Nabila berhati kering

PELAKON Nabila Huda Suhaimi Abdul Rahman, 28, tidak menafikan yang dia amat menyayangi Johan Ariff Asari dan selesa bersama pelakon yang terkenal dengan watak Botak dalam drama bersiri Juvana itu. Kata Nabila, bersama Johan dia tidak perlu berpura-pura menjadi baik semata-mata untuk menjaga hati pemuda itu. Sebaliknya dia bebas untuk menyatakan pandangan atau menegur pemuda itu jika ada perkara yang tidak puas di hatinya. "Kalau orang nak kata kami bercinta, terpulanglah. Antara kami memang saling sayang menyayangi tapi sebagai sahabat sahaja kerana Johan banyak meminta nasihat daripada saya. "Johan jenis yang tidak kisah kalau saya tegur atau kutuk dia kerana antara kami tidak ada batasan dalam berkomunikasi. Kalau tidak puas hati cakap terus tak ada nak pendam-pendam. Saya lihat kami lebih sesuai menjadi sahabat daripada kekasih," katanya berterus terang. Hubungan antara Nabila atau mesra dengan panggilan Abil dan Johan itu menjadi panas gara-gara curahan hati Johan di laman sosial Twitter yang menyatakan kekagumannya terhadap anak penyanyi rock Amy itu. Hubungan antara mereka mula rapat setelah digandingkan bersama sebagai pasangan kekasih menerusi drama Pelangi Kasih. Jelas Nabila, dia hanya mampu menyayangi pemuda itu sebagai sahabat kerana menyedari banyak perkara yang belum dilakukan dan dicapai oleh Johan. "Bukanlah nak cakap besar atau bermegah, tapi bersediakah orang yang nak menjadi pasangan hidup saya itu menanggung dan menyara saya dengan anak? "Biarlah Johan memenuhi impian dia dalam bidang seni. Dia masih muda dan sudah pasti banyak perkara yang ingin dicapai. Saya sendiri ingin melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," katanya tanpa berselindung. Pemegang watak Julia dalam drama bersiri Julia yang disiarkan menerusi slot Akasia, pukul 7 petang setiap Isnin - Khamis, di TV3, sejak 24 September lalu berkata, sebagai ibu, dia ingin menimang cahaya mata lagi. Kata Nabila, dia tidak sabar untuk memiliki anak kedua tapi buat masa sekarang belum ada calon yang sesuai untuk menjadi pasangan hidup. "Saya ini jenis yang tidak suka dikongkong sebab itu saya perlu mencari calon suami yang dapat menerima saya seadanya. Janganlah bila kahwin, saya kena ikut sahaja apa kata suami, saya tidak suka begitu. "Bagi saya, suami isteri perlu ada pandangan tersendiri dan perbezaan itulah yang akan mengeratkan hubungan. Setakat ini saya selesa bersendiri, mudah untuk saya bergerak ke mana sahaja dan masa untuk saya memberi tumpuan pada kerjaya," akuinya. Kerja dan melancong JIKA orang lain lebih senang memilih negara yang membangun sebagai destinasi pelancongan tapi tidak kepada Nabila Huda. Dia lebih gemar memilih percutian ke negara yang bukan pilihan utama percutian santai. Dia juga tidak memerlukan rakan untuk melancong bersama kerana kata Nabila, adalah lebih mudah jika bergerak solo berbanding berkumpulan. Pengalamannya melancong ke Kenya, Afrika Selatan, baru-baru ini ternyata banyak meninggalkan momen indah dalam hidupnya. "Saya ini jenis yang suka cabaran sebab itu saya pilih untuk melancong ke Kenya. Saya suka suasana Afrika, khususnya Kenya kerana banyak benda yang boleh diteroka. Impian nak pergi ke sana sudah lama, terutamanya bila saya kerap menonton saluran Discovery. "Percutian saya bukan jenis tempah-tempah hotel mewah, tapi percutian rempuh begitu sahaja. Saya selesa bercuti ala back pack. Bangun pagi tanpa perlu bersolek terus boleh berjalan. Kalau pergi ramai-ramai, nak tunggu orang lain bersiap, sudah buang masa," katanya. Baginya, percutian ke luar negara bukan sekadar memberi peluang kepadanya melihat suasana luar tapi turut memberinya ruang untuk mengumpul rakan dari pelbagai latar belakang. "Bila bergerak solo, saya akan sentiasa bertanya pada orang sekeliling dan itu membuatkan saya dapat berkenalan dengan ramai orang. Percutian solo juga membuatkan diri kita lebih berani dan berkeyakinan. Mungkin kerana saya ini seorang yang berhati kering, tidak mudah takut," katanya. Kata Nabila, setiap kali dia pergi bercuti sendirian, papanya mesti risau dan bila mereka berhubungi, mesti dia digesa untuk segera pulang ke tanah air. Menurut Nabila, dia akan pergi melancong apabila anaknya, Keisha Laila, dua tahun setengah berada di bawah jagaan bekas suami, Zaidi Zailaini selama seminggu. Pada November depan, Nabila bercadang untuk bercuti ke Itali sebelum ke Jamaica, Kemboja, Loas dan Thailand kemudiannya. "Setakat ini perancangan bercuti seorang diri lagi. Memang ada hasrat nak bawa Keisha sekali tapi kalau bawa dia sekarang, beg saya sah-sah penuh dengan pampers dan susu dia sahaja. "Tunggulah bila usianya lima tahun ke atas barulah saya bawa dia cuti bersama. Sekarang ini kalau dia dalam jagaan saya, kami lebih suka bersenang lenang di rumah. Keisha ni suka tiru mama dia. Kalau saya bersolek, dia pun nak bersolek juga," cerita Nabila tentang gelagat anak tunggalnya itu. Nabila yang terkenal dengan sikap ceria itu berkata, buat masa sekarang, dia akan tumpu perhatian pada kerjaya dan selepas itu pergi bercuti. Pada masa akan datang dia bercadang untuk mengupah seorang jurukamera untuk merakam percutiannya dan seterusnya menjadikan perjalanannya sebagai satu travelog. "Bila cuti seorang diri, saya hanya boleh rakam gambar pemandangan. Sewaktu di Kenya, saya ada rakam tapi bila amatur yang ambil, gambarnya jadi tidak begitu berkualiti. Lain kali kena minta orang lain yang rakamkan," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121002/hi_01/Nabila-berhati-kering#ixzz28BkewYkE © Utusan Melayu (M) Bhd