Kaseh pengikat Sherie, Ash
KALI terakhir pelakon Sherie Merlis melalui pengalaman melahirkan bayi adalah 19 tahun lalu, sewaktu menyambut kehadiran Harris Daniel, anak keduanya bersama bekas suami Esma Daniel, selain anak sulung, Habib Daniel, 20.
Selepas melangsungkan perkahwinan dengan Ash, penyanyi kumpulan Gabba Gabba, awal tahun lalu, sekali lagi Sherie, 42, melalui fasa yang sama.
Perasaan gembira dan berdebar sentiasa menyelubungi dirinya sepanjang hamil anak sulung dengan Ash itu.
"Saya memang gembira bila disahkan hamil. Di waktu yang sama berdebar kerana saya sudah lupa bagaimana rasanya menjadi wanita hamil.
"Kalau orang lain dalam tempoh itu sudah melahirkan beberapa orang anak, sedangkan saya baru nak 'memulakan' semula dan sampai akhir saya tidak mahu tahu bayi yang dikandung jantina apa, sebab nak kejutan," ceritanya.
Jelas Sherie, dia ingin meneruskan pengalaman melahirkan anak secara normal seperti sebelum ini namun kuasa Allah tiada siapa yang tahu.
Hasratnya itu tidak dapat ditunaikan kerana anak ketiga, Tengku Kaseh Anaquah terpaksa dilahirkan lebih awal dari waktu sebenar iaitu 28 Ogos 2012.
"Ikut hati saya nak lahirkan Kaseh secara normal tapi kata doktor itu akan merbahayakan nyawanya. Pada 7 Julai lalu, ketika saya dan suami sedang membeli belah, tiba-tiba saya sakit perut. Bila pergi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), doktor nasihatkan saya supaya menjalani pembedahan kerana bayi perlu dikeluarkan segera kerana degupan jantungnya semakin lemah.
"Nampak gayanya si Kaseh ini macam saya juga, lahir sebagai bayi pra matang. Sewaktu dilahirkan kira-kira pukul 12 tengah malam, berat Kaseh adalah 1.8 kilogram (kg).
"Disebabkan dia tidak cukup bulan dan perlu penjagaan rapi, selepas enam hari melahirkan Kaseh, baru saya dapat kucup dan pegang dia," katanya.
Menurut Sherie, sewaktu tidak dibenarkan bertemu dengan Kaseh, pelbagai tanggapan yang timbul dalam mindanya.
"Tidak dinafikan, macam-macam yang timbul dalam fikiran saya. Sekejap-sekejap jururawat datang berbual, sedangkan saya nak bertemu anak. Selagi tidak melihat foto anak, saya menjadi cemas takut mereka semua sorokkan kebenaran.
"Selepas berpeluang bertemu Kaseh, baru diberi tahu yang jururawat itu sengaja datang berbual untuk menenangkan saya. Kata mereka, Kaseh perlu penjagaan rapi dan ketika itu saya baru lepas pembedahan jadi tidak boleh banyak bergerak," katanya.
Limpahan kasih sayang
Kehadiran Kaseh yang merupakan pengikat dan penyambung kasih sayang antara Sherie dengan Ash atau Tengku Shafiz-Rullah As Syafiee Tengku Mohd. Shahidd, 29 itu turut dialu-alukan oleh dua orang abangnya.
Cerita Sherie, pernah sekali sewaktu tersedar di tengah malam, tiba-tiba Kaseh tidak ada di sampingnya.
"Panik juga saya waktu itu kerana tengok Kaseh tak ada. Bila saya turun ke ruang tamu, lihat dia tidur nyenyak sahaja sambil diapit oleh abang-abangnya.
"Saya tahu mereka begitu teruja dapat adik, tambah pula adik perempuan. Lepas ini saya tidak perlu bersusah-susah sebab sudah ada tiga orang pengawal Kaseh, termasuk suami yang memang suka dengan kehadiran Kaseh," ceritanya tersenyum.
Ketika ini Sherie atau nama sebenarnya, Sharifah Saadah Wan Zainal berkata, dia mahu memberi perhatian penuh terhadap Kaseh namun hasrat itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Bermula semalam, pelakon telefilem Perempuan Neraka itu dilamar berlakon telefilem Bukan Takdir Aku, arahan Raja Ahmad Alauddin.
"Kalau boleh saya memang nak tolak tapi produser yang telefon sendiri, minta saya berlakon. Itupun saya beri syarat, boleh berlakon sekitar Kuala Lumpur sahaja.
"Walaupun sekarang ini Kaseh sudah nampak sihat tapi dia tetap memerlukan penjagaan rapi. Kalau diundang untuk majlis keramaian pun saya kena fikir dua kali untuk pergi atau tidak," katanya.
Bakal jadi penyanyi
SELAMA ini kita jarang mendengar Sherie Merlis menyanyi di khalayak baik untuk majlis rasmi atau sebaliknya.
Tapi jangan terkejut, tidak lama lagi pelakon itu akan bergelar penyanyi menerusi lagu Sebentar, ciptaan Ash yang didendangkan oleh A.B.G The Rapper dan dihasilkan di bawah label New Village Music Lab.
"Sherie featuring dalam lagu itu kerana dia memang berkelayakan untuk menyanyi. Saya bukan suka-suka untuk ambil Sherie kalau dia tidak boleh menyanyi.
"Semuanya bermula apabila saya minta dia menyanyi satu bahagian sewaktu latihan. Dari situ saya dengar dia boleh menyanyi. Daripada saya bagi orang lain, baik saya bagi dia," cerita Ash.
Tambah Ash, sebelum ini pun dia telah banyak menampilkan vokal Sherie menjadi penyanyi latar untuk lagu-lagu ciptaannya.
Bagi Sherie Merlis, keinginan menjadi penyanyi bukanlah satu impian baru. Sebaliknya niat itu sudah lama terpendam sejak dia mula membabitkan diri dalam bidang seni.
"Alhamdulillah, akhirnya hasrat nak jadi penyanyi tercapai jua walaupun terpaksa menunggu lama. Asalnya saya memang nak jadi penyanyi tapi rezeki sebagai pelakon yang lebih. Saya harap orang ramai akan memberi sokongan nanti," katanya tersenyum.