Mengembara luaskan pengetahuan - Fezrul

KALAU diikutkan daripada pemerhatian penulis, tidak salah sekiranya dikatakan bahawa tahun ini ramai sungguh orang pergi bercuti, sama ada di luar mahu pun dalam negara. Tidak kurang juga dengan barisan selebriti dan insan seni tanah air termasuk Fezrul Khan Junaidi. Lebih mesra disapa Fezrul, dia sememangnya merupakan salah seorang individu yang kuat berjalan. “Kalau nak diikutkan, saya memang suka melancong. Selain dapat mempelajari perkara baru, dalam masa yang sama, saya juga dapat melihat keindahan di tempat lain. “Kalau asyik terperuk di dalam rumah, rugi juga. Sebaiknya, luangkanlah juga masa untuk melihat keindahan alam ciptaan Tuhan," katanya bersungguh. Menurut pelakon drama bersiri Bini-Bini Perkasa ini, apa yang lebih menarik lagi ketika mengembara adalah dia dapat melihat perbezaan budaya yang sangat ketara di tempat lain. “Saya suka melihat budaya dan juga seni reka di tempat yang saya lawati. Kebanyakannya berbeza dengan apa yang ada di negara kita," jelasnya. Ditanya apakah destinasi seterusnya selepas ini, Fezrul memberitahu pada tahun ini, dia mahu mengerjakan umrah. “Sebelum ini, saya belum pernah menjejakkan kaki di sana, jadi niatnya tahun ini kalau ada rezeki memang mahu ke sana," jelas pelakon di bawah naungan Metrowealth Movie Production ini. Pengalaman Jika sudah mengembara, tidak sah sekiranya perjalanan tersebut tidak dihiasi dengan pengalaman atau detik yang tidak dapat dilupakan. Bagi Fezrul sendiri, dia pernah mengalami peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika berkunjung ke Hong Kong. “Ketika di Hong Kong, kami telah menaiki teksi untuk ke satu lokasi. “Ketika itu, kakak saya dan isteri, Noorhafizah Zulkafli duduk di bahagian belakang. Hendak dijadikan cerita, ketika kami hendak menutup pintu teksi, salah satu cermin belakang pecah. “Pemandu teksi tersebut meminta bayaran ganti rugi, sedangkan perkara itu tidak disengajakan. “Mujurlah ada anggota polis berada di sekitar tempat kejadian tersebut. “Sebenarnya, menurut anggota polis tersebut, apa yang dilakukan oleh pemandu teksi yang kami naiki itu adalah salah satu taktik sindiket untuk mengaut wang daripada penumpang," katanya kesal. Memang pelbagai perkara boleh terjadi sekiranya tiada persediaan malah kadang-kala pelancong yang tidak bersalah pula yang menjadi mangsa. Bercakap mengenai keselamatan, Fezrul tidak gemar membawa semua wang yang dibawanya sekali gus, bimbang jika berlaku perkara tidak diingini. “Kalau boleh, saya akan tinggalkan sedikit wang di peti keselamatan yang disediakan di hotel. “Bahaya jika bawa semua wang tunai yang anda pegang. Manalah tahu jika berlaku perkara yang tidak diingini, sekurang-kurangnya kita ada simpanan lain," jelasnya lagi. Selain itu, dia juga sempat berkongsi cerita mengenai pengalamannya dan isteri ketika berada di Beijing, China. “Ketika berada di sana, kami terpaksa bergerak berasingan kerana saya kena jaga barang. “Hendak dijadikan cerita, kami berpecah sebaik sahaja tiba di stesen keretapi di sana. Saya ambil teksi ke utara dan isteri pula ambil teksi ke selatan, memang tak jumpalah. “Sesak jugalah ketika itu kerana hendak telefon isteri, tiada talian. Akhirnya kami berjumpa di hotel sahaja pada malam tersebut," katanya sambil ketawa kecil mengingatkan peristiwa tersebut.