Kesabaran Anang diduga

DALAM tempoh kurang setahun lelaki ini mendirikan rumah tangga buat kali kedua, dia diduga dengan perkhabaran sedih apabila si isteri disahkan menghidap penyakit radang otak pada 18 Februari lalu. Pada mulanya agak sukar Anang Hermansyah, 44, menerima berita penyakit Ashanty, 29, yang dipercayai berpunca daripada jangkitan virus, meningitis. Namun setelah diyakinkan oleh pegawai perubatan Rumah Sakit MMC, Kuningan Jakarta, Indonesia akhirnya dia reda. Pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan kesihatan Ashanty termasuk berubat di Singapura seperti dicadangkan oleh keluarga mentua. Mereka menerima khabar gembira apabila doktor memaklumkan keputusan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan terhadap Ashanty menunjukkan perkembangan positif. "Doktor mengesahkan penyakit Ashanty belum ke tahap kronik. Saya yakin yang Ashanty mampu pulih sepenuhnya," kata Anang kepada media Indonesia baru-baru ini. Dalam pada itu, ramai yang menyalahkan Anang kerana membiarkan Ashanty bekerja tanpa henti serta tidak mengendahkan tahap kesihatan dan amalan pemakanan sihat isterinya. Sementelah selepas mendirikan dengan Anang pada 12 Mei tahun lepas, Ashanty dilihat begitu serius dalam urusan kerjayanya. Malah demi merealisasikan impian untuk berjaya setaraf dengan suaminya, Ashanty sanggup bekerja lebih masa dan merebut peluang berlakon dan menyanyi pada satu masa. Kakak ipar Ashanty, Liza Natalia memberitahu media Indonesia bahawa Ashanty terlalu mahu menggenggam impiannya sehingga jatuh sakit di lokasi pengambaran filem pertamanya. "Suami, Yusuf Khyber Hasnoputro (abang Ashanty) pernah mengadu yang adiknya dipaksa untuk bekerja. Wajah Ashanty kelihatan risau apabila membabitkan soal kariernya. "Mungkin sebab itu dia terlalu memaksa diri sehingga mengabaikan kesihatannya. Saya rasa dia sedang berdepan dengan tekanan kerja yang melampau," kata Liza. Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak berasas buat Anang yang dilihat bersungguh-sungguh memberikan layanan dan rawatan terbaik buat penyanyi lagu Jodohku itu semenjak jatuh sakit. Bekas mahasiswa Universiti Islam Bandung ini juga dilihat sentiasa berada di sisi isterinya, memberi sokongan moral sehingga dirinya seperti orang tidak terurus. "Macam mana hati saya nak tenang dan duduk diam? Dia terbaring di atas katil di hospital. Macam mana saya mahu menjalani kehidupan ini tanpa dia," kata Anang lagi. Anang berharap agar isterinya segera pulih seperti sedia kala. Malah khabarnya setiap momen sewaktu menemani Ashanty di hospital akan dicatatkan dalam buku biografinya berjudul Aku dan Diva yang akan diterbitkan tidak lama lagi.