
Biarpun pernah membatalkan Konsert Beyonce Experience dan mengalih ke Jakarta dua tahun lalu, akhirnya dia muncul juga di negara kita dengan persetujuan mengikuti tatasusila dan etika pentas yang digariskan kerajaan.
Bukanlah sebab tiada yang membantah konsertnya, tetapi mungkin Beyonce bersedia memenuhi garis panduan itu.
Selain hebat di pentas dengan nyanyian dan tarian yang memukau, Beyonce juga dijadikan ikon fesyen dunia.
Beyonce sering kelihatan mengenakan pakaian yang boleh membuat biji mata terbeliak. Apatah lagi pengkritik fesyen dunia. Jadi, kita mungkin tertanya apakah bentuk pakaian yang akan dikenakan Beyonce nanti.
Ramai membayangkan kepada Paknil bagaimana agaknya jika Beyonce muncul di pentas dengan berbaju kurung atau kebarung. Mungkin ini satu tamparan kepada mereka yang begitu senang membuat andaian kepada cita rasa penyanyi seksi ini.
Jika Beyonce pandai mencari keuntungan dalam ruang yang sempit, dia patut lakukan. Ini satu kejutan yang sangat mahal dan mungkin digemari penontonnya. Mana tahu, Beyonce akan lebih diperkatakan dunia selepas ini yang sekali gus memperkatakan keberanian Malaysia mengenakan peraturan sebegini.
Paknil bukan menyebelahi mana-mana pihak, tetapi Paknil rasa setiap artis dan siapa saja datang ke negara kita harus akur kepada etika dan syarat yang dikenakan. Tidak bolehlah main langgar saja.
Cuma yang Paknil musykilkan adalah mengenai etika berpakaian dan tatasusila di pentas, sama ada ia benar-benar wujud secara hitam putih dan diwartakan atau sebaliknya.
Mungkin Paknil yang ketinggalan daripada segi perundangan dan peraturan pentas di Malaysia tetapi jika dilihat, Paknil masih lagi dapat lihat ada artis tempatan yang seksi di pentas.
Adakah etika ini hanya untuk artis luar sedangkan artis tempatan masih lagi berani berpakaian tidak seperti disyaratkan?
Masih lagi kelihatan artis kita berpakaian dengan fesyen seperti ‘Senandung Lurah Dendam’, ‘Kain Sempit Belahan Maut’ dan ‘Potongan Bahu Senget’. Ini masih boleh didapati pada persembahan pentas, TV, karpet merah dan majlis rasmi.
Paknil cuma gusar jika negara kita akan menjadi bahan tertawa penghibur asing jika mereka tahu ada artis kita berpakaian lebih teruk daripada apa yang disyaratkan kepada mereka.
Yalah, sekarang zaman serba canggih dan dengan kemudahan teknologi terkini, Paknil pasti jawapan sebenar ada di hujung jari penghibur luar seperti Beyonce.
Dengan rujukan melalui enjin pencarian Google saja, Paknil pasti Beyonce boleh menjadikan pakaian artis kita untuk dijadikan ‘contoh terbaik’ mengenai etika itu. Siapa nak jawab?
Adakah kita bersifat ‘double-standard’ atas perlaksanaan etika berpakaian dan perlakuan di pentas?
Paknil terpanggil untuk menceritakan kehebatan negara jiran kita, Brunei menyempurnakan peraturan kod etika berpakaian dan perlakuan untuk artis mereka.
Kod etika ini turut diguna pakai untuk artis luar yang membuat persembahan di negara pengeluar minyak itu.
Ini bermakna kod etika mereka benar-benar wujud dan diwartakan. Setiap artis tak kira artis tempatan atau luar yang ingin membuat persembahan di negara itu, walaupun dijemput oleh pihak pemerintah, tertakluk kepada peraturan itu tanpa kompromi.
Kunjungan pertama Paknil ke sana pada awal 2000 sebagai pengacara bagi rancangan terbitan bersama RTM-RTB di pentas terbuka Taman Tema Jerudong di Bandar Seri Begawan.
Sebelum ke sana, taklimat diberi oleh RTM akan etika berpakaian di sana, tetapi Paknil menganggap itu biasa saja sebab di RTM sendiri ada kod etika berpakaian yang harus kami akur.
Yang membuat Paknil terpegun ialah apabila wujudnya badan penapis persembahan yang bertanggungjawab memastikan artis yang akan membuat persembahan mematuhi peraturan itu.
Mulanya kami yang pertama kali ke sana tersenyum sinis dengan tugas mereka kerana bagi kami ia pelik dan lucu.
Semua artis yang terbabit diminta berkumpul di lokasi konsert sehari sebelum persembahan dengan membawa setiap pakaian yang akan dikenakan pada konsert sebenar bagi dinilai oleh badan khas itu.
Artis diwajibkan hadir sambil mengenakan pakaian dan bukan melalui wakil artis. Jika artis itu ingin bergaya dengan 10 pasang busana, semua busana itu harus diperagakan di depan mereka.
Ketika itu wakil mereka akan menilai secara terperinci pakaian mengikut garis panduan potongan baju, labuh pakaian, jarang nipis kain dan sebagainya. Memang ada pakaian ditolak kalau tidak sesuai. Keputusan mereka muktamad.
Kesesuaian pakaian di pentas ini turut membabitkan penari dan penyanyi latar. Pakaian mereka juga dinilai. Pemuzik iringan dan pengacara tidak terkecuali.
Perkara ini turut berlaku ketika kami dijemput menjayakan konsert jelajah Akademi Fantasia di Brunei.
Sebenarnya untuk semua konsert dan persembahan, badan khas ini juga diberi keutamaan untuk menontonnya terlebih dulu pada sidang tertutup. Selalunya ia dilakukan pada sesi raptai penuh. Persembahan khas ini harus menyamai persembahan yang bakal dipentaskan nanti daripada setiap segi, termasuk sistem lampu dan bunyi.
Pihak penganjur juga diwajibkan untuk membekalkan lirik pada setiap lagu. Arahan pihak berwajib ini untuk memastikan lagu yang bakal dipersembahkan tidak mengandungi unsur lucah atau melanggar akidah serta sopan budaya.
Ini bermakna artis yang ingin membuat persembahan di sana mesti sentiasa bersedia dengan lagu tambahan seandainya lagu pilihan mereka tidak mendapat lampu hijau.
Selalunya selepas sesi raptai penuh itu juga, pengadilan akan dilakukan sama ada konsert itu lulus atau tidak. Semua yang terbabit diberi penerangan buat kali terakhir ketika itu supaya kod etika ini dipatuhi.
Kini baru Paknil sedar kod etika mereka adalah mengikut budaya mereka dan sememangnya kita orang mendatang ini akur jika ingin berkarya di tempat mereka.
Seseorang artis masih lagi mempunyai pilihan sama ada ingin membuat persembahan atau tidak kerana etika berpakaian ditetapkan. Maka isu tidak puas hati dengan peraturan negara itu tidak seharusnya timbul.
Paknil tabik mereka kerana benar-benar menegakkan apa yang ditetapkan dan tidak janggal pula melakukan tugas mereka walaupun dianggap pelik dan lucu oleh sesetengah pihak.
Kalau diikutkan, banyak lagi peraturan pelik yang dipraktikkan di negara Barat yang kita kunjungi dan berbeza dengan cara hidup kita, tetapi kita akur dan tidak pula menentang. Jadi perkara sama juga harus diterima oleh orang luar jika berkunjung ke negara kita.
Namun persoalannya, adakah kita benar-benar serius dan ikhlas dengan tindakan kita atau setakat memenuhi permintaan pihak tertentu? Adakah peraturan ini bersifat kekal atau sementara? Adakah semua artis tertakluk kepadanya atau artis luar saja? Yang penting, mana hitam putihnya?