Lebih terbuka soal cinta - Tiz

HANYA enam bulan lalu, bekas kekasihnya Remy Ishak mengumumkan mereka tidak lagi bersama, itupun setelah tiga bulan berpisah . Masa berlalu pergi, kini mereka hampir selesa untuk tidak dikaitkan bersama lagi. Jika Remy masih memilih untuk sendiri, lain pula keputusan Tiz Zaqyah Abdul Razak, 25, apabila mengakui hatinya kini sudah dipenuhi cinta seorang lelaki. Diakui, berbeza dari zaman percintaan terdahulu, Tiz dilihat lebih terbuka untuk berbicara tentang cinta terbaru ini. Menjadikan masa lalu sebagai medan penting untuk mengaut ilmu, dia percaya pemahaman itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menentukan kehidupannya kini. "Saya akui lebih terbuka kini untuk berkongsi cerita cinta saya. "Mungkin sebelum ini saya masih baru dan tidak faham apa yang berlaku, namun setelah sekian lama saya sudah mula memahami dan percaya bukanlah terlalu sukar untuk berkongsi dengan peminat," katanya ketika ditemui pada malam gala drama Cinta Jangan Pergi baru-baru ini. Tanpa angin tiba-tiba sahaja dia dan Remy mengumumkan perpisahan, cuba mencari punca, tetapi Tiz menegaskan, hubungan cinta terbarunya dengan lelaki bernama Daniel bukan sebab dia dan Remy berpisah. "Kami bercinta selepas beberapa bulan saya berpisah. Jadi kekasih saya tidak ada kena mengena dengan hubungan saya sebelum ini," katanya. Terus menjelaskan keadaan sebenar, menurut Tiz, Daniel juga bukanlah bekas teman lelakinya seperti yang digembar-gemburkan. Mengakui mengenali jejaka itu sejak dari zaman sekolah lagi, menurut Tiz keluarganya juga sudah mengetahui hubungan yang terjalin . "Kami sudah mengenali sejak dari tingkatan dua. Sebelum ini kami hanya mengenali sahaja, saya tidak pernah bercinta dengan dia. "Hanya beberapa bulan lalu kami bertemu kembali secara tidak sengaja dan mula rapat," katanya. Menjawab apa keistimewaan yang terdapat pada Daniel sehingga jejaka itu mampu membuka pintu hatinya, Tiz menjelaskan persamaan yang wujud antara mereka banyak membantu hubungan itu. "Dia seorang yang memahami dan lemah lembut. Mungkin sudah mengenali terlalu lama, keserasian itu juga banyak membantu kami untuk bersama," katanya ringkas. Belum fikir kahwin Memilih untuk memberi tumpuan buat kerjaya dahulu, menurut Tiz dia dan Daniel selesa tidak dibelenggu soal perkahwinan. Enggan meletakkan noktah umur untuk berkahwin, pintanya kepada peminat agar terus mendoakan kebahagiaan bersama Daniel. "Buat masa ini saya tidak memikir ke arah itu, mungkin masing-masing juga sibuk dengan kerjaya. "Pinta saya agar terus didoakan kebahagiaan saya," katanya yang turut berkongsi kerjaya kekasihnya itu sebagai pereka. Merasai dua pengalaman cinta berbeza, Tiz turut memberitahu disebabkan status kekasihnya kini hanya orang biasa tumpuan yang diberikan itu agak kurang . "Dia (Daniel) tidak ada masalah, cuma pada awal itu dia agak terkejut apabila makin ramai orang ingin mengetahui tentang dirinya. "Pada saya pula bercinta dengan orang biasa ini menyebabkan hubungan kurang menerima tekanan, dan lebih bebas," katanya. Mengiyakan hubungan yang terjalin masih baru, Tiz menjelaskan Daniel tidak pernah mengongkong sebarang keputusan berkenaan kerjayanya. "Dia tidak ada masalah dengan apa yang berlaku sebelum ini, dan dia juga tidak ada masalah untuk membenarkan saya berlakon di samping Remy. "Menerima saya seadanya, bagi saya hubungan ini masih lagi baru dan kami masing sedang mengenali diri masing-masing," katanya.