
SEBELUM ini pemilik nama Hanis Zalikha Zainal Rashid hanya dikenali sebagai seorang penulis blog yang pernah disenaraikan sebagai antara yang tercantik.
Namun, kini mungkin tuah menyebelahi anak jati Kuala Lumpur ini, apabila langkahnya memasuki dunia seni tempatan telah meletakkan dia ke satu tahap yang tidak pernah dijangkanya.
Sebagai seorang pendatang baharu dan masih hijau dalam industri seni, Hanis Zalikha atau lebih mesra disapa sebagai Hanis, memberitahu dia memerlukan 'tulang belakang' yang kuat untuk menguruskan kariernya.
Pada waktu banyak orang masih belum mengenal dirinya, Hanis yang pernah tampil sebagai pelakon utama dalam filem arahan Ahmad Idham yang berjudul Gangster Celop, kini telah diikat sebagai artis residen stesen televisyen tersebut.
Semuanya gara-gara kesibukannya yang sukar menguruskan karier seninya sendiri. Ujar gadis berusia 23 tahun ini, selepas mengambil kira dari semua sudut dan membuat pertimbangan sewajarnya, dia telah mengambil keputusan untuk menerima tawaran Astro untuk menjadi artis bawah naungan stesen televisyen gergasi tersebut.

Bukan wajah eksklusif Astro
Walaupun kini Hanis telah berada di bawah naungan Astro Talent Management, namun Hanis bukan merupakan wajah eksklusif Astro. Ini kerana, pihak Astro hanya menguruskan karier seni Hanis dan menyusun jadual dalam bidang hiburan yang diceburinya ini.
"Saya masih akan meneruskan tawaran dan karier saya dengan pihak produksi lain dan sebagai contoh saya masih akan mengendalikan program Mad Markets di TV 9.
"Menjadi artis bawah naungan Astro ada kelebihannya bagi pendapat saya. Ini kerana saya bukan wajah eksklusif, jadi saya masih boleh terima mana-mana tawaran dari pihak luar dan bukan pihak Astro sahaja.
"Semasa Astro menawarkan untuk menguruskan saya, saya terima kerana saya fikir Astro ialah sebuah jenama yang cukup kuat untuk mengendalikan karier saya," tutur Hanis pada sidang akhbar memperkenalkan wajah baharu Astro di Restoran Delicious, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, berada di bawah naungan Astro bakal membawa dirinya lebih jauh untuk membina nama dalam industri hiburan tempatan. Selain itu, dia berasa Astro merupakan sebuah platform untuk dirinya maju selangkah ke hadapan.
"Jika bergerak sendiri, mungkin penilaian saya kurang profesional berbanding berada di bawah pihak pengurusan. Saya mahu profesionalisme Astro untuk membawa saya ke arah yang lebih berjaya," bicara Hanis ringkas.

Masih aktif menulis
Walaupun kini dia telah membina karier dalam bidang hiburan tanah air, namun Hanis tidak pernah melupakan asal usul dirinya yang sebelum ini merupakan seorang penulis blog.
Tuturnya, menulis blog ialah salah satu minat yang wujud dalam dirinya dan tidak mungkin berhenti walaupun mungkin kini agak sibuk menguruskan karier dalam bidang yang berlainan.
"Tentang laman blog saya, ia masih lagi di bawah Nuff Nag dan saya masih akan menulis blog seperti biasa. Ini kerana, setelah memasuki bidang baharu iaitu lakonan dan pengacaraan, saya rasa seperti banyak yang ingin diceritakan dan dikongsi.
"Sebenarnya, jika mahu diikutkan terlalu banyak benda yang saya ingin berkongsi tapi mungkin tidak dinafikan mungkin mempunyai sedikit kekangan masa. Bagaimanapun, saya masih akan mengemaskini blog saya kerana itu merupakan titik-tolak saya berada dalam industri kini," akuinya tentang permulaan rezeki dalam bidang lakonan.
Kelas lakonan
Mungkin pada mulanya, Hanis meminati bidang pengacaraan, namun setelah terlibat dalam bidang lakonan, Hanis akui minatnya terhadap lakonan semakin mendalam.
"Mula-mula saya mungkin rasa tidak yakin, namun lama-kelamaan, saya rasa suka pula dengan lakonan. Tapi saya mengaku lakonan saya masih lemah dan perlu diperbaiki. '
"Oleh sebab itu, saya ada merancang untuk menghadiri kelas lakonan bagi memperbaiki mutu lakonan saya. Saya perlukan ruang untuk memperbaiki lagi diri kerana memang saya masih terlalu hijau dalam industri," jelasnya tentang perancangan pada masa akan datang.
Walaupun ada di antara segelintir peminat seni hiburan tanah air mengatakan Hanis diterima dalam industri berdasarkan kecantikan yang menjadi kelebihan dirinya, ia disangkal oleh gadis tinggi lampai ini.
Jelasnya, dia langsung tidak merasakan dirinya cantik dan akan membuktikan kepada masyarakat bahawa dia sebenarnya ingin terus kekal dalam industri kerana bakat yang wujud dalam diri.