Glamor, anugerah bukan prioriti - Beto

PERJALANAN karier seni Beto Kusyairy secara serius hampir genap 10 tahun. Karier awalnya cuma sebagai kru di belakang tabir beberapa produksi ketika sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Namun, iltizam untuk cuba meningkatkan rasa yakin diri daripada sifat semula jadi pemalu membuat Beto mengorak langkah mencuba bidang lakonan. Kata Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, bidang lakonan membantu dirinya menjalani transformasi lebih yakin dan mengikis rasa kurang senang apabila bersua dengan orang ramai. "Saya akui, sebenarnya saya seorang yang pemalu. Apabila ditawarkan peluang berlakon saya menerimanya sebagai satu bentuk terapi sekali gus menghilangkan rasa malu. "Pada masa yang sama keghairahan dan minat berlakon menyuntik semangat ekstra untuk memperbaiki kelemahan percakapan umum saya menjadi lebih baik. Tambahan apabila diberi watak berkarakter, terus rasa malu itu hilang," petah dia berkongsi cerita. Falsafah hidupnya sebagai anak seni dihurai dengan lebih mendalam, menjurus ke arah populariti yang sepatutnya diperoleh setanding dengan kualiti lakonannya. Tidak dinafikan walau apa watak diberikan kepada Beto, pengolahan dan jiwa yang disuntik ke dalam karakter menjadikan bintang dramatis itu lebih berkilau. Namun, hal yang sendiri diakuinya, populariti tidak datang seiring dengan kualiti yang dipersembahkan. Katanya berseloroh: "Barang kali muka saya terlalu Melayu, orang kurang perhati."
"Sebaliknya, saya selesa dengan kehidupan saya sekarang dan masih rasa seperti orang biasa," ujarnya. Skala puas Ditanya mengenai skala kepuasannya berlakon dalam industri tempatan pada ketika ini, jawab Beto dia menyifatkan dirinya seorang yang tidak pernah puas! "Apabila tiba satu tahap, saya mahu menjadi yang lebih baik dan setiap kali diberikan naskhah baharu, saya mendaki satu anak tangga untuk memberi yang lebih baik daripada sebelumnya. "Semestinya setiap watak akan ada Beto yang berlainan kerana sebagai pelakon pelajaran paling bernilai adalah pengalaman dan karakter yang diberi. Tiada istilah puas dalam hidup saya," tegasnya. Sering diberikan watak dalam genre romantik dan aksi, ujar Beto dia tidak memandang tanggungjawab itu sebagai halangan untuk berkembang. "Saya seorang pemain watak dan perlu biasakan diri dengan pelbagai watak yang ada. Saya tak akan ke mana kalau meletakkan had memilih genre tertentu saja. Seboleh-bolehnya dunia lakonan ini peluang untuk saya meneroka dan berkembang," jelasnya.