinta Buat Emelda namun kehadiran Wawa dalam dunia seni memberi kesan tersendiri.
Tidak hairanlah andai baru setahun jagung bergaul dalam dunia artis, Wawa menjadi antara pelakon muda yang seringkali mendapat perhatian jejaka matang.
Malah pelakon itu tanpa berselindung mengakui bahawa dirinya sudah dilamar oleh beberapa orang VIP.
Bagaimanapun ia bukan suatu kejutan buat Wawa kerana sememangnya dia sudah bersedia untuk menghadapi cabaran dan dugaan yang seringkali menduga artis wanita muda sepertinya.
"Benar saya ada didekati beberapa VIP. Bagaimanapun saya menolak pelawaan mereka itu secara baik.
"Perjalanan saya dalam bidang seni masih jauh dan ada baiknya untuk saya memberi fokus kepada karier saya dahulu," katanya tersenyum.
Malah berkali-kali juga Wawa menolak dakwaan mengenai kontroversinya bercinta dengan pelakon popular masa kini, Shaheizy Sam seperti yang hangat diperkatakan tahun lepas.
Pelakon itu menegaskan cerita cintanya itu tidak benar sama sekali dan merupakan gosip semata-mata.
"Itu hanya gosip... Saya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Shaheizy Sam. Buat masa ini saya masih solo dan selesa bersendirian, katanya lagi.
Berdikari
Sedar akan gelaran anak seni yang tergalas di bahunya akan mencalitkan cabaran dan kontroversi namun tegas Wawa, dia akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku.
Ini kerana katanya, dia mahu peminat mengenalinya kerana bakatnya dalam dunia lakonan, bukan sekadar kontroversi.
"Saya tahu bukan mudah untuk seorang artis terlepas daripada diserang kontroversi.
"Tetapi bagi saya apa yang penting kini adalah untuk terus berfikiran positif dan berusaha keras mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pelakon yang disegani kelak," katanya tegas.
Anak kelapan daripada 11 adik beradik ini turut mengakui, keluarga besarnya itu banyak membantunya dalam melayari kehidupan bersendirian di perantauan.
Seorang yang berdikari, ternyata sikap yang ditunjukkan itu banyak memberi ruang kepercayaan kepada keluarganya untuk membenarkan Wawa tinggal sendiri di ibu negara untuk menggapai cita-citanya dalam bidang seni.
Malah Wawa berkata, dia tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan keluarga terhadap dirinya.
"Walaupun saya bersendirian tetapi saya tidaklah terlalu bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa pengawasan.
"Lagipun buat masa ini jadual saya terlalu sibuk dengan tugasan sebagai pelakon malah pihak pengurusan MIG juga banyak menjaga kebajikan saya kini," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]