Diana Danielle rela berdiam diri
WAJAH manis gadis ini sentiasa menjadi perhatian. Setiap kali muncul di mana-mana acara pasti Diana Danielle menjadi tumpuan memandangkan ada sesuatu yang menarik mengenai dirinya.
Kurang senang berkongsi cerita-cerita peribadi, dia sebenarnya cukup berahsia tentang banyak perkara. Selagi dia mengunci mulut, selagi itu pelbagai soalan bermain di fikiran sebilangan besar pemuja wanita kacukan ini.
Kematangan Diana semakin terserlah sejak kebelakangan ini. Mungkin juga faktor lama dalam industri membuatkan dia cukup masak dengan perjalanan hidup sebagai anak seni.
Semakin dia berhati-hati menempuh hidup sebagai orang terkenal, semakin banyak dia diasak dengan pelbagai persoalan yang merumitkan kepala. Ya, dia pernah dilemparkan dengan pelbagai cerita kurang enak, tetapi itu langsung tidak menimbulkan kudis pada dirinya.
Sudah tentu cerita Diana paling menarik perhatian peminat. Dikatakan bercinta dengan pelakon kacak Farid Kamil, sebenarnya tidak ramai yang tahu apakah yang berlaku antara mereka berdua.
Harus diakui pasangan ini cukup bijak menyimpan cerita cinta mereka. Tidak seperti sesetengah pasangan yang terang-terangan mengakui isi hati mereka, Diana lebih suka menolak ke tepi isu itu dan mahu membiarkan cerita kejayaan dihebahkan kepada umum.
Antara saya dan Farid biarlah kami sahaja yang tahu apa yang terjadi. Saya kurang gemar bercerita perihal cinta, kerana itu adalah hal peribadi saya.
Selama tiga tahun berkawan saya memang selesa dengannya. Tidak ada apa yang boleh kami kongsikan kepada umum selain mahu peminat berdoa yang baik-baik untuk kami.
Mungkin orang jarang lihat saya bersamanya dalam satu-satu majlis. Kami juga jarang beriringan di karpet merah mana-mana acara besar sehingga membuatkan orang semakin nak tahu apa yang jadi.
Apa-apa pun saya serahkan segala-galanya pada takdir. Tidak ada orang yang mahukan perkara buruk terjadi dalam perhubungan, begitu juga saya. Semoga segala-galanya aman," terang Diana.
Melihatkan raut wajah manisnya, Pancaindera dapat rasakan yang pelakon filem Jiwa Taiko itu kurang gemar diasak dengan soalan peribadi. Namun, dia masih mampu menjawab segala-galanya dengan baik menyerlahkan lagi sisi profesionalisme gadis ini.
Bagi Diana, dia cukup menjaga hubungan selama ini. Tidak rela orang bercakap hal buruk tentang dirinya, itulah yang menyebabkan dia rela membiarkan isu peribadi reda begitu sahaja.
Selektif
MENJADI taruhan setiap kali filem baru muncul di panggung tidak menjadi masalah besar buat Diana. Dia yakin pemilihannya sebagai pelakon bukan sekadar populariti yang diraih sebaliknya kepercayaan pengarah terhadap bakat seninya.
Melihatkan senario industri perfileman tempatan memang tidak dinafikan Diana sering kali menjadi perhatian dan didambakan oleh kebanyakan penerbit untuk melariskan filem mereka.
Tapi hakikatnya pelakon yang sedang sibuk dengan penggambaran filem Kami Histeria ini begitu selektif memilih peranan dalam kebanyakan filem yang ditawarkan disebabkan banyak faktor.
Saya tidak perlu berlakon sampai seratus buah filem atau drama untuk terus kekal dalam industri ini. Bagi saya setiap filem yang dihasilkan itu perlu kuat dari segala sudut. Penilaian itu bermula daripada kekuatan skrip, para pelakon dan pasukan produksi itu sendiri.
Memang saya meletakkan standard untuk menilai lakonan sendiri setiap kali filem saya muncul di panggung. Pelakon lain saya tak peduli sebab itu bergantung kepada kemahuan setiap individu.
