Serah kepada Kamal
BUKAN sekali dua soalan ini ditanya namun bagi pelakon cantik Intan Ladyana dia lebih senang untuk tidak menjawab soalan bila dia akan berumah tangga tanpa kehadiran sang kekasih Kamal Adli. Menurut Intan dia lebih rela untuk membiarkan langkah besar ini di mulakan oleh Kamal. Bagi diri Intan, lebih manis sekiranya persoalan ini bermula dari pihak lelaki sendiri.
"Jangan tanya saya tanya kamal. Dia lelaki, tak manis untuk saya bercakap soal ini sebenarnya," katanya dalam malu-malu.
Mengakui pernah berbincang soal berkahwin, menurut Intan buat masa ini dia dan Kamal lebih selesa untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya masing-masing dahulu.
"Berbincang itu adalah tapi bukan secara serius lagi. Buat masa ini saya dan Kamal lebih senang untuk memberi tumpuan kepada kerjaya dahulu," katanya yang juga duta kepada produk kecantikan Shurah.
Sedang dunia hiburan ini dilanda dengan berita putus cinta beberapa artis lain termasuk Remy Ishak dan Tiz Zaqyah, bagi Intan soal cabaran dalam hubungan adalah suatu perkara pasti. Namun dia percaya semuanya terletak kepada keinginan diri masing-masing.
"Cabaran itu memang ada, malah di dalam mana-mana hubungan juga. Tapi saya percaya semuanya bergantung kepada diri masing-masing. Kalau keduanya masih mahu meneruskannya tentu hubungan itu tidak akan terjejas," katanya.
Sekian lama berkasih tentunya keluarga menjadi medan rujukan utama kedua pasangan kekasih ini. Menurut Intan dia bersyukur untuk mempunyai keluarga yang faham dengan keadaan hubungan mereka.
"Keluarga saya tidak mempunyai masalah, malah mereka faham dengan keadaan kami kini yang masih cuba untuk mengukuhkan kedudukan karier masing-masing," katanya.