Bukan kerana tamak - Serina

SERINA Redzuawan tamak? Itu dakwaan negatif segelintir pihak terhadap anak perempuan chef terkenal tanah air, Chef Wan. Isu timbul gara-gara dia dituduh menipu pengguna dan cuba mengaut keuntungan berganda menerusi gambar testimoni palsu yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menggunakan jenama produk kesihatan yang dijualnya untuk program menurunkan berat badan. Dek kerana itu, lelaki terbabit telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut. Namun hal itu telah dinafikan oleh Serina yang menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah satu salah faham. Jelas Serina, dia yang tidak tahu bahawa lelaki berkenaan tidak menggunakan sebarang produk kesihatan cuma mengambil gambar tersebut di Internet. Pun begitu, meski sudah tampil dengan penjelasan panjang lebar, tempias kutukan dan kritikan masih dirasakan oleh pelakon tersebut. LEMBARAN tahun baru, Serina diduga dengan isu sensasi apabila didakwa cuba menipu pengguna produk kesihatan menerusi gambar testimoni palsu. Apa komen Serina? Sebenarnya terus-terang saya katakan, saya dah tak mahu lagi bangkitkan isu ini. Saya cuma fikirkan perasaan keluarga saya sahaja terutama ayah saya yang tak gemar cerita-cerita begini dipanaskan lagi. Lebih elok kalau saya diamkan sahaja. Secara am, adakah perkara ini menyebabkan Serina serik untuk meneruskan perniagaan? Sejak dulu, orang kenal saya sebagai seorang yang kuat, degil dan berani. Ini adalah persamaan yang saya kongsi dengan ayah saya. Semangat dan minat kami sama. Bezanya saya bukan chef. Biasalah dugaan. Saya percaya, Tuhan tak akan berikan kesenangan dengan mudah, jadi saya perlu lalui laluan sukar dulu. Selebriti sering diangkat menjadi duta atau jurucakap untuk sesuatu produk. Secara tak sedar, perkara itu satu tanggungjawab berisiko. Contohnya, bila produk tak berkesan, artis terbabit yang teruk dihentam. Komen? Isu macam ini sering berlaku. Saya tak nafi, ada segelintir orang gemar ambil kesempatan dan menuding jari pada artis atau selebriti yang sebetulnya cuma duta atau jurucakap dan bukan pemilik produk itu. Jadi saya lihat, artis jadi mangsa keadaan. Bila jadi macam ini, tak pasal-pasal orang pandang rendah pada artis. Nampak macam golongan artis mudah diperkotak-katikkan. Saya mohon masyarakat juga jangan mudah menuding jari. Jadi Serina mengaku yang risiko begini seringkali menimpa golongan artis yang nak jadi duta atau jurucakap produk? Begitu? Saya tak nafi, fitnah ada di mana-mana dan dalam apa jua yang kita buat. Bagi saya artis kena bijak untuk mengatasi dan mengendali perkara-perkara macam ini. Contohnya, orang kata saya tamak, nak kaut untung semata-mata sampai sanggup tipu, walhal saya tak buat. Kita nak jelaskan panjang lebar pun tak guna jika orang masih nak bercakap. Apa yang penting, Tuhan tahu niat saya dan apa yang saya buat adalah ikhlas. Terlibat dalam dunia perniagaan, Serina juga tak terkecuali dipandang rendah oleh segelintir masyarakat yang sengaja nak cari kesalahan. Umpama mahu menjatuhkan Serina. Tak bimbang? Benda ini sudah lama berlaku. Orang selalu cakap, saya ada ayah yang berduit dan ada nama, untuk apa kerja teruk? Orang kata saya macam-macam. Pendekatan saya mudah. Bagi saya, orang yang berfikiran negatif ini tak banyak. Jadi saya tumpu pada mereka yang sokong saya saja. Mereka adalah inspirasi untuk saya teruskan usaha dalam apa saja yang dilakukan. Baik dari segi lakonan, pengacaraan dan perniagaan. Khabarnya, Serina buat banyak bisnes dalam satu masa. Semua nak dibuat. Sampai orang label Serina tamak, semua nak ‘sapu’. Komen sikit. Bukan soal tamak. Masa muda inilah kita kena kerja kuat. Tak kan dah tua masih lagi nak kerja teruk? Dari dulu saya memang seorang yang berdikari. Saya buat semua ini untuk keluarga. Bukan untuk diri sendiri saja. Bagi saya inilah pengorbanan. Saya tak nak susahkan keluarga. Saya harap, apa yang saya buat sekarang dapat memberi inspirasi pada golongan muda di luar sana agar berusaha cari duit sendiri dan bukan susahkan ibu dan ayah. Sibuk bisnes apa sekarang ini? Sekarang saya ligat mengusahakan produk kesihatan dan kecantikan jenama sendiri, Anggun Serina yang akan dilancarkan pada Mac ini. Produk ini khusus untuk wanita yang sudah berumahtangga. Yang penting, saya bukan jual muka, saya cuba sendiri dan hasilnya memang mengkagumkan. Alhamdulillah, selain Anggun Serina, saya juga sibuk dengan bisnes francais Cosway Farmasi. Apa yang penting, impian saya adalah untuk bantu bangsa Melayu. Sibuk ke sana sini dengan bisnes, dah lupakan dunia lakonan? Boleh dikatakan jadual saya padat buat masa ini. Saya baru saja selesai menjalani sebuah penggambaran telemovie dan masih aktif mengendalikan syarikat produksi YKS Film Maker Sdn. Bhd. Saya tak nak tamak ambil banyak tawaran dalam satu masa. Bukan apa, saya bimbang produksi susah sebab saya selain elak dikatakan tak berdisiplin. Saya akan ambil kalau saya rasa masanya sesuai.