Interaksi santai Siti Saleha

ADA bermacam-macam cara untuk seseorang artis menghargai sokongan para peminat yang selama ini menjadi tulang belakang kepada kerjaya mereka. Tidak kira sama ada dengan menganjurkan majlis makan malam atau aktiviti riadah, peminat yang sporting tentunya tidak akan melepaskan peluang untuk bersama-sama memeriahkan hari tersebut tanpa jemu. Pendekatan yang sama turut digunakan oleh pelakon Siti Saleha, 23, menerusi aktiviti bersantai bersama peminat yang diadakan di kafe Renoma Bukit Bintang di ibu kota. Sengaja memilih lokasi itu, Siti Saleha berkata, ini merupakan salah satu cara dia memanfaatkan masa terluang dengan bertemu peminat, selain berinteraksi melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Memakai baju bertemakan warna hijau lembut, para peminatnya kelihatan teruja dapat mendekati Siti Saleha secara dekat. "Sebelum ini, saya kerap berinteraksi dengan peminat melalui Internet. Tetapi hari ini, saya dapat meluangkan masa bersama mereka dan ini membuatkan saya berasa sangat gembira. "Dah lama saya merancang untuk melakukan aktiviti luar sebegini yang berkonsepkan santai dan lepak. "Tujuan utama adalah untuk mendekati peminat dan bersantai seperti kawan baik saya,'' katanya. Siti Saleha menambah, sebelum ini dia turut menghadiri acara Movie Day Out With Siti Saleha anjuran kelab peminatnya yang lebih dikenali sebagai Team Siti Saleha (TSS). Apa yang menarik, TSS telah berjaya menghimpunkan 90 ahli untuk menonton tayangan perdana filem Kerat 14 yang turut dibintangi Siti Saleha