Hans terlantar dua hari di wad


GARA-GARA memberi komitmen terlalu tinggi kepada teater sulung terbitan syarikat miliknya, Cuci The Muzikal (CTM), Hans Isaac jatuh pengsan ketika mengadakan latihan di Istana Budaya, Jumaat lalu. Hans yang juga pemilik Tall Order Production terpaksa ditahan di wad Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur memandangkan keadaannya tidak stabil dan perlu mendapat rehat yang secukupnya.

Bayangkan, tinggal beberapa hari sahaja lagi teater itu akan dipentaskan, Hans pasti berdebar dan tertekan dengan persiapan yang dilakukan. Siang malam bekerja, tanpa mengira masa, Hans mahu memastikan hari pementasan CTM berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesilapan.

Dua hari berehat di wad, Hans lega kerana perjalanan latihan teaternya masih lagi bergerak dengan lancar biarpun latihan itu dilakukan tanpanya.

"Saya pun tak sangka yang saya boleh pengsan ketika latihan. Mana taknya, sejak berlakon filem baru, Jalan Lama sehinggalah sekarang, makan dan tidur saya tidak terjaga. Kadangkala saya tidur hanya tiga atau empat jam sahaja.

"Masa saya pengsan, doktor kata saya tertekan dan mengalami tekanan darah tinggi. Tambahan pula, badan saya tidak cukup rehat. Sampaikan dalam bilik persalinan di IB menyediakan katil dan bantal untuk saya berehat.

"Selama saya ditahan di wad, doktor memberikan saya ubat tidur agar fikiran dan tubuh badan saya dapat berehat seketika.

"Saya kerja sehabis baik untuk teater ini. Mungkin terlampau fokus sangat dengan teater ini membuatkan saya rebah.

"Memang teater ini satu tekanan untuk saya. Dengan bajet besar yang dilaburkan, sudah pasti saya mahukan yang terbaik. Sudah berminggu saya rasa gementar untuk menunggu tarikh keramat kami itu," ujarnya yang telah ditahan di wad selama dua hari.

Tambah Hans, sepanjang dirinya terlantar di wad, tiada siapa yang mengunjunginya. Bukan kerana tiada yang peduli, tetapi Hans tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa sekali pun.

"Memang kawan-kawan tak bagi saya pegang telefon bimbit langsung. Termasuklah untuk mengetahui perkembangan latihan CTM. Mereka juga tak mahu melawat untuk memberi ruang saya berehat. Risau juga bila tak dapat tahu apa-apa tentang perkembangan teater itu.

"Tetapi saya bernasib baik kerana ada rakan-rakan yang memahami, mereka tolong uruskan latihan CTM sepanjang ketiadaan saya. Sekarang ini, sejak pulang dari hospital saya rasa lebih sihat, cuma tak boleh nak menyanyi sangat. Simpan suara untuk pementasan pertama CTM Jumaat ini.

"Apapun, selepas pementasan CTM selesai, saya dan rakan-rakan merancang untuk bercuti selama lima hari, sama ada di Bali atau Bangkok," tuturnya.

Nyawa dan cinta Hans

Demi CTM, Hans sanggup berbuat apa sahaja agar dapat memberi kepuasan kepada penonton yang hadir nanti.

Kerana terlalu fokus pada kerja juga, dia langsung tidak memberi ruang untuk dirinya dikasihi oleh seseorang yang bernama teman wanita.

Sejak putus cinta pada dua tahun yang lalu, kerjaya adalah cintanya. Tambah pula dengan 'kelahiran bayi' barunya CTM, Hans enggan memikirkan dahulu tentang berkasih sayang.

"Bayangkan kalau sekarang ini saya ada teman wanita, mesti sudah terabai dan bergaduh sebab jadual kerja saya yang begitu ketat.

"Kawan-kawan pun minta saya jangan bercinta dahulu sampai projek ini habis. Bukan CTM sahaja yang saya buat, ada juga beberapa drama yang sedang saya lakukan. Jadi, saya menghabiskan masa lebih daripada 10 jam sehari.

"Oleh itu, usaha saya sekarang ini adalah untuk menaikkan standard teater kita. Saya tak mahu teater Malaysia dipandang sebagai picisan lagi," ujarnya yang baru selesai penggambaran drama 100 episod untuk siaran TV9.

Ditanya pula mengenai keinginannya untuk menamatkan zaman bujang seperti teman-teman rapatnya yang lain, Hans akui, saban tahun, dia mengimpikan sebuah perkahwinan.

Cuma masanya sahaja belum ketahui. Beritahunya: "Seperti setiap insan lain, saya juga mahu bercinta. Kalau nak ikutkan hati sekarang juga saya nak kahwin.

"Apapun, kalau saya rasa perempuan itu adalah orangnya, saya akan melamarnya terus, tanpa perlu membuang masa. Pengalaman lalu saya jadikan sebagai iktibar supaya tidak terus dikecewakan."

Cabaran penerbit teater

Sementara itu, Harith Iskandar, yang bertindak sebagai pengarah CTM bersama Datuk Zahim Albakri, enggan menganggap perkataan 'cabaran' dalam mengarah teater ini sebagai satu perkara yang negatif.

Baginya, CTM adalah teater muzikal yang berbeza dengan teater-teater lain dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Dengan menampilkan enam pelakon utama iaitu, Awie, Hans, Afdlin Shauki, AC Mizal, Adibah Nor dan Vanidah Imran serta 26 pelakon lain, Harith percaya, dengan bakat yang dimiliki oleh setiap pelakon-pelakon, ia mampu memudahkan pengarahannya.

"Pelakon-pelakon yang saya arahkan ini semuanya hebat-hebat dan mereka tahu peranan masing-masing. Menariknya, mereka ini bukanlah penari. Jadi ia satu cabaran untuk mereka dan saya untuk membentuk mereka seperti yang dikehendaki skrip.

"Selain itu, satu lagi cabaran bagi saya ialah bila kami masuk latihan di IB kerana terpaksa berdepan macam mana nak menggunakan ruang yang ada. Maklumlah, sebelum ini tempat latihan kami kecil, bila berlatih di IB pula, kita perlu menyusun para pelakon agar nampak teratur.

"Apa yang saya seronok dalam mengarah teater ini, saya dapat lihat pelakon-pelakon berbakat ini berlakon di depan mata saya secara langsung, terasa seperti realiti pula," selorohnya.