Reda hilang populariti bila berkahwin - Shila Amzah

RAMAI yang bertanyakan tentang rancangan seterusnya Juara Asian Wave 2012 ini dengan kekasihnya, pelakon Shaarnaz Ahmad. Adakah mereka akan melangsungkan perkahwinan pada masa terdekat ini? Atau dua figura awam itu punya pelan tersendiri andai disatukan pada masa terdekat ini? Apakah penyanyi Patah Seribu ini tidak takut andai popularitinya akan jatuh merudum apabila terikat dengan ikatan perkahwinan? Maklumlah sekarang ini saham Shila sedang mencanak naik dan pasti ramai penganjur komersial mula ‘mengejar’ dia untuk setiap persembahan. Sudah tentulah status isteri yang bakal dipegang itu menyekat langkah Shila untuk terus berkembang dalam industri seni rakaman. Itulah antara soalan peribadi yang kerap diajukan setelah dia kembali ke tanah air pada Rabu lalu. Shila mengharumkan nama negara dengan menewaskan 32 penyanyi professional di negara Asia termasuk peserta tuan rumah pada malam kemuncak program realiti Asian Wave 2012 di Shanghai, China pada 24 September lalu. “Saya tahu ada yang bertanya soal kahwin memandangkan saya dan Shaarnaz sudah pun membuka cerita tentang itu sebelum kejayaan di China. Saya tak marah kerana hubungan antara kami itu pun berlaku tanpa disedari sejak tahun lalu. “Apabila kami memakai baju sedondon tanpa sengaja pada satu majlis anugerah dan pihak media menanyakan adakah kami punya hubungan cinta? Sejak dari itu, saya ambil sikap terbuka dalam soal cinta. “Rancangan nak berkahwin itu memang ada. Insya- Allah tak ada aral, kami bersatu pada tahun 2014. Maknanya ada dua tahun lagi kami nak ke arah itu. Ada masa juga untuk buat persediaan mental dan fizikal," dedah Shila. Apakah Shila tak takut dengan dugaan orang berkasih sepanjang tempoh dua tahun itu? Menjawab soalan ini, nada suara Shila begitu yakin sekali. Jawabnya: “Membina masjid itu adalah satu perkara yang baik. Kalau ikutkan dah lama kami nak berkahwin. Saya sendiri sasarkan nak kahwin pada usia 21 tahun. Tapi sekarang dah 22 tahun. “Lagi pun hubungan kami tak ada masalah. Keluarga kedua belah pihak gembira dan saya sendiri bersedia untuk menerima lamaran bila-bila masa saja. Tapi soal kahwin ini bukan perkara main-main. “Soal dugaan itu memang berlaku pada semua orang yang berkasih. Pandai-pandailah pasangan bercinta itu tangani. Sebab itu saya rancang betul-betul perjalanan seni saya. Begitu juga dengan Shaarnaz. “Kami tak nak sogokkan terlalu banyak cerita cinta pada masyarakat. Kenalah sorok mana yang patut sebab tak manis kalau orang tahu benda yang belum berlaku bukan?," soalnya. Bagaimana pula kontraknya dengan Shanghai Media Group (SMG) yang meliputi kontrak rakaman lagu, persembahan bergerak ke seluruh China, tawaran barangan berjenama dan kursus Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris yang bernilai lebih RM1 juta itu. Adakah semua itu akan lebur apabila Shila mengumumkan hasrat untuk berkahwin? “Ohh... tidak. SMG sangat fleksibel. Mereka tidak kisah dengan soal peribadi saya. Pasti akan ada pengecualian melibatkan jadual kerja. Semua itu akan dibincangkan nanti," katanya. Apakah Shila tidak takut andai popularitinya akan jatuh dan akan kehilangan peminat, anak kepada penyanyi ND Lala, 51, dan Fauziah Sarman, 44, ini menafikan. Baginya peminat sekarang lebih matang dan pandai menilai kehebatan seseorang penyanyi itu tanpa melihat status dirinya. “Sebenarnya, soal rezeki, popular itu semuanya ditentukan oleh Allah. Kalau Dia kata status saya punca populariti saya jatuh, saya reda. Saya tak akan persoalkan benda itu sebab Dia yang tentukan perjalanan hidup hamba-hamba-Nya. “Soal popular atau tidak itu juga ada pro dan kontra tersendiri. Saya memang tahu seorang artis itu pasti berkehendakkan pakej populariti sebab ia adalah rezeki. Jadi bila tak popular, kuranglah rezeki itu. “Saya juga yakin yang sesebuah institusi perkahwinan Allhamdulillah, Shaarnaz adalah yang terbaik buat saya. Dia sangat memahami dan tak akan menghalang karier nyanyian saya andai kami ada jodoh. Cuma apa yang penting adalah batasan yang perlu dijaga," dedahnya tanpa berselindung. Sengaja mengusik Shila tentang impian perkahwinannya sama ada mahu mengikut adat atau terus berkahwin membuatkan nada suaranya bertukar ceria. “Kalau boleh saya nak berkahwin ikut syarak. Dahulukan mana yang wajib sebab tak payah nak guna banyak duit belanja. Tak membazir. Lagi pun, saya memang suka bersederhana macam Abah. “Tapi memandangkan Mama lebih teruja sebab saya anak sulung, jadi mungkin ada perubahan di situ. Mama mungkin ada impian tersendiri. Tapi untuk bab ini, Shaarnaz nak kami bertunang sebulan sebelum bernikah. Apa pun benda ini dalam perancangan. Tak boleh nak sahkan apa-apa pun," jelasnya. Duta Safi Balqis Beralih kepada tugas sebagai duta produk kecantikan Safi Balqis Perfect 10 untuk tahun ketiga, Shila memanjatkan rasa syukur walaupun penampilannya bertudung dan tidak seperti sebelum ini. “Sebenarnya produk Safi Balqis banyak membantu menaikkan nama saya dan menjenamakan saya dari Shila OIAM kepada Shila Amzah secara tak langsung. Saya bersyukur atas dorongan dan kepercayaan pihak Safi Balqis yang tak berbelah bahagi sepanjang perjalanan saya sebagai anak seni. “Pada awalnya saya reda andai pihak Safi Balqis tak nak terima imej saya yang berhijab. Tetapi saya terperanjat apabila pihak pengurusan Safi Balqis sanggup terima saya," katanya yang bakal mempromosikan rangkaian produk terbaru Safi Balqis Perfect 10 iaitu Gel Pengelupasan Safi Balqis Perfect 10, Losyen Pelembap kawalan minyak SPF 15 dan Krim BB Safi Balqis Perfect 10 tidak lama lagi. Selain itu Shila juga bakal muncul dalam iklan Safi Balqis yang turut menampilkan kekasihnya, Shaarnaz sebagai pelakon undangan.