Kawan Tolong Kawan Demi Maimon Muttalib

MENGHIDAP penyakit barah payu dara sejak dua tahun lalu nyata bukan satu perkara yang mudah buat pelakon senior, Maimon Muttalib, 54. Apatah lagi apabila mendapat tahu bahawa penyakit yang paling digeruni kaum Hawa itu sudah berada di peringkat serius iaitu peringkat empat. Sejurus penderitaannya diketahui, Maimon atau Kak Mon kemudiannya mendapat perhatian ramai terutama di kalangan teman-teman artis yang nyata terkejut dengan perkhabaran itu. Masakan tidak, berbanding terbuka berkongsi rasa sakit yang dialami, Maimon lebih rela untuk menyembunyikannya daripada pengetahuan ramai. Alasannya tidak lain tidak bukan, dia enggan dianggap sebagai individu yang menyusahkan orang lain. Namun atas dasar persahabatan dan rasa kasih menggunung terhadapnya, Maimon nyata tidak terpinggir daripada perhatian sahabat baiknya sendiri, pengarah terkenal Murali Abdullah. Menerusi program Kawan Tolong Kawan yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Kuala Lumpur, Khamis lalu, Murali yang bergandingan bahu dengan pelakon Lisdawati hadir dalam usaha membantu aktres tersebut. Antara rakan-rakan artis yang turut hadir dalam termasuk Ruminah Sidek, Abu Bakar Omar, Afida Es, Datuk Yusof Haslam, Freddie Fernandez, Rosyam Nor, Erra Fazira, Khir Mohd Noor, Zed Zaidi, Zamarul Hisham dan Aida Khalida. Menurut Murali, setelah dikhabarkan mengenai penderitaan Maimon, dia dan Lisdawati segera merangka program itu untuk mengumpul dana bagi meringankan beban pelakon tersebut. "Saya dan Kak Mon dah berkawan baik sejak 26 tahun. Ini adalah antara cara bagaimana saya berusaha membantu Kak Mon. "Bukan saya seorang tapi kawan-kawan lain juga bersedia membantu Kak Mon dengan apa kudrat yang kami ada. "Saya sedar sesuatu perlu dilakukan memandangkan Kak Mon sendiri sudah tak boleh berlakon sejak sakit sedangkan lakonan adalah mata pencariannya. "Tapi semua itu terpaksa dilupakan Kak Mon selepas ramai penerbit tak berani nak ambil dia berlakon atas faktor kesihatan," katanya. Menurut Murali, program yang dihasilkan tanpa bantuan mana-mana persatuan artis merupakan sebuah program saat akhir yang diadakan dengan kerjasama Lisdawati. "Boleh dikatakan ini adalah sebuah majlis bantuan kilat dan saya turut menjemput rakan-rakan artis lain yang mengenali Kak Mon. "Jemputan juga tak rasmi, cuma menerusi panggilan telefon dan mesej. Namun ternyata ramai yang prihatin dengan keadaan Kak Mon dan memberi sokongan untuk hadir," katanya. Mengulas lanjut, kata Murali, usaha itu dibuat selain mahu membantu Maimon juga memberi kesedaran kepada semua warga filem bahawa bantuan dan penghargaan perlu disegerakan. "Saya tak mahu, bila orang itu dah meninggal, barulah kita nak menghargai dia. Kalau timbulnya kesedaran nak bantu, lekas bantu. Begitu juga dengan penghargaan," katanya.