Kenapa perlu bekerja keras semata-mata mahu berlakon banyak filem kalau tidak menjaga kualiti? Sebab itu sejak awal tahun lalu, saya hanya memilih untuk lebih banyak berehat dan memberi tumpuan kepada keluarga.
Bukan bermakna saya berlagak atau terlalu memilih. Kualiti kena jaga. Tahun-tahun sebelum ini pun saya memang sudah bekerja keras. Jadi biarlah saya berehat panjang sedikit sebelum terlibat dalam hal yang besar," tegas Diana lagi.
Satu perkara yang menarik untuk dikongsikan bersama peminat, Diana tidak akan bekerja lebih dua bulan secara terus menerus jika terlibat dalam mana-mana filem.
Cuma filem Hanyut yang arahan U-Wei Haji Shaari adalah produksi paling lama yang pernah disertainya.
Hampir dua bulan setengah saya memberikan tumpuan kepada filem Hanyut. Sejujurnya memang saya anggap itu perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan sepanjang bergelar pelakon.
Memang tak sabar menunggu tayangan filem Hanyut dan Azazil. Kedua-dua filem ini membuatkan saya puas hati dan berbangga," katanya lagi.
Sibuk
KESIBUKAN menghabiskan baki kerja yang tertunggak sehingga hujung tahun ini sememangnya membuatkan Diana gusar.
Pelbagai perancangan telah diatur terutama impian untuk menyambung kelas lakonan ke luar negara dan meneruskan pengajian seperti mana yang diharapkan.
Jangan ambil tahu hal pelajaran saya! Saya tahu apa yang saya lakukan dan di mana tempat belajar saya. Saya tak suka kalau ada orang yang berlebih-lebih hal pelajaran saya.
Buat masa ini saya mahu menyambung pengajian secara online memandangkan itu lebih mudah dan fleksibel untuk saya. Boleh belajar di rumah bila-bila masa mengikut kesesuaian," jelasnya.
Bagi Diana, dia sebenarnya menyasarkan tahun ini sebagai tahun untuknya belajar dan memberikan tumpuan kepada bidang muzik yang amat diminatinya.
Setelah berjaya popular dengan lagu Radio bergandingan dengan Imran Ajmain dan Nabil Raja Lawak, membuatkan Diana berazam untuk bergelar penyanyi profesional sedikit masa lagi.
Sehingga hari ini saya sudah tulis lebih 10 buah lagu. Impian nak jadi penyanyi tak pernah padam dan saya sudah merancang untuk mengeluarkan single tidak lama lagi.
Penat sebenarnya nak beri tumpuan pada lakonan. Tahun lepas contohnya, saya berlakon dalam enam buah filem. Memang cukup penat kalau nak dikenang. Daripada berehat kosong baik saya beri tumpuan dalam bidang nyanyian.
Setidak-tidaknya itu membuktikan yang saya serius dalam setiap pekerjaan. Tak mengapa lambat asalkan ada," katanya tertawa.
Pelaris
MENJADI duta kepada produk kecantikan NanoWhite sememangnya memberikan seribu makna buat dirinya. Diam tak diam sudah empat tahun Diana menjadi pelaris kepada produk berkenaan yang terbukti berkesan kepada pelanggan setia.
Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Diana menganggap tugas menjadi duta produk bukan satu tugas mudah yang boleh dipandang ringan.
Kepercayaan orang terhadap dirinya akan membuatkan produk itu lebih cepat diterima ramai. Namun keberkesanan produk tersebut perlu didahulukan
Bila orang pilih kita dan bayar kita untuk menjadi jurucakap produk mereka, itu merupakan satu tanggungjawab yang besar. Saya tidak akan ambil tugas ini kalau sesuatu produk itu memang tidak berkesan.
Ada orang mendahulukan wang ringgit bila mereka dilantik menjadi duta produk. Saya pula tidak meletakkan perkara itu di hadapan memandangkan situasi sebegini perlu sama-sama dapat manfaat dan faedah.
Jangan sesekali mengejar wang ringgit tetapi pada akhirnya memakan diri sendiri," kata Diana lagi.