Imran lebih selesa solo
PERCINTAAN yang pernah terjalin antara penyanyi Imran Ajmain dengan Siti Saerah kira-kira tiga tahun lalu sudah tersimpan dalam lipatan sejarah masing-masing.
Imran yang pernah menjalin hubungan cinta dengan adik kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu telah berumah tangga, manakala Imran pula terus kekal solo sehingga kini.
Sewaktu ditemui semasa majlis pelancaran single dan MTV Karaoke lagu berjudul Dikalung Kasihan menjelaskan dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi terus mengenang apa yang telah berlaku dahulu.
"Rasanya saya tidak perlu terus menanamkan rasa kecewa dalam diri terhadap peristiwa lalu memandangkan matlamat utama saya sekarang mahu fokus dan serius dalam kerjaya.
"Biarlah ia menjadi sebahagian daripada sejarah dalam hidup saya. Buat masa ini saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang tanpa memiliki teman wanita," ujar penyanyi kelahiran Hougang, Singapura itu.
Ketika ditanya sama ada kegagalan percintaan lalu membuatkan dirinya sudah serik bercinta, Imran menyatakan ia bukanlah menjadi penyebab untuk dia langsung tidak menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan mana-mana wanita.
Ujarnya, selepas putus cinta dengan Siti Saerah dahulu pernah juga dia menjalinkan percintaan dengan gadis lain. Namun begitu, hubungan mereka tidak berkekalan lama.
"Sebenarnya saya pernah bercinta dengan seorang gadis Malaysia, tetapi semakin lama kami mengenali diri masing-masing saya sedar kami tidak sesuai untuk terus menjalinkan hubungan ke peringkat yang lebih serius.
"Sejujurnya saya tidak ada masalah menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita, cuma buat masa ini saya masih lagi dalam proses mencari seseorang yang sesuai dengan diri saya," jelasnya yang bakal mencecah usia 32 tahun pada April ini.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan menjelaskan dia tidak meletakkan sebarang sasaran usia untuk mendirikan rumah tangga dan menganggap usia itu tidak lebih daripada sekadar angka.
"Kalau boleh saya ingin memiliki anak sebelum usia saya menjelang tua. Saya tidak mahu orang tersalah anggap dan menyangka saya menghantar cucu pula ke sekolah nanti," selorohnya.
Menurut Imran, ketika ini dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat mengenai kehidupan peribadi dan mahu terus berusaha mengembangkan kerjaya nyanyiannya.
"Kerjaya saya sebagai penyanyi bermula agak lewat iaitu ketika usia saya sudah mencecah 26 tahun. Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi yang lebih muda.
"Lagipun nyanyian merupakan sebahagian daripada kehidupan saya memandangkan banyak pengorbanan yang harus saya lalui seperti meninggalkan tanah air, keluarga dan rakan-rakan semata-mata mengejar impian menjadi penyanyi yang hebat," ujarnya.
Berhenti merokok
Ditanya mengenai kejayaan yang pernah diraihnya sepanjang tahun lalu, Imran memberitahu salah satunya ialah apabila akhirnya dia berjaya berhenti merokok.
Mengakui mula merokok sejak berusia 14 tahun, penyanyi itu menyatakan kali terakhir dia merokok adalah pada 28 Februari 2012 selepas membuat persembahan di sebuah acara di Pavilion.
"Pada tarikh tersebut saya tidak dapat menyanyi dengan sempurna kerana kurang sihat, namun saya masih tetap menerima ajakan seorang rakan untuk merokok selepas membuat persembahan.
"Kemudian setelah asyik terbatuk-batuk semasa merokok, tiba-tiba terdetik di hati saya supaya terus berhenti. Jadi, itulah kali terakhir saya merokok," jelasnya.
Ujar Imran, sebelum ini sudah beberapa kali cuba berhenti merokok, tetapi selalu sahaja gagal. Dia hanya berhenti sementara apabila kurang sihat dan akan sambung semula dua atau tiga hari selepas sembuh.
Bagaimanapun, pada peringkat awal dia merahsiakan tindakannya itu daripada pengetahuan ramai terutama peminat dan mendedahkannya selepas 100 hari.
"Menerusi laman sosial Twitter saya akan menulis 'hari pertama', 'hari kedua' sehinggalah 'hari ke-100' sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak.
"Sehinggakan ada yang sangka saya sedang mengira hari untuk tarikh pelancaran album. Lebih kelakar lagi ada juga yang menyangka saya mengira hari mendirikan rumah tangga," ujarnya.
Album amal
Sempena dengan kehadiran tahun 2013, sudah terdapat beberapa perancangan yang akan dilakukan oleh Imran dalam usahanya untuk terus bertapak kukuh dalam industri nyanyian.
Antaranya, dia akan melancarkan dua buah album pada tahun ini dan salah satu daripadanya sudah pun siap sepenuhnya dan kini sedang menunggu tarikh yang sesuai untuk dilancarkan.
"Saya meletakkan judul album tersebut iaitu Alunan Kasih (Menghargai Wanita) dan mengandungi sebanyak lapan buah lagu. Ia merupakan sebuah lagu pop dan lirik-lirik lagu tersebut ditujukan khas kepada mereka yang bergelar ibu, kakak atau adik.
"Bagi saya album ini sangat istimewa kerana ia terhasil dengan kerjasama Masjid An-Nur di Woodlands, Singapura. Sebahagian daripada kos penerbitannya turut disumbangkan oleh masjid berkenaan," jelasnya.
Menurut Imran, dia juga tidak mengambil sebarang keuntungan daripada penjualan album berkenaan kerana ia akan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan baik pulih masjid tersebut.
"Album ini saya anggap sebagai satu hadiah tersendiri kepada para peminat saya terutama yang berada di Singapura memandangkan saya kini sudah bermastautin secara tetap di Malaysia," ujarnya.