Air mata kerana Papadom


Jangan nak pandai-pandai bagi komen, silap hari bulan kena tempelak percuma daripada dia. Nak dijadikan cerita, malam minggu lalu dia menonton buah tangan terbaru Afdlin Shauki, Papadom.

Bukan main teruja lagi dia, maklumlah filem itu memenangi banyak anugerah dalam Festival Filem Malaysia yang ke-23 biarpun ketika itu belum ditayang.

Ada juga dia memujuk CAK menemaninya tapi CAK malas. Bukan apa, orangnya emosi sikit, kalau ada bab meleleh air mata, dia siap tersedu-sedan. Itu yang CAK malas tu.

Berbalik cerita tayangan Papadom, katanya, ketika itu panggung penuh. Kebetulan dia duduk di barisan belakang sekumpulan mat rempit yang bukan main seronok berkepit dengan pasangan masing-masing.

Awal tayangan, kumpulan anak muda itu ketawa berdekah-dekah, siap dibuat-buat lagi. Kawan CAK yang sememangnya meluat dengan keadaan itu terpaksa buat bodoh meskipun hatinya menyumpah berbakul-bakul.

Tapi kata kawan CAK, bila tiba babak isteri Saadom (Afdlin Shauki) meninggal, semuanya terdiam dan mula fokus.

Kebetulan pula cerita selepas itu lebih serius dan menyentuh hati, tidak sepatah pun perkataan keluar daripada mulut anak muda itu. Ek pun tak, uk pun tak. Sepi bak dilanggar garuda.

“Bila babak sedih, aku tengok ada yang buat-buat menggeliat dan ada yang diam macam mayat hidup. Agaknya, yang menggeliat tu nak ‘cover’ daripada air mata jatuh kut. Biasalah lelaki, sedih macam mana pun tak nak menangis. Tak macho katanya.

“Hairan juga aku bila semuanya membisu sebab mula-mula macam panggung tu hak dia orang.

“Agaknya paparan dalam Papadom ada kena mengena dengan kehidupan mereka kut. Yalah, ia mengisahkan kasih sayang bapa dengan anak, mungkin terfikir betapa besarnya pengorbanan ibu bapa untuk membesarkan anak.

“Aku harap dia orang dapat ambil iktibar daripada filem ini. Mana tahu ada yang serik dan mula menghargai keluarga,” katanya ketika menghubungi CAK kelmarin.

CAK pun tidak sabar-sabar nak menonton Papadom selepas terlepas peluang beberapa kali. Dengar khabar kutipan filem terbitan Tayangan Unggul ini hampir mencecah RM1 juta selepas empat hari ditayangkan.