Taja demi publisiti
SERINGKALI berlangsung acara gilang gemilang sama ada perkahwinan atau majlis anugerah yang membabitkan artis, nama Rafflesia The Pearl Centre menjadi perhatian.
Jenama mutiara Rafflesia mula menjadi bualan ramai sejak ia menaja barangan kemas dan busana perkahwinan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Muhd. Khalid Jiwa pada tahun 2006.
Ekoran daripada itu, setiap kali para artis mengadakan majlis perkahwinan atau berlangsungnya acara hiburan nama Rafflesia tidak dapat dipisahkan.
Menurut Pegawai Publisitinya, Bill Bora, pihak Rafflesia juga pernah menaja perkara yang sama untuk artis Erra Fazira, Lisdawati dan Ning Baizura.
"Kami bukanlah penaja utama, sekadar menaja busana dan barangan kemas. Baju perkahwinan Siti yang bertatah mutiara Rafflesia rekaan Khoon Hooi bernilai RM300,000.
"Manakala barangan kemas yang dipakainya untuk majlis tersebut bernilai sekitar RM1.4 juta dan telah pun dibeli oleh seorang penggemar barangan kemas," cerita Bill ketika dihubungi Mega baru-baru ini.
Ditanya kenapa pihak Rafflesia sanggup menaja artis dengan nilai sebegitu besar sedangkan selebriti itu mampu mengeluarkan modal untuk hari bersejarah mereka Bill memberitahu, pihaknya bersedia menaja sesiapa sahaja jika ia memberi pulangan lumayan kepada mereka terutamanya dari segi publisiti.
"Kami tidak pernah melabel artis itu gred A atau B. Pada kami bila seseorang itu ditaja, apa yang penting mendapat pulangan publisiti meluas iaitu setimpal dengan apa yang telah kami keluarkan.
"Objektif utama penajaan adalah untuk meraih publisiti meluas terhadap produk. Itu adalah strategi perniagaan untuk jangka panjang. Biarlah orang nak kata apa, sebagai peniaga kami mahu jenama yang diguna oleh artis berkenaan diketahui umum," katanya tanpa berselindung.
Apa yang dipraktikkan oleh pihak Rafflesia ternyata membuahkan hasil yang memuaskan hati. Buktinya, jenama itu berada di tahap tinggi dalam lingkungan barangan kemas dan menjadi pilihan ramai.
Tambah Bill, pihak Rafflesia tidak pernah menetapkan kos untuk sesuatu penajaan kerana mereka sentiasa mencari kelainan setiap kali bekerjasama.
"Dalam perniagaan tidak ada batasan terhadap kos. Jika kos yang dikeluarkan besar maka artis atau individu yang ditaja perlulah bekerja lebih agar setimpal dengan pelaburan yang dibuat.
"Kalau orang berkenaan mampu membantu kami memperkembangkan jenama sudah pasti mereka menjadi pilihan. Dalam hal taja menaja ini tidak ada siapa guna siapa, sebenarnya sama-sama memerlukan," jelasnya panjang lebar.
Katanya, setakat ini kos penajaan yang tinggi pernah dikeluar oleh Rafflesia adalah majlis resepsi Norman Hakim dan Memey Suhaiza serta Ezlynn bersama Adam Fahmi yang bernilai RM12 juta.
Bill berkata, biarpun Rafflesia menanggung kos namun mereka tetap mengambil kira pandangan artis.
"Meskipun objektif kami mengumpul sebanyak mungkin publisiti melalui media cetak atau elektronik namun kami tetap menjaga kualiti produk.
"Oleh kerana jenama ini terkenal di kalangan artis dan menjadi ikutan orang ramai, setiap kali menaja kami akan pastikan ianya berbeza daripada apa yang pernah dilakukan sebelum itu," katanya.