Aidil bakal bergelar suami


PASTI ramai yang masih mengingati Aidil, bintang dari rancangan realiti Akademi Fantasia 3 (AF3) ini.

Jejaka berusia 26 tahun yang berketerampilan kemas dan lembut tutur bicara ini bisa mencairkan hati ramai wanita dengan perwatakannya.

Namun, diam tak diam, pemilik nama Nik Mohd. Aidil Nik Zamri ini sudahpun bergelar tunangan orang sejak Jun lalu dan bakal mengakhiri zaman bujang dengan pilihan hatinya, Juniza Azizan, 28, Januari tahun depan.

Aidil berkongsi kegembiraan nya itu dengan Hits, di Studio Utusan baru-baru ini sambil ditemani oleh tunangnya, Juniza.

"Tunang saya, Ju, memang lemah-lembut dan pemalu orangnya.

"Maaflah sebab kami tidak dapat bergambar bersama kerana kami menghormati pesanan orang tua Ju yang tidak membenarkan kami bergambar sebelum bernikah," ujar Aidil.

Menurut Aidil, dia dan Ju sudah bercinta lebih daripada enam tahun iaitu sebelum Aidil menyertai AF.

Perkenalan yang bermula di sebuah gerai nasi lemak akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta dan kekal sehingga enam tahun lamanya.

"Pelbagai dugaan saya hadapi sepanjang kami bercinta. Alhamdulillah Ju sentiasa ada untuk saya walaupun saya pernah melalui saat yang teruk.

"Kesabaran dan kesetiaan Ju membuatkan saya sedar Ju berbeza dengan wanita lain yang ingin dekati saya. Dialah wanita yang saya ingin habiskan hayat bersama," ujarnya sambil tersenyum.

Tambah Aidil, selain penyabar dan setia, Ju merupakan seorang wanita yang baik hati, lemah-lembut, sopan, solehah dan dapat memahami Aidil dan kerjayanya itu.

Sebagai tanda kasih kepada Ju, Aidil mencipta lagu Bersamamu untuk Ju. Lagu tersebut telahpun dirakamkan untuk album singlenya yang pertama.

Menyentuh mengenai perkahwinannya, Aidil berkata, dia melambatkan perkahwinan mereka, malah dia pernah merancang untuk berumah-tangga di awal perkenalan mereka.

Namun, menurut Aidil, pada ketika itu kehidupannya masih belum stabil dari segi kerjaya dan kewangan dan kini dia sudah memiliki rumah sendiri dn bakal didiami mereka berdua selepas diijab-kabulkan nanti.

Bercerita tentang persiapan perkahwinan Aidil dan Ju yang tinggal kurang dua bulan lagi, majlis persandingan mereka akan diadakan di Kampung Pengantin, Jalan Genting Kelang.

"Segala persiapan perkahwinan mendapat sentuhan oleh Azmy dari Orked Bridal House. Syed Nahar dan isteri dari Kampung Pengantin juga banyak membantu memberi idea untuk majlis kami nanti," tambahnya.

Bertemakan warna ungu, pihak Aidil akan menghantar 11 buah dulang hantaran berbalas 13 buah dulang hantaran dari pihak Ju.

Ujarnya lagi, pada asalnya mereka berdua ingin membuat perkahwinan ala kadar sahaja, namun atas pesan keluarga dan rakan-rakan, mereka menyarankan perkahwinan yang meriah.

Berkenaan kerjayanya pula, Aidil yang kini menjadi komposer sepenuh masa untuk syarikat milik M. Nasir, Luncai Emas, sedang menyiapkan dua buah lagu untuk Mawi yang merupakan rakan karibnya.

Dia turut menubuhkan Aidil Music, yang mana turut menghasilkan lagu-lagu untuk beberapa artis seperti Zouffi, Azmir Arif, Idayu AF3 dan Betty Benaffe.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Icom ini juga merancang untuk bersama-sama rakan-rakannya menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang memainkan bunyi baru di Jepun suatu hari nanti.

"Mereka semua merupakan kawan-kawan saya di Hicom yang kini kesemuanya merupakan jurutera bunyi dan boleh bermain pelbagai jenis alat muzik.

"Kami merancang untuk bermula di Jepun kerana pendengar muzik kita masih belum bersedia dengan konsep lagu yang kami bawa.

"Jika semua perancangan menjadi, saya akan turut membawa Ju ke sana nanti," ujarnya.