Selamat tinggal cinta - Tiz & Remy
MENYELAMI hati keras seorang lelaki bernama Remy Ishak ini bukan mudah sebenarnya. Di sebalik keterbukaan, masih juga dia cuba berahsia.
Hanya tahun lalu dia mengaku sedang berpacaran dengan Tiz Zaqyah, itu pun setelah berbulan-bulan menafikan hubungan yang terjalin.
Dan beberapa minggu lalu pula dia tampil berani memberitahu, status cintanya kini yang sudahpun terkubur sejak tiga bulan lalu.
Tidak banyak yang mahu dijawab pelakon dengan nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 30, ini. Setiap kali 'ditembak' dengan bermacam soalan mengenai punca perpisahan, hanya senyuman dan perkataan 'ia terlalu peribadi' menjadi benteng pertahanannya.
Pernah satu ketika, Remy dikatakan mengasari teman wanitanya itu. Malah ada yang membuat tanggapan sikap panas baran yang dimiliki pelakon berkulit hitam manis ini menjadi punca perpisahannya dengan pelakon cantik Devaju di Kinabalu itu.
Cuba menghuraikan tanggapan tidak pasti ini, soalan itu diajukan sendiri kepada Remy ketika bertemunya pada majlis pra tonton filem Hantu Kapcai di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.
"Tiada apa yang mahu saya katakan di sini lagi. Hubungan saya sudah berakhir sejak tiga bulan lalu... sudah lama pun," katanya tenang.
Apa yang menjadi persoalannya kini mengapa lelaki ini cukup terbuka untuk memberitahu status sebenar hubungan dia dan Tiz kini sedangkan ketika berpacaran dahulu soal hubungan menjadi terlalu peribadi buat mereka berdua.
Terus diasak dengan soalan tersebut, Remy memberitahu sudah sampai masanya untuk dia berkongsi berita ini dengan umum kerana tidak mahu menghadapi sebarang masalah kelak.
"Saya berpendapat kalau dirahsiakan perkara ini lambat laun orang akan tahu juga. Dan perkara akan menjadi lebih rumit sekiranya saya atau dia sudahpun bersama orang lain," katanya yang melakonkan watak sebagai Tiger dalam filem Hantu Kapcai.
Menyentuh spekulasi yang bertiup kencang yang mendakwa kononnya orang ketiga sebagai punca perpisahan mereka, menurut Remy buat masa ini tiada apa yang mahu dikongsikan lagi.
"Saya tidak mahu komen apa-apa. Saya harap semuanya faham," katanya ringkas.
Rahsia hati
Tidak dinafikan aktor kacak ini sering menjadikan laman sosial miliknya sebagai medan untuk dia berterus terang.
Malah ada suatu ketika perkataan-perkataan yang ditulisnya menimbulkan tanda tanya di kalangan peminatnya sendiri mengenai hubungan yang terjalin.
Dan pelepasan tulisan di Twitter miliknya baru-baru ini membawa kepada pengakuan lelaki ini mengenai status sebenar hubungannya.
"Saya akui kadangkala apa yang saya lepaskan di Twitter itu adalah satu kesilapan, maksud saya dari segi ayat, mungkin terlalu emosional.
"Bagaimanapun tidak semua yang saya tulis itu merujuk kepada Tiz, sebab ada juga yang dimaksudkan secara umum," katanya.
Terus diasak dengan pertanyaan punca perpisahannya itu, pelakon utama filem 29 Februari ini nampaknya lebih mudah untuk mengaitkan alasan soal jodoh dan takdir dengan ketentuan terhadap apa yang berlaku.
Sementara itu diusik soal hatinya kini, menurut Remy dia langsung tidak rasa tertekan dan mahu melihat hari yang mendatang secara positif.
"Keputusan berpisah ini kami ambil bersama dan saya anggap kami berdua sudah tiada jodoh. Saya tidak tertekan dengan hal ini dan cuba untuk melihat ini bukan dari sudut yang negatif sahaja," katanya mudah.
Mengambil masa sehingga tiga bulan sebelum berterus terang, menurut Remy dia tidak mahu terlalu bergegas untuk memberitahu mengenai perpisahan tersebut.
"Saya perlu melalui proses sebelum sampai tahap ini. Jadi saya harap pihak media faham," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20121001/hi_01/Selamat-tinggal-cinta#ixzz285xsh87Q
© Utusan Melayu (M) Bhd