Penghujung Cinta Shila-Sharnaaz

SELEPAS beberapa minggu panas dengan konflik tiga penjuru - bapa, anak dan kekasih, akhirnya terlerai juga ikatan cinta Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah. Umpama lagu Patah Seribu dendangan Shila, begitulah juga hati dua insan yang kecundang di tengah jalan ini. Tiada lagi cinta hati, tiada lagi belahan jiwa apabila kekasih mengambil keputusan nekad memutuskan percintaan Selasa. Kononnya hilang hormat kepada bapa Shila. Ternyata Ombak Rindu yang didendangkan Shila saat ‘melarikan diri’ daripada kekusutan jiwa tidak mampu melembutkan hati bapanya ND Lala mahupun kekasihnya, Sharnaaz. Biarpun remuk hati dengan pengakhiran cinta yang baru tersemai setahun lalu, Sharnaaz dan Shila kini membawa haluan sendiri dalam mengubat duka. Shila dengan gayanya - memuat naik status terkini tentang hati dan perasaan di laman sosial selain sibuk mengadakan persembahan; Sharnaaz pula memfokuskan diri kepada dunia lakonan. Namun ND Lala yang sebelum ini berjanji mahu mengadakan sidang akhbar terus berdiam diri dan tidak dapat dihubungi. Bagaimanapun ibu Shila, Fauziah Sarman yang memberi reaksi terhadap isu ini kepada Pancaindera malam Khamis lalu. Dia memberitahu, pihaknya akan mengadakan sidang akhbar seperti yang dijanjikan. Malah Fauziah dalam SMS yang dititipkan sempat menyatakan situasi anak sulungnya itu ketika ini. “Shila sangat tabah dan kuat dan itu yang saya pesan pada dia. Tidak tahulah macam mana kalau saya berada di tempat dia. “Saya nampak sekarang ini Shila masih sebak bila teringat perpisahan itu," katanya. Dia juga memberitahu sering menasihati anaknya daripada terus memendam rasa mengenangkan cerita cinta tidak kesampaian yang sudah dilalui. Tulisnya lagi: “Kalau kahwin bukan sekarang, Allah tahu bila. Kalau bukan hak kita tetap bukan. Allah belum nak bagi lagi. Jadi fokus kerjaya... sebab jodoh adalah rahsia Allah."