"Saya kenal siapa Azad" - Eira

BELUM setahun pelakon popular, Eira Syazira melayari bahtera perkahwinan yang dibina bersama suami, Azad Jasmin John Louis Jeffri atau Azad Jasmin, pasangan ini sudah terjebak dengan pelbagai kontroversi. Rasanya khalayak sendiri sudah mengerti apakah cerita panas yang melanda Eira dan Azad Jasmin atau Azad sehingga menggemparkan industri hiburan seketika rentetan daripada majlis perkahwinan mereka pada September tahun lalu. Tidak hanya cerita panas itu yang menjadi perbualan tetapi sikap Azad menangani isu tersebut juga menjadi perbualan ramai. Secara tidak langsung, ramai yang mula nampak warna sebenar pelakon drama bersiri Adnan Sempit itu yang sebelum ini cukup dikenali sebagai seorang yang penuh humor dan lucu orangnya. Sebagai seorang isteri, sudah pasti Eira juga terpalit dengan persepsi masyarakat berhubung perlakuan si suami yang dilihat tidak profesional dan bersikap keanak-anakan dalam berhadapan dengan kontroversi. Tetapi bagi wanita berusia 28 tahun ini, dia enggan mengambil kisah apa yang diperkatakan oleh masyarakat tentang dirinya dan suami. Bagi Eira, hanya dia yang mengetahui siapakah suaminya yang sebenarnya dan sebagai isteri, adalah menjadi tanggung jawabnya untuk mempertahankan kedudukan Azad seandainya ada tuduhan melulu yang dilemparkan. Sama juga seperti dirinya yang dituduh dengan pelbagai fitnah yang mengaibkan sewaktu hendak mendirikan rumah tangga. Tetapi, sebagai seorang pelakon yang sudah 10 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, Eira sudah masak untuk mengawal keadaan. Jika ada yang tidak betul, dia lebih selesa untuk tidak membuang masa dan memikirkannya. "Saya lebih kenal Azad. Benar, orang luar mungkin melihat dirinya sebagai seorang yang kelakar dan lucu seperti mana karakternya di dalam filem mahupun televisyen. "Tetapi, dia juga manusia biasa yang mempunyai perasaan. Kalau ada yang tidak puas hati, dia akan suarakan secara lantang dan sama sekali tidak akan menyimpan perasaan. "Azad juga seorang yang berterus-terang dan kalau ada sesuatu yang mencabar dirinya terutama cerita tidak betul, dia akan bangkit dan mempertahankan diri. "Alhamdulillah, semua perkara yang berlaku sudah selesai dan kami tidak mahu lagi mengenangnya. Biarlah ia menjadi satu pengalaman untuk kami lebih matang mengharungi kehidupan sebagai suami isteri," luah Eira penuh luhur sewaktu ditemui di Studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Mendirikan rumah tangga pada 17 September lalu, ternyata Eira mempelajari banyak perkara baru untuk terus memperbaiki dirinya sebagai seorang isteri. Apa yang diutamakan oleh Eira dan Azad adalah aspek komunikasi dalam mengeratkan lagi hubungan mereka sementelah masing-masing sibuk mengejar karier sebagai pelakon. Justeru, apabila kedua-dua berada di rumah, mereka akan cuba mengalihkan perbualan daripada bercerita tentang kerjaya dan mencari ruang untuk melakukan aktiviti yang bersesuaian. "Kami amat mementingkan hubungan kekeluargaan dan apabila sudah bergelar suami isteri, kami mahu menjaganya. Lantaran itu, aspek komunikasi sangat penting. "Biar penat sekalipun, saya tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. "Apatah lagi, Azad sendiri sudah memberikan sokongan dan restu untuk meneruskan karier, jadi saya perlu memelihara batas serta tingkah laku untuk tidak menjadi bahan perbualan masyarakat. "Alhamdulillah, hampir setahun berkahwin, saya dan Azad cukup bahagia. Insya Allah, kami terus berdoa untuk ikatan ini kekal sehingga ke akhir hayat," jelas pemilik nama penuh Syazira Shuhaimi ini penuh optimis. Sempat diusik dengan pertanyaan tentang cahaya mata, sambil mengukir senyuman manis, aktres berwajah lembut ini sememangnya sudah bersedia untuk bergelar ibu setelah disahkan mengandung. Eira sendiri menyampaikan khabar gembira itu kepada peminatnya di laman Twitter dengan menulis bahawa doktor mengesahkan janin dalam kandungannya berusia enam minggu. "Saya sudah berusia 28 tahun manakala Azad pula 36 tahun. Kalau diukur pada angka itu, memang kami berdua sudah cukup haul untuk memiliki zuriat sendiri dan bila disahkan mengandung, ia adalah detik-detik sangat bahagia kami. "Kami memang sukakan kanak-kanak dan kalau boleh mahu ramai anak," katanya dalam nada penuh mengharap. Puas dengan lakonan SELAMA 10 tahun menjadi pelakon, Eira mengakui dia seorang yang cukup bertuah kerana sudah diberi peluang membawakan pelbagai watak. Mula dikenali menerusi drama rantaian, Meniti Bara sekitar tujuh tahun lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga tidak kisah seandainya ada pihak yang menggelarkannya dengan gelaran pelakon air mata. Eira cukup sedar sepanjang menjadi seorang aktres, dia lebih banyak membawa watak wanita dirundung malang yang memerlukannya bermain dengan emosi dan air mata. "Peminat mengenali saya menerusi karakter sebegitu. Secara tidak langsung, mereka cukup sukakan saya dan kalau saya lari daripada watak itu, mereka mahukan saya kembali ke asal. "Tetapi, sebagai aktres saya sendiri harus mencabar diri dengan pelbagai watak agar tidak kelihatan stereotaip. "Atas alasan itulah, saya mengatakan selama lebih sedekad dalam industri, saya sudah puas dengan apa yang telah dilakukan," ujar Eira yang bermula sebagai pelakon tambahan menerusi filem Idola pada tahun 2002. Begitu juga ketika dia diberi peluang memainkan watak antagonis yang jauh berbeza dengan karakter dirinya yang sebenar. Kata Eira, setidak-tidaknya dengan watak tersebut, masyarakat juga dapat melihat sisi berbeza sekali gus membuktikan bahawa dia juga mampu membawakan watak lain. Sambil merenung kembali perjalanan seninya, Eira tidak henti-henti melafazkan syukur kerana terus menjadi pilihan penerbit serta pengarah drama untuk mewarnai kaca televisyen. Biarpun lebih dikenali sebagai pelakon drama dan hanya membintangi tiga filem setakat ini iaitu Ngangkung, Sini Ada Hantu dan Aku Bukan Tomboy, Eira tidak melihat itu sebagai sesuatu yang remeh. Apa yang penting baginya, penerimaan dan kepercayaan peminat serta karyawan seni tempatan yang terus memberi peluang kepadanya untuk berkarya. "Untuk itu, saya harus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Yusof Haslam kerana jika bukan kerana beliau, mungkin bukan mudah untuk saya menembusi industri ini. Malah, beliau juga yang memberikan nama Eira kepada saya. "Siapa tahu, saya akan menjadi penari bagi meneruskan legasi seni yang mengalir dalam diri ini," jelasnya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Tetap Maghrib terbitan RTM untuk tayangan bulan Ramadan ini.