Isu Kahwin: Khir Rahman Saran Bront Palarae Berterus Terang

Pelakon berwibawa Khir Rahman menyarankan Bront Palarae supaya berterus terang mengenai status dirinya sama ada benar dia kini sudah bergelar suami orang atau tidak. “Saya baik dengan Bront sebagai rakan industri tetapi tidak dari segi peribadi. Jadi, saya tak tahu dia sudah berkahwin atau tidak. “Jika benar (sudah kahwin), saya kira molek kalau Bront jangan lari (daripada cerita sebenar), tetapi hadapinya supaya tak timbul fitnah di kemudian hari," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo! hari ini Laporan sebuah akhbar tempatan pada Selasa lalu menyebut beliau sudah bernikah pada tanggal 31 Ogos 2013 - sama hari dengan rakyat Malaysia meyambut hari Kemerdekaan. Bront dikatakan telah melangsungkan majlis tersebut secara senyap-senyap dan ramai antara rakan rapat yang mengenalinya juga tidak tahu menahu tentang berita pernikahan tersebut. “Saya minta maaf, majlis ini secara tertutup dan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat. “Kalau boleh, saya tidak mahu menghebahkan perkara ini kerana banyak hati yang perlu saya jaga, terutamanya rakanrakan artis dan media. “Sebab itu saya lakukan pernikahan ini secara tertutup,” jelas Bront enggan memberi komen lanjut seperti mana yang dipetik daripada akhbar berkenaan.
Artikel tersebut juga telah mendedahkan bahawa Bront telah menjalani akad nikah dengan wanita yang merupakan kenalan lama hanya dengan sekali lafaz pada 31 Ogos di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail. Namun sehari selepas itu, menerusi sebuah portal gua.com.my, ada kenyataan dari beliau yang seolah-olah menafikan hal perkahwinannya. Kata Bront, ini merupakan kali kedua dirinya didakwa telah berkahwin. Malah tegas Bront, pada tarikh dia dikatakan berkahwin itu, dia berada di sebuah konti radio atas urusan kerja. “Pada tarikh tersebut saya turut berada di sebuah konti radio tetapi jari saya tidak berinai pun. Saya rasa lebih baik jika bertanya sendiri pada sumber yang mengeluarkan berita tersebut (akhbar terbabit),” kata Bront kepada portal tersebut.