Bukan ambil kesempatan - Zul Ariffin
PENDEDAHAN secara terbuka yang dibuat oleh pelakon Zul Ariffin berkenaan hubungan cintanya dengan penerbit filem Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai merupakan tindakan ikhlas yang lahir daripada hatinya.
Bagaimanapun bukan semua melihat positif tindakan beraninya itu sebaliknya ada yang menganggap hubungan Zul-Gayatri itu ada udang di sebalik batu.
Zul mengakui bahawa dia tidak dapat menghalang masyarakat daripada menimbulkan pelbagai tohmahan dan persepsi negatif terutama apabila ada mengatakan hubungan itu tidak lebih sekadar bertujuan untuk mengambil kesempatan.
Ini kerana dalam tahun 2012 sahaja, Zul terlibat dengan dua buah filem yang diterbitkan syarikat produksi tersebut masing-masing filem Penanggal dan Bikers Kental yang bakal menemui penonton pada tahun ini.
Perkara tersebut secara tidak langsung menguatkan lagi desas-desus bahawa pelakon tinggi lampai berusia 26 tahun ini sememangnya menjalinkan hubungan dengan Gayatri untuk mendapatkan tawaran berlakon secara tetap dengan Tayangan Unggul.
Tetapi menurut Zul, hubungan antara dirinya dengan Gayatri adalah suatu hubungan yang jujur dan lahir daripada hati yang ikhlas tanpa sedikitpun niat untuk mengambil kesempatan dengan kedudukan yang dimiliki wanita tersebut.
"Sewaktu saya mendedahkan perkara ini kepada pihak media dan umum, saya memang sudah menjangka akan terdapat cerita-cerita kurang enak seperti ini.
"Ini merupakan perkara biasa dalam kehidupan. Setiap orang mempunyai persepsi masing-masing dan saya tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan cakap-cakap mereka.
"Tetapi di sini saya mahu menjelaskan bahawa hubungan yang terjalin antara kami memang berdasarkan perasaan kasih dan sayang dan tidak lebih daripada itu," katanya yang mengesahkan hubungan cinta mereka sewaktu pelancaran filem Bikers Kental, baru-baru ini.
Hubungan yang telah berlangsung kira-kira tujuh bulan itu terjalin selepas tamat penggambaran filem Penanggal sekitar bulan Mei lalu.
Tambah Zul, hubungan antara mereka terjalin secara semula jadi tanpa ada mana-mana pihak yang meluahkan perasaan cinta terlebih dahulu.
"Pada awalnya, kami mula rapat selepas tamat penggambaran filem Penanggal, kami kerap berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan berbual berhubung pelbagai isu.
"Lama-kelamaan hubungan itu menjadi semakin rapat tetapi kami sendiri tidak tahu bilakah ia bertukar daripada sekadar rakan menjadi lebih serius," katanya yang turut memegang watak utama dalam drama bersiri Debunga Lalang yang mula ditayangkan di TV3 hari ini.
Zul turut menegaskan bahawa pengumuman yang dibuatnya baru-baru ini menunjukkan bahawa dia serius bersama Gayatri kerana baginya, kejujuran adalah penting dalam sesebuah perhubungan.
Jelasnya, sebelum pengakuan itu dibuat, mereka sudah berbincang berhubung perkara tersebut.
"Saya tiada masalah sungguhpun sudah diketahui umum kerana kami jujur dalam hubungan ini dan tiada sebab untuk merahsiakannya.
"Oleh itu sewaktu pihak media bertanyakan soalan tersebut pada saya, saya menjawab dengan jujur kerana tidak mahu menipu sesiapa dalam hal ini," katanya jujur.
"Selain itu, hubungan antara kami ini juga sudah diketahui oleh pihak keluarga dan mereka juga sudah memberi keizinan untuk saya meneruskan hubungan ini," tambahnya yang sentiasa berkongsi kisah peribadi dengan keluarganya.
Tidak mengejar wanita berusia
Apabila berbicara soal hubungan cinta jejaka bertubuh sasa ini, tidak dapat tidak seseorang pasti terfikir apakah Zul sememangnya mempunyai cita rasa kepada wanita yang lebih berusia kerana sebelum ini, dia juga hangat menjalinkan cinta dengan pelakon Abby Abadi.
Zul menegaskan bahawa dia tidak pernah merancang untuk mengejar atau menjalinkan hubungan cinta dengan wanita yang lebih berusia berbanding dirinya kerana semuanya berlaku secara semulajadi.
"Saya tidak pernah mengejar untuk mencari cinta daripada wanita yang lebih berusia tetapi mungkin secara kebetulan perasaan cinta itu timbul kepada individu yang sedemikian.
"Mungkin juga kerana wanita berusia ini lebih matang dalam menguruskan perjalanan karier dan pergaulan mereka dan ia membuatkan saya jatuh hati," katanya lagi.
Jadi apa yang membuatkan Zul tertarik dengan Gayatri yang tua 12 tahun daripadanya?
"Dia matang dan bijak dalam pergaulan bersama orang sekeliling. Lebih penting, saya selesa apabila bersamanya.
"Jarak umur bukan isu kerana apabila kami bersama saya berasa seperti bersama rakan sebaya."
Zul juga sempat bergurau dengan mengatakan mungkin penampilannya yang kelihatan jauh lebih tua berbanding usianya sebenar turut memainkan peranan sehingga membuatkan wanita berusia tertarik untuk mendekatinya.
"Selain daripada penampilan fizikal yang mungkin kelihatan lebih berumur berbanding rakan-rakan sebaya lain, mungkin kerana perwatakan diri saya juga serasi dengan mereka yang membuatkan hubungan itu terjalin dengan lancar," katanya yang mengakui pernah mengambil rehat daripada dunia lakonan selama kira-kira empat bulan sebelum ini.