Anak ramai tidak halang menyanyi - Azian Mazwan
BIASANYA golongan penyanyi boleh berbangga dengan pencapaian mereka seperti menghasilkan banyak album dan mengadakan konsert di merata-rata tempat. Bagaimanapun bagi Azian Mazwan Sapuwan, dia cuma sempat merakamkan tiga buah album dengan yang terakhir berjudul Impian pada 1991.
Namun bagi finalis Bintang RTM 1986 ini, dia lebih berbangga kerana dikurniakan anak yang lebih ramai bilangannya iaitu seramai tujuh orang berbanding hanya tiga album sahaja yang sempat dihasilkannya sepanjang bergelar penyanyi sejak 26 tahun yang lalu.
Menurut Azian, meskipun dikurniakan ramai anak tetapi itu tidak menghalangnya untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Kata penyanyi berusia 37 tahun ini, dia masih laris menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat biarpun hampir 22 tahun tidak merakamkan album baru.
"Dulu masa anak-anak saya masih kecil, saya memang ada menerima tawaran menyanyi walaupun ketika itu agak susah juga mahu meninggalkan anak-anak. Tetapi mujurlah ibu saya banyak membantu menjaga anak-anak semasa saya tiada di rumah.
"Bagaimanapun sekarang ini apabila anak-anak saya ramai yang sudah besar maka lebih mudah untuk saya menerima undangan menyanyi terutamanya pada majlis-majlis korporat dan makan malam. Biarpun sudah lama tidak merakamkan album baru tetapi masih ramai yang mengingati dan meminati lagu-lagu saya.
"Antara lagu yang saya nyanyikan semasa mengadakan persembahan pentas bertajuk Bukan Belas Bukan Simpati dan Erti Budi. Saya bersyukur kerana nama saya masih diingati dan lagu-lagu itu pula dikategorikan lagu-lagu malar segar," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Ibu kepada Mohammad Ashraf, 17, Nur Athirah Hanim, 16, Mohammad Azrail, 15, Mohammad Aqil, 13, Mohammad Amil, 11, Mohammad Adib, 8, dan Anastasia Ayra, 6, ditemui selepas dia mengadakan persembahan pada Konsert KL Aktif 2013 anjuran stesen radio KL FM di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Jelas Azian, dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang ramai meskipun pada masa sama mengakui berdepan cabaran besar untuk membesarkan bilangan anak yang ramai. Selain bergelar ibu penyanyi berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini juga bekerja selain menjadikan bidang nyanyian sebagai kerja sambilan.
"Saya tidak mengambil pembantu rumah atau pengasuh untuk menjaga anak-anak saya. Sebabnya saya kurang percaya dengan pembantu rumah. Ibu sayalah banyak membantu membesarkan anak-anak saya selama ini. Saya telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis membesarkan anak-anak saya.
"Apatah lagi saya berkahwin pada usia muda iaitu semasa berusia 19 tahun. Selepas itu, saya sambung belajar di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, Kuala Lumpur dalam bidang Pengurusan Kewangan sehingga mendapat diploma dan bekerja. Tetapi semua itu tidak menghalang saya untuk terus menyanyi sehinggalah ke hari ini," ujarnya.
Keturunan anak ramai
Ternyata kesibukan seharian sebagai seorang isteri, ibu dan mempunyai kerjaya sendiri tidak menghalang Azian untuk terus tabah membesarkan anak-anaknya itu. Malah, dia yang telah mendirikan rumahtangga dengan Mohammad Ahrar Zulkarnain, 40, pada 1995 menganggap anak ramai yang dikurniakan Allah banyak membawa rezeki kepadanya.
Pada masa sama, Azian yang kini menetap bersama keluarganya di Presint 15, Putrajaya menambah, perkara itu tidak menghairankan kerana keluarga ibunya mempunyai bilangan anak yang ramai.
"Sebagai contohnya, emak saya juga mempunyai tujuh orang adik beradik. Cuma emak saya sahaja yang dikurniakan tiga orang anak sahaja termasuk saya tetapi apabila tiba giliran saya, Allah kurniakan saya tujuh orang anak pula. Mungkin anak ramai ini pun daripada keturunan belah keluarga emak saya," jelasnya.
Pengalaman menjadi ibu muda juga banyak mendewasakannya. Dia tetap gigih menyanyi selepas berkahwin. Malah penyanyi ini yang kini merupakan kakitangan kerajaan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya tidak menyesal kerana bertemu jodoh di usia yang masih muda ketika itu.
Sebaliknya Azian bersyukur kerana dengan berkahwin muda dia bukan sahaja dikurniakan anak yang ramai tetapi dapat melihat sendiri anak-anaknya membesar di depan mata. Semua itu katanya menjadikan dia seolah-olah membesar seiring dengan tumbesaran anak-anaknya.
"Pada usia saya 37 tahun sekarang ini anak-anak saya sudah besar sedangkan saya belum berada pada usia yang betul-betul tua. Malah anak-anak saya terutama yang sulung sekarang ini saiz tubuh dan tingginya lebih daripada saya. Kalau buat persembahan kadang-kadang anak-anak saya pun ikut sekali turun padang.
"Ada juga yang macam kurang percaya tengok anak-anak saya sudah besar tetapi keadaan saya macam ini juga. Mungkin saiz badan saya memang kecil dari dulu. Selain itu, ada juga yang kurang perasan sebab sekarang ini saya sudah bertudung. Sungguhpun begitu, apabila saya menyanyikan lagu-lagu lama saya, barulah ramai yang mula ingat," katanya.
Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, dia kini tiada masalah untuk membahagi-bahagikan masanya untuk suami, anak-anak dan kerjayanya sebagai kakitangan kerajaan. Pada masa sama, Azian turut bersedia untuk merakamkan lagu atau album baru jika diberi peluang oleh mana-mana syarikat rakaman.
Dia optimis memandangkan masih ramai penyanyi seangkatan dengannya pada era 80-an malah lebih berusia daripadanya seperti Salwa Abdul Rahman dan Nassier Wahab terus aktif merakamkan album mahupun mengadakan persembahan di merata-rata tempat.
"Walaupun sekarang ini saya tidak menyanyi sepenuh masa seperti dulu tetapi saya tetap akan memenuhi undangan mengadakan persembahan pada masa terluang terutamanya pada hujung minggu. Suami saya pula tiada masalah dan memberi galakan terhadap bakat dan minat saya dalam bidang ini," ujarnya lagi mengakhiri perbualan pada malam itu.