Wabak Oppa Gangnam Style
DI MANA-MANA kini orang memperkatakan tentang lagu Oppa Gangnam Style dendangan penyanyi rap yang berisi, Psy.
Video muzik (MV) lagu ini dengan trade mark tarian kelakar seumpama orang menunggang kuda yang turut menampilkan pengacara terkemuka Korea, Yoo Jae Suk, pelawak Noh Hong Chul, anggota 4Minute, Hyuna serta dua anggota Big Bang, Daesung dan Seungri - sehingga kini telah ditonton lebih 69 juta kali hanya dalam tempoh sebulan lebih ia dimuat naik di YouTube.
Menariknya, berpuluh-puluh parodi yang meniru mahupun mempersendakan MV itu turut mendapat sambutan pelayar Internet di seluruh dunia. Bukan sahaja di Korea, video parodi turut dihasilkan peminat K-Pop antaranya di Amerika, Jerman dan Sepanyol.
Video parodi Suasana Raya Gangnam Style yang dibuat oleh sebuah keluarga di Malaysia turut mencatat puluhan ribu kali tontonan.
Berhantunya rentak tari dan lagu ini membuatkan ia turut mendapat perhatian artis antarabangsa yang sama ada memberikan komen mereka dalam akaun Twitter masing-masing seperti Robbie Williams dan Katy Perry bahkan ada yang membawakannya dalam konsert seperti dilakukan Nelly Furtado di Filipina.
Sejak dipasarkan pada 15 Julai lalu, lagu ini telah menjuarai carta Billboard Korea K-Pop Hot 100 dan Billboard YouTube Music Chart bahkan iTunes Music Video Chart mengatasi Justin Bieber (As Long as You Love Me) dan Katy Perry (Wide Awake). Ia merupakan pencapaian terbaik oleh artis Korea setakat ini.
Di Korea sahaja, ia mencatatkan 745,000 muat turun dalam minggu pertama dan kekal di tangga teratas dalam Gaon Single Chart untuk lima minggu.
Sehingga 23 Ogos lalu, Oppa Gangnam Style telah dimuat turun sebanyak 2,545,837 kali di Korea dan menduduki tangga ke-44 dalam iTunes Amerika Syarikat.