Ayu OIAM2 bakal nikah duda dari Kuala Kangsar?


Ayu Damit khabarnya memilih Oktober untuk bergelar isteri.


Cerita bintang realiti dikatakan memilih 'menetap sementara' di Perak cetus tanda tanya

SELEPAS cuti raya ini, banyak juga jemputan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang singgah menerusi SMS dan emel. Mana yang sempat tu, Zubir akan cuba hadiri, maklumlah orang dah jemput, pasti besar harapan mereka menanti kehadiran tetamu. Pun begitu, diam tak diam, tanpa Zubir sedari, berat badan sepanjang Syawal ini semakin bertambah, habis tu boleh dikatakan hampir setiap hari makan hidangan yang sedap-sedap saja.

Baiklah Zubir tak mahu mengomel panjang, mata pula semakin mengantuk. Namun, dalam keghairahan mencari bahan gosip untuk tatapan pembaca B*Pop minggu ini, Zubir teringat kepada kiriman emel yang diterima ketika sedang asyik menghabiskan cuti raya di sebuah pusat peranginan popular, baru-baru ini.

Memang terhenti nafas seketika membaca isi kandungan emel berkenaan apabila ia memaklumkan juara One In A Million (OIAM) musim

kedua, Ayu Damit, akan bernikah dalam masa terdekat ini!

"Assalamualaikum Abang Zubir... Saya bukan nak menyibuk pasal orang, tetapi saya nak cerita satu kisah yang agak 'gempaq' la juga. Terlopong agaknya mulut Abang Zubir bila dengar cerita ni. Tentu Abang Zubir pernah jumpa dengan Ayu OIAM2 ni kan. Rupanya dalam diam-diam, dia dah nak bernikah! Dengar cerita, Ayu nak nikah di kampung bakal suaminya di Sauk, Kuala Kangsar, Perak!

"Sekarang Ayu menetap sementara waktu di Perak supaya dirinya tidak menjadi tumpuan media massa yang pasti inginkan cerita sensasi perihal pernikahannya nanti," cerita pengirim e-mel berkenaan membuka bicaranya.

Bagi Zubir, sekiranya betul Ayu nak nikah, naik pelamin, kenapa dia perlu melarikan diri daripada wartawan, bukankah mendirikan perkahwinan itu satu perkara yang mulia dan dituntut dalam Islam? Memang Zubir tak faham kenapa Ayu bertindak begitu sekiranya apa yang diceritakan penyampai emel ini satu kisah benar!

Daripada maklumat tambahan yang Zubir peroleh, Ayu ditemui di rumah bakal mentuanya itu pada Hari Raya kedua, baru-baru ini. Khabarnya bakal suami Ayu yang juga anak bongsu turut berada di rumah keluarganya itu. Difahamkan, bakal suami Ayu berumur lingkungan awal 20-an dan bekerja di Bangi, Selangor di sebuah kedai perabot.

"Mereka dijadualkan diijab kabul sekitar Oktober ini, tapi tak ada majlis besar-besaran, bersanding ke apa, cuma buat yang wajib, majlis akad nikah saja. Tapi, Oktober berapa hari bulan saya tak pasti, nanti kalau ada apa-apa perkembangan terbaru, saya akan emel Abang Zubir lagi," sambung cerita si pengirim emel itu lagi.

Pun begitu, Zubir menerima beberapa lagi maklumat tambahan, memaklumkan bakal suami Ayu ini pernah berkahwin, kini dah bercerai. Khabarnya bakal suami Ayu seorang duda dua anak! Khabarnya lagi, sebaik saja urusan surat menyurat perceraiannya dikeluarkan pejabat agama, Ayu dan bakal suaminya itu akan menetapkan tarikh pernikahan mereka sekitar Oktober ini, sekali gus bakal bergelar suami isteri sedikit masa lagi.

Sekiranya perkhabaran yang disampaikan ke pengetahuan Zubir ini menjadi satu kenyataan, Zubir dan warga kerja B*Pop ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru untuk Ayu dan bakal suaminya itu. Cuma yang Zubir hairan, kenapa Ayu, bakal suaminya dan keluarga kedua-dua belah pihak harus merahsiakan perkahwinan itu? Bukankah menghebahkan majlis pernikahan dan perkahwinan itu dituntut dalam Islam untuk mengelakkan fitnah!

Zubir sebenarnya tidak mahu berprasangka buruk mengenai majlis pernikahan yang khabarnya akan dibuat secara tertutup, mungkin keluarga kedua-dua belah pihak ada alasan tersendiri. Sama halnya dengan majlis pernikahan aktres terkenal, Umie Aida dengan pasangannya Datuk Paduka Khairuddin Hassan akan berlangsung dalam satu majlis tertutup tanpa mengundang pihak media massa, mungkin Ayu dan bakal suami pun nak begitu.

Pun begitu, seboleh-bolehnya Zubir mengharapkan Ayu tidak terus-terusan merahsiakan majlis perkahwinannya kerana ia bakal mengundang perasaan kurang senang di kalangan media massa termasuklah peminat. Sayangilah bakat yang ada Ayu. Zubir senang sekali mendengar dua single daripada Ayu, Hanya Di Mercu dan Inspirasi Abadi, memang power! Apabila bergelar artis, kehidupan peribadi tidak semuanya menjadi milik kita yang mutlak.

Sebaliknya jika apa yang tersiar ini sekadar gosip liar semata-mata bertujuan untuk menjatuhkan nama dan karier Ayu, Zubir minta maaf banyak-banyak. Bersabarlah Ayu kerana inilah dugaan dan cabaran yang harus ditempuh seorang anak seni.

ZUBIR: Bekas isteri penyanyi popular hidup merana gara-gara sikap bekas suaminya yang panas baran!