Afiera bisnes kek cawan
Merupakan anak didik pengarah filem, Azahari Zain, pelakon baharu yang semakin mengukir nama itu, masih sempat meluangkan masa melakukan perkara yang diminatinya.
"Sebenarnya saya memang suka buat kek cawan sejak dari bangku sekolah lagi.
"Apa yang menyeronokkan adalah apabila saya dan sepupu turut mengusahakan minat ini dengan bersungguh-sungguh.
"Mulai daripada minat, kami kemudiannya mengambil keputusan untuk menjualnya di pasar Taman Tun Dr Ismail dan juga secara dalam talian," jelas gadis berumur 21 tahun ini penuh semangat.
Sudah sebati dengan bidang tersebut, dia mengakui, untuk menghasilkan kek cawan bukanlah sesuatu yang sukar.
Namun dalam kehebatannya menghasilkan kek berskala cawan tersebut, tidak dinafikan pernah juga kek yang dibuat tidak menjadi.
"Masa mula-mula belajar buat kek cawan dulu, memang ada masanya tak menjadi.
"Antara yang selalu berlaku ketika awal pembelajaran adalah kek tak naik.
"Alhamdulillah, kini ramai yang makan kek cawan saya memuji kek itu sedap," kata pelakon di bawah Metrowealth ini sambil ketawa kecil.
Selain itu, alang-alang sudah menjengah ke dalam bidang perniagaan, dia sememangnya mempunyai perancangan untuk melebarkan lagi ruang perniagaannya ke skala yang lebih besar.
"Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan jika ada peluang, memang ada niat untuk melebarkan lagi apa yang kami usahakan ini," jelasnya bersemangat.
Bagi Afiera, apa yang menjadi kekuatannya dalam meneruskan minatnya itu adalah tidak pernah berputus asa.
"Apa yang penting, jangan putus asa, kalau buat tak jadi, jangan terus mengalah.
"Memang bukan semua perkara dapat dibuat dengan sempurna dalam masa yang singkat.
"Insya-Allah bila dah lama buat, akan menjadi juga nanti," katanya yang turut belajar mengenai pembuatan kek cawan melalui carian bahan di Internet.
Peluang ke layar perak
Pertama kali diberi peluang muncul di layar perak untuk filem 99 Kali Rindu yang bakal ditayangkan pada tahun ini, ternyata Afiera sememangnya sangat beruntung kerana berpeluang menjejakkan kaki di pentas lakonan pada usia muda.
"Kalau nak diikutkan, sebenarnya memang perasaan gementar itu ada sebab kali pertama muncul di layar perak, malah dalam skala besar pula.
"Tapi apa-apa pun, saya memang sudah berikan yang terbaik," katanya sambil menyatakan dia kini sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kerenah di dalam industri hiburan.
Selain filem, gadis ini juga pernah membintangi drama Dendam Pencinta dan juga Bini Bini Perkasa.
Bagaimanapun, bagi Afiera yang baharu selesai menamatkan pengajian dalam kursus Filem, Teater dan Animasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, dia mengakui perlu melangkah perlahan-lahan dahulu, di samping menimba pengalaman dalam industi lakonan.
"Buat masa sekarang, memang kena belajar perlahan-lahan daripada pelakon yang lebih senior dan berpengalaman.
"Tak boleh nak terus naik macam itu sahaja dan saya yakin pengalaman merupakan guru terbaik untuk mengajar saya di dalam industri ini," jelasnya jujur merendah diri.
Menjadikan Nabila Huda sebagai pelakon idola, Afiera juga dalam masa yang sama sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan terhadap lakonannya.
"Kalau ada yang nak kritik, saya terima kerana saya tahu kelemahan saya.
"Apa-apa pun, saya mengharapkan yang terbaik dalam perjalanan seni saya ini," katanya sebelum menutup bicara